Pilih Apa Saja Jual Apa Saja

July 21, 2014 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Perniagaan

Menurut Teori ‘Long-Tail’ (The Long-Tail: Why the Future of Business is Selling Less of More, Chris Anderson, 2008), pasaran kini terbuka luas untuk menerima pelbagai jenis produk. Perkembangan penguasaan internet dan gajet pintar telah mengubah corak pembelian masyarakat.

Kurangnya kebergantungan kepada stor fizikal juga telah mengurangkan kos penyetoran. Faedah ini disalurkan kepada pembeli dengan variasi produk yang dapat dimiliki dengan harga yang jauh lebih murah. Sebagai usahawan pula, pilihan produk untuk diniagakan terbuka seluas-luasnya. Nah, pilihlah untuk berjual niaga apa saja, pasti a.k.a ada pembelinya.

Bagaimanakah Teori Long Tail Terhasil?

teori-long-tail

Pasaran suatu ketika dahulu hanya dikuasai oleh beberapa produk popular yang dijual dengan jumlah yang banyak. Faktor seperti tingginya kos untuk memulakan perniagaan, dan keterbatasan sistem pengagihan menyumbang kepada fenomena ini.

Namun perkembangan teknologi,  dan perubahan selera pembeli telah mengubah pasaran. Kini, usahawan dapat menjual pelbagai jenis produk dengan jumlah yang lebih sedikit.

Internet Pencetus Bisnes Baru

Internet adalah ruang stor tanpa batasan. Letaklah berapa banyak produk yang anda mahu, kos penyetoran tetap kosong (atau minimal). Hasilnya ramai juara bisnes baru muncul seperti Amazon.com, dan di pasaran lokal seperti  Zalora.com dan Lazada.com.

internetpencetus

Ruang pasaran digital juga semakin rancak apabila produk digital seperti muzik digital dan e-book, semakin menjadi kelaziman di kalangan pembeli. Pembeli alaf baru lebih gemar untuk membeli dengan menekan beberapa butang, dan semuanya disalurkan dengan segera ke gajet pintar masing-masing.

Cara pengagihan produk baru ‘peer-to-peer market’ atau ‘pasaran terbuka’ yang dipelopori oleh E-Bay telah membuktikan ramai yang mampu menjadi penjual. Hanya dengan berbekalkan stor digital, peniaga kini bebas menjual apa saja di alam maya.

Alam Maya Pemudah Tempat Mengumpul Pembeli Setia

Di pasaran terbuka ini juga, pembeli bebas mencari apa saja produk yang diingini. Kepercayaan dan kredibiliti penjual dicapai dengan sistem ‘feedback’. Di dalam pasaran terbuka,adalah amat penting untuk meraih kepercayaan pembeli. ‘Feedback’ yang teruk dapat merosakkan reputasi penjual.

Facebook juga telah mendapat tempat sebagai pasaran terbuka di kalangan pembeli. Kemudahan seperti ‘group’ telah berjaya mengumpulkan peminat tegar produk, atau servis dan seterusnya menjadikan mereka pembeli yang setia.

Alammaya

Servis ‘niche’ juga semakin senang untuk dipasarkan kini. Sebagai contoh, saya adalah peminat tegar ‘babywearing’ atau ‘menggendong bayi’. Di grup Facebook sahaja, The Babywearing Mamas group mempunyai lebih 10 000 ahli. Dalam pasaran niche ini, beberapa peniaga telah berjaya  memiliki perniagaan menjahit alat menggendong bayi, dan menyediakan servis seperti rekaan ‘custom’ atau ‘pilih-sendiri’.

Langkah Mencetuskan Kreativiti Berniaga

Berbekalkan kemahiran menjahit, kepakaran dalam pembuatan alatan penggendong bayi yang selamat dan berkualiti serta kreativiti yang tinggi – satu perniagaan yang unik dapat dihasilkan. Selain daripada itu, ada juga wanita yang membuka kelas mengajar ilmu penggendongan bayi.

kreativiti-berniaga

Mereka adalah juru pengajar terlatih yang melalui proses pensijilan daripada badan bertauliah, tentang ilmu penggendongan bayi yang sah. Hanya dengan satu pasaran niche ini, pelbagai jenis perniagaan telah dihasilkan.

Pada zaman celik IT dan di lapangan pasaran terbuka ini, pilih apa saja, dan jual apa saja – dengan usaha yang gigih dan teknik yang betul, pasti akan ada pembelinya.

Kredit: Grow With Trellis, Toms Creative Works


Tags: , , , ,

Komen (1)

Leave a Reply to ariefwahyuono Batal (Cancel)