Penjenamaan Sia-sia

March 24, 2015 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan

Bermula dari tahun 2010, saya perhatikan pertumbuhan peniaga melayu seakan-akan cendawan tumbuh selepas hujan. Ini mungkin kerana faktor pengaruh dari rakan-rakan yang telah berniaga dan program-program yang berunsur motivasi perniagaan yang semakin giat dianjurkan oleh syarikat persendirian ataupun agensi kerajaan.

Kesan dari itu, terdapat lambakan produk dan servis di pasaran yang kian meningkat dan akan terus meningkat. Justeru, peniaga seharusnya bijak merencana teknik dan strategi perniagaan yang kreatif bagi memastikan produk dan servis mereka dapat bertahan lama di pasaran.

Salah satu strategi perniagaan yang peniaga harus lakukan adalah penjenamaan supaya produk dan servis mereka mudah dikenali pelanggan. Penjenamaan merupakan satu proses pemberian nama dan imej kepada produk atau servis yang peniaga jalankan dan ianya harus dilakukan secara berterusan.

Kepentingan Jenama

Penjenamaan yang baik akan menghasilkan ekuiti jenama yang baik dan seterusnya boleh membantu lonjakan keuntungan kepada peniaga tersebut.

Di zaman era millennium hari ini, penjenamaan boleh dimulakan dengan menggunakan medium- medium media social seperti Facebook, Instagram, Twitter , Goodle AdWords dan lain-lain lagi.

branding

Saya ambil satu contoh. Encik  A ingin menjenamakan produk jenama ABC miliknya sendiri. Dari segi pengiklanan, Encik A iklankan produknya di laman social Facebook. Ramai yang telah tahu tentang produk ABC Encik A dan jualan juga kian hari kian meningkat kerana pelanggan telah tahu dan sedikit yakin dengan jenama ABC nya itu.

Satu hari, ada satu lagi syarikat mengeluarkan produk yang lebih kurang sama juga menggunakan jenama ABC. Ketika itu, Encik A mula untuk mendapatkan pendapat rakan-rakan yang juga dalam dunia perniagaan. Ramai yang beri pendapat supaya Encik A mendaftar cap dagangan beliau.

Encik A telah jumpa syarikat yang menguruskan pendaftaran harta intelek. Beliau tanpa berlengah terus ambil keputusan untuk mendaftarkan jenama ABC nya itu. Nasib Encik A kurang baik kerana syarikat pesaingnya tadi telah terlebih dahulu mendaftarkan jenama ABC itu.

Siapa Cepat Dia Dapat

Encik A beritahu bahawa beliaulah yang terlebih dahulu menggunakan jenama ABC tersebut. Konsultan harta intelek berdaftar tersebut beritahu bahawa di Malaysia, pendaftaran harta intelek bergantung kepada siapa yang membuat pendaftaran terlebih dahulu, maka harta intelek tersebut adalah miliknya.

Encik A seolah-olah sudah jatuh ditimpa tangga. Beliau gagal menyelamatkan jenama ABC nya itu dan produk ABC milik pesaingnya semakin meningkat naik tambahan pula pelanggan-pelanggan Encik A juga telah beralih kepada produk ABC pesaingnya itu.

Kos untuk membuat pembuktian di mahkamah tanpa sijil pendaftaran juga nampak seakan-akan samar ditambah lagi dengan kos guaman yang sangat tinggi. Encik A terpaksa pasrah dan meninggalkan jenama ABC tersebut kepada pesaingnya kerana di akhirnya syarikat pesaingnya itu pula menghantar notis mengarahkan beliau berhenti menggunakan jenama ABC tersebut.

Daripada cerita di atas, di manakah kesilapan Encik A? Ya, Encik A terlepas pandang untuk melindungi terlebih dahulu cap dagangan jenamanya sehinggakan pesaingya yang lihat jenama ABC tersebut ada potensi dan mengambil kesempatan untuk mendaftarkan jenama ABC tersebut terlebih dahulu menjadi miliknya.

Perlindungan Harta Intelek

Saya telah kerapkali memberitahu kepada klien-klien saya supaya jangan pandang enteng dengan keupayaan perlindungan harta intelek. Teknik dan strategi penjenamaan dan pemasaran yang betul tidak menjamin kepada ketahanan produk di pasaran jika perlindungan harta intelek tidak dilakukan dari awal.

Ramai juga yang beritahu saya, “Puan, nantilah saya daftarkan trademark saya sebab saya nak tengok kemampuan produk saya dulu”. Saya Tanya balik dengan soalan, apa jadi jika orang lain yang daftarkan dahulu trademark tu?

Artikel berikutnya saya akan bincangkan bagaimana pendaftaran cap dagangan dalam kelas yang salah juga akan menimbulkan risiko kepada perniagaan anda.

 

 

 


Tags: , ,

Pendapat anda?