Pengurusan Wang Untuk Usahawan eBay

August 09, 2011 — Penulis:

Kategori: Online

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada semua pembaca Majalah Niaga yang beragama Islam. Saya doakan semoga puasa anda pada tahun ini mendapat lebih keberkatan, berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pengurusan Wang Dalam Ebay

Pada kali ini, saya ingin berkongsi artikel mengenai pengurusan kewangan khas untuk usahawan eBay.

eBay, Puasa & Raya

Sebagai umat Islam, kita digalakkan untuk bijak mengawal perbelanjaan dan kewangan kita semasa Bulan Ramadhan, dan juga semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri, yang akan menjelang pada awal bulan Syawal nanti.

Kita digalakkan untuk bersederhana dalam menyediakan juadah berbuka puasa, dan tidak terlalu mengikut nafsu ketika membeli makanan. Kita perlu bijak menguruskan dan menetapkan had wang yang ingin kita gunakan untuk juadah berbuka puasa.

Salam Aidilfitri 2011

Begitu juga dengan persediaan menghadapi Hari Raya Aidilfitri. Kita digalakkan untuk tidak berbelanja sakan bagi persediaan menyambut Hari Raya. Saya tahu ada di kalangan kita yang ingin beraya sakan, sehingga kita tidak sedar jumlah wang yang telah kita belanjakan.

Akibatnya, di akhir bulan puasa dan hari raya, kita akan terduduk dan menggaru kepala kerana kehabisan wang,  kerana kita sendiri tidak tahu ke mana perginya semua wang kita itu tadi.

Oleh itu, kita perlu mempunyai sikap pengurusan kewangan yang baik semasa berpuasa dan menyambut hari raya. Begitu juga di dalam kehidupan kita seharian sebagai seorang usahawan eBay.

Seorang usahawan eBay yang bijak perlu menguruskan kewangan perniagaan mereka di eBay dengan baik, agar kita mampu membina empayar sebagai seorang usahawan eBay yang berjaya.

Cara anda membahagikan wang untuk perniagaan anda di portal eBay bergantung pada anda sendiri. Tetapi saya ingin sarankan beberapa pembahagian wang yang wajib anda sediakan untuk perniagaan.

Wang Untuk Bekalan

Pertama sekali, perlu ada wang yang anda tetapkan untuk pembelian bekalan. Ramai di antara usahawan di portal eBay akan menjual barangan dalam bentuk fizikal seperti kasut, DVD, baju dan juga telefon bimbit.

Oleh itu, sebagai seorang usahawan eBay yang bijak anda perlu menyediakan sejumlah wang sebagai modal pusingan, untuk membeli bekalan barangan untuk dijual.

wang sebagai bekalan

Sebagai contoh, jika anda merupakan seorang penjual kasut, anda boleh menetapkan wang sebanyak RM1,000 untuk membeli bekalan kasut yang akan anda jual semula di portal eBay. Wang ini perlu anda gunakan untuk membeli bekalan barangan sahaja, dan tidak boleh digunakan untuk sebarang urusan lain.

Jika ia digunakan untuk urusan lain, maka ia akan mempunyai impak terus terhadap jumlah bekalan barangan yang boleh anda jual. Semakin banyak wang yang anda ambil daripadanya untuk urusan lain, maka semakin kurang bekalan barang yang boleh anda jual.

Setelah anda berjaya menjual kesemua barangan anda, ambil semula wang RM1,000 yang telah anda laburkan pada peringkat awal, untuk membeli bekalan menggunakan wang keuntungan yang telah anda peroleh.

Selain itu, ambil 10% atau 20% daripada keuntungan bersih anda dan tambahkan wang modal bekalan barang itu. Sebagai contoh, jika keuntungan anda adalah RM1,000, maka ambil RM100 atau RM200 daripada jumlah untung dan tambahkan pada RM1,000 pada wang bekalan.

Kini anda akan memiliki RM1,100 atau RM1,200 untuk membeli bekalan barangan anda yang seterusnya. Lebih banyak yang boleh anda laburkan ke dalam wang untuk membeli bekalan barangan anda adalah lebih bagus.

Anda perlu meningkatkan jumlah modal pusingan setiap kali menjana keuntungan. Ia dapat membantu mengembangkan perniagaan anda, supaya mampu menjana keuntungan yang lebih besar. Ini adalah cara sebenarnya untuk menjana keuntungan yang besar di dalam portal eBay.

Ramai usahawan yang mengekalkan modal pusingan, seperti contoh RM1,000 tadi untuk satu tempoh yang lama. Ini menyebabkan mereka sentiasa berada di tahap yang sama, dan perniagaan mereka tidak akan berkembang.

Wang Untuk Promosi dan Pemasaran

Seterusnya, anda juga perlu mengasingkan wang untuk melakukan promosi di eBay. Setiap kali anda melakukan listing barangan di portal eBay, anda boleh memilih untuk melakukan pelbagai cara promosi seperti menambah gambar, menambah diskripsi barangan dan sebagainya.

Setiap ruang promosi yang diberikan oleh pihak eBay memerlukan wang. Oleh itu, anda perlu menetapkan sebahagian daripada wang anda untuk menggunakan medium promosi yang disediakan.

ebay Malaysia

Apabila anda memiliki sedikit wang, anda boleh memilih barangan tertentu sahaja untuk anda melakukan promosi besar-besaran. Barang itu boleh dijadikan sebagai penarik kepada pengunjung, untuk melihat barang jualan anda yang lain setelah mereka melihat barang yang telah anda promosikan itu.

Memandangkan penjualan di portal eBay menjadi semakin mencabar disebabkan peningkatkan jumlah penjual yang menyertainya, maka anda perlu menimbulkan barang jualan anda di dalam lautan barangan di eBay. Caranya adalah dengan menyediakan sejumlah wang yang akan anda gunakan, untuk melakukan promosi di portal eBay.

Jika anda mampu berbuat demikian, maka peluang anda untuk menjana keuntungan yang lumayan adalah lebih tinggi.

Wang Untuk Diri Sendiri

Akhir sekali saya ingin menyentuh mengenai wang yang akan anda gunakan untuk diri anda sendiri. Sudah pasti setelah melakukan jualan dan mendapat keuntungan daripada portal eBay, anda juga ingin menikmati keuntungan.

Nasihat saya, sekiranya anda baru saja bermula di portal eBay, cuba elakkan daripada mengambil terlalu banyak wang keuntungan yang telah anda perolehi untuk kegunaan sendiri. Jika boleh, cuba ambil hanya 20% hingga 30% sahaja.

wang untuk diri sendiri

Sebaik-baiknya wang keuntungan yang selebihnya dilaburkan semula bagi mengembangkan perniagaan anda. Sama ada untuk menambah bekalan barangan untuk dijual, melakukan promosi tambahan atau mendapatkan bahan-bahan rujukan yang mampu meningkatkan pengetahuan anda sebagai seorang penjual di eBay.

Ramai yang ingin merasai nikmat setelah menjana keuntungan yang baik di portal eBay. Tetapi jika anda betul-betul mahu mengembangkan perniagaan anda dengan pantas, dan ingin berjaya sebagai seorang usahawan, anda perlu melakukan pengorbanan di awal penglibatan anda dalam dunia perniagaan internet.

Pergorbanan ini terdiri daripada pengorbanan dari segi wang, tenaga dan masa anda. Saya yakin, jika anda mampu berbuat demikian, anda akan dapat mencapai kejayaan lebih pantas lagi berbanding orang lain.

Itu saja perkongsian saya pada kali ini. Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan juga Hari Kemerdekaan, yang akan menjelang pada penghujung bulan Ogos ini kepada semua pembaca setia Majalah Niaga.

Sehingga berjumpa di kesempatan yang lain, salam hormat dan salam kejayaan dari saya.

Kredit gambar yang diambil dari Flickr (alyssakaikenneoh, Ryan Fanshaw)


Tags: , , , , , ,

Komen (3)

  1. Walau sehebat manapun kecanggihan sesuatu program untuk tujuan bisnes-online SITUASI MENANG-MENANG hendaklah dipraktikan. Tanpa teamwork sebegini agak sukar bagi ahli terutama newbies yang ingin menceburi bidang ini

  2. Terima kasih atas panduan yang diberikan. Cuma bagi saya boleh juga asingkan duit kita untuk bagi zakat dan bersedekah. Selain itu juga, buat simpanan tambahan dalam 2 atau 3 kali ganda drp modal kita kerana kadang2 berbisnes ni ada masa naik dan ada masa turun. Buat akaun yang asing khas untuk perniagaan kita sahaja supaya senang monitor. Gunalah segala kemudahan seperti mencatatkan perbelanjaan keluar masuk menggunakan excel. Baru tahu perniagaan kita lakukan balik modal atau rugi. Sekadar memberi cadangan. Terima kasih dan selamat berpuasa dan menyambut Hari Raya tak lama lagi.

Pendapat anda?