Pemilihan Model Laman Web Keahlian Terbaik

January 17, 2013 — Penulis:

Kategori: Online / Perniagaan

Dalam artikel sebelum ini, saya telah berkongsi dengan anda mengenai 4 model laman web keahlian yang boleh anda gunakan untuk bisnes Internet iaitu:

4 Model Bisnes Membership Site

  1. Produk Individu,
  2. Produk Upgrade,
  3. Produk Berkala,
  4. Keahlian Komuniti.

Setiap model laman web keahlian ini mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri. Oleh itu, di dalam artikel pada kali ini saya ingin berkongsi dengan anda mengenai pro dan kontranya.

Serta memberikan anda strategi untuk membuat pilihan model keahlian yang terbaik untuk anda gunakan.

#1 – Produk Individu

Kelebihan model ini berbanding model laman web yang lain adalah ia mudah untuk disiapkan, dan ia tidak memerlukan sebarang penyelenggaraan daripada anda setelah anda menyiapkannya.

Anda cuma perlu menawarkan satu produk sahaja dan setelah membuat pembayaran, si pembeli boleh mengakses produk tersebut melalui laman web keahlian yang telah anda sediakan untuk produk tersebut.

Produk tersebut cuma perlu dikemaskini dari semasa ke semasa sekiranya anda ada memberikan maklumat terkini berkaitan kandungan produk tersebut.

Kekurangannya adalah anda cuma akan mendapat pendapatan once-off iaitu untuk sekali sahaja. Setelah si pembeli membuat pembayaran, tidak ada sebarang pembayaran lain selepas itu dan anda perlu mencari pelanggan baru sekiranya ingin menjana wang.

Model ini sesuai sekiranya anda hanya ingin menjual satu produk tunggal sahaja, dan tidak ingin meluangkan banyak masa untuk menyelenggarakan laman web keahlian tersebut.

#2 – Produk Upgrade

Kelebihan model Produk Upgrade berbanding model Produk Individu tadi adalah ia mempunyai promosi jualan khas, dalam ruangan ahli laman web keahlian tersebut untuk memujuk si ahli untuk mendapatkan pakej upgrade.

Apabila si pembeli membeli produk asas dan mendapat akses kepada produk tersebut di dalam laman web keahliannya, dia akan dapat melihat satu promosi sama ada dalam bentuk text, banner atau pop-up untuk mendapatkan pakej upgrade kepada produk tersebut.

Pakej upgrade ini mungkin mempunyai kandungan yang lebih advance, format yang lebih menarik seperti video atau mungkin memberikan sebarang kelebihan lain yang tidak terdapat pada produk asas tadi.

Strategi ini juga dikenali sebagai strategi upsell atau promosi tambahan.

Kekurangannya adalah anda cuma akan mendapat wang secara terhad. Setelah si pembeli mendapatkan produk asas dan seterusnya produk upgrade, tidak ada sebarang wang tambahan yang boleh anda peroleh daripada ahli tersebut.

Oleh itu, model ini masih juga boleh dikategorikan sebagai strategi penjanaan wang secara once-off atau sekali itu sahaja.

Model ini merupakan strategi yang baik untuk mendapatkan wang tambahan, daripada sebarang produk asas yang telah anda hasilkan sebelum ini.

#3 – Produk Berkala

Model laman web keahlian berbentuk produk berkala membolehkan anda untuk menjana wang secara berterusan, pada secara berkala menurut masa yang telah anda tetapkan.

Anda boleh menetapkan setiap ahli perlu membayar yuran secara mingguan, bulanan atau tahunan. Model ini membolehkan anda untuk menjana wang secara konsisten menurut durasi yuran yang telah anda tetapkan.

Sebagai contoh, jika anda menetapkan yuran bulanan sebanyak RM10 untuk setiap ahli dan anda memiliki 10 ahli, maka anda akan menerima jumlah wang yuran sebanyak RM100 (RM10 x 10) pada setiap bulan.

Kelebihan ini akan memudahkan anda merancang kewangan bisnes Internet kerana anda menjana pendapatan secara konsisten.

Kekurangan model ini adalah kandungan laman web keahlian anda itu perlu dikemaskini dengan kandungan baru, menurut durasi yuran yang telah anda tetapkan itu.

Jika anda menawarkan koleksi pakej grafik terkini pada setiap bulan, maka anda perlu menghasilkan koleksi pakej grafik baru pada setiap bulan dan memuat-naik ke ruangan keahlian laman web anda.

Model ini memerlukan usaha yang berterusan daripada anda, untuk mengekalkan minat ahli-ahli anda untuk terus kekal menjadi ahli.

Model Produk Berkala sesuai jika anda memang mampu menghasilkan kandungan baru secara konsisten menurut durasi yang telah anda tetapkan itu. Jika tidak, ia cuma akan menyebabkan ahli-ahli menghentikan keahlian mereka.

#4 – Keahlian Komuniti

Model laman web Keahlian Komuniti adalah model laman web keahlian yang paling kukuh dan paling setia. Selalunya individu-individu yang menjadi ahli komuniti ini mempunyai semangat setia-kawan dan rasa terpaut kepada laman web tersebut.

Ini kerana laman web keahlian ini adalah terbina berasaskan persahabatan, di antara satu individu dengan individu lain.

Selalunya komuniti ini diwujudkan berdasarkan satu objektif atau satu minat yang sama.

Apabila ramai individu yang mempunyai minat dan objektif yang sama berkumpul, maka ia akan menjadikan laman web keahlian tersebut satu kuasa yang besar di dalam mencapai objektif laman web keahlian tersebut.

Kelebihan utama model ini adalah dari segi memudahkan usaha komunikasi dan kerjasama di antara ahli-ahlinya. Ada laman web keahlian komuniti yang tidak memerlukan sebarang yuran, tetapi menjana wang melalui iklan atau pakej upgrade yang ditawarkan

Ada juga laman web komuniti yang mengenakan yuran bersesuaian dengan kemampuan ahli-ahlinya. Kekurangan paling utama model ini adalah ia memerlukan penyelenggaraan yang pantas dan ketat, daripada si pemilik laman web.

Si pemilik laman web perlu selalu memantau pergerakkan ahli-ahli di dalam komunitinya, agar tidak melakukan sesuatu yang boleh melanggar etika atau peraturan laman web keahlian tersebut.

Model ini sesuai sekiranya anda ingin mewujudkan satu komuniti yang kukuh berkaitan sebarang minat atau objektif yang anda inginkan.

Anda juga boleh menjadikan komuniti ini sebagai satu tapak perjumpaan dan kerjasama di antara 2 pihak yang berlainan seperti penjual produk dengan affiliate, penjual hartanah dengan agen hartanah, pelaburan dengan usahawan baru dan sebarang pihak lain yang bersesuaian.

Mana Satu Model Pilihan Kalbu?

Setelah mengetahui segala pro dan kontra model laman web keahlian yang telah saya kongsikan dengan anda tadi, langkah seterusnya untuk anda adalah untuk memilih model yang paling sesuai dengan strategi keahlian anda.

Jika anda tidak ingin menguruskan laman web keahlian anda untuk jangkamasa panjang, maka model Produk Individu dan model Produk Upgrade sesuai untuk anda.

Jika anda lebih suka menjana wang secara konsisten pada setiap bulan, maka model Produk Berkala dan model Keahlian Komuniti sesuai untuk anda.

Sehingga berjumpa lagi di kesempatan yang lain, salam hormat dan salam kejayaan daripada saya.


Tags: , ,

Komen (2)

  1. Owhh begitu rupanya laman web keahlian ye tuan Eruwan Gerry Usahawan Makan Gaji. Apakah perisian atau platform terbaik untuk kita buat laman web keahlian sekarang ni pada pendapatan tuan?? Terima kasih

Pendapat anda?