Rahsia USD1 Bilion Dalam 18 Bulan – Bagaimana Instagram Melakukannya

April 13, 2012 — Penulis:

Kategori: Kisah

Minggu ini kita dihebohkan dengan berita pemilikan syarikat yang berlaku di antara Facebook dan Instagram.

facebook

Menurut sumber yang sahih, Facebook dikatakan telah membeli Instagram dengan nilai pemilikan sebanyak USD1 bilion.

Satu angka yang mengejutkan dalam sejarah pemilikan syarikat teknologi maklumat. Instagram merupakan sebuah aplikasi perkongsian gambar yang dibangunkan oleh dua orang anak muda iaitu Kevin Systrom dan Mike Krieger.

Antara isu sensasi mengenai Instagram adalah tempoh pembangunan syarikat ini sebelum dibeli oleh Facebook.

18 Bulan, 9 Pekerja, dan Nilai USD1 Bilion

Kevin, usahawan yang berusia 27 tahun membangunkan syarikat Instagram bersama Mike Krieger pada bulan Oktober 2010. Dalam tempoh kurang 18 bulan, syarikat ini hanya mempunyai 9 pekerja sahaja.

kevin n mike

Bermatlamat untuk menghasilkan sebuah aplikasi perkongsian gambar yang membuatkan penggunanya teruja untuk menggunakannya setiap hari, kini syarikat itu menjadi 100% milik Mark Zuckerberg dengan nilai melebihi 8 angka.

Baru-baru ini juga, dikatakan jumlah pengguna Android yang muat turun aplikasi Instagram dalam telefon pintar mereka melebihi 5 juta dalam tempoh kurang daripada 1 minggu.

Instagram – 5 Rahsia Membina Perniagaan Bernilai Bilion Ringgit

Dari aspek keusahawanan, terdapat lima elemen penting yang boleh kita ambil daripada kisah kejayaan mereka berdua membangunkan Instagram. Antaranya adalah:

  1. Fokus pada minimalis.
  2. Kuantiti tidak menjejaskan kualiti.
  3. Sekecil-kecil masalah adalah peluang yang besar.
  4. Tambah nilai, angka bilion akan hadir.
  5. Setia dan percaya pada visi.

#1 – Fokus Pada Minimalis

Perbezaan ketara di antara aplikasi Instagram dan aplikasi-aplikasi perkongsian gambar yang lain adalah pendekatan yang dibawa oleh dua orang usahawan ini. Meletakkan terlalu banyak fungsi menarik tidak menjamin pengguna akan suka pada aplikasi kita.

instagram

Dengan mengamalkan pendekatan minimalis (satu daripadanya adalah gambar-gambar hanya boleh berkongsi di Twitter dan Facebook), Apple mengumumkan aplikasi Instagram sebagai “App of The Year” pada tahun 2011.

Sesuatu yang simpel jangan disangka tidak akan mencetuskan kejayaan berganda. Ini sudah dibuktikan oleh Kevin Systrom dan Mike Krieger.

#2 – Kuantiti Tidak Menjejaskan Kualiti

Sebelum ini kebanyakan orang berpendapat jumlah pekerja yang banyak dalam sesebuah syarikat merupakan ikon kejayaan mereka. Lagi ramai pekerja, lagi besar keuntungan syarikat.

Instagram - Syarikat dan 9 Pekerja

Persepsi ini tidak betul. Instagram berjaya dijual dengan nilai USD1 bilion ketika jumlah keseluruhan pekerja dalam organisasi tersebut hanya mempunyai 9 orang sahaja.

Kejayaan sebuah syarikat tidak bergantung pada jumlah pekerja yang ramai. Kualiti sentiasa berjaya menandingi kuantiti.

Namun begitu, sekiranya Instagram mempunyai banyak kuantiti pekerja yang berkualiti, yakni memenuhi keperluan skil untuk memantapkan pembangunan syarikat, diyakini nilai Instagram akan jauh lebih besar berbanding USD1 bilion.

#3 – Sekecil-Kecil Masalah Adalah Peluang yang Besar

Semakin hari, banyak bukti yang menjelaskan kepada kita bahawa setiap masalah itu ibarat peluang keemasan. Perkara ini turut berlaku dalam kes aplikasi Instagram.

Masalah Kecil Adalah Peluang yang Besar

Ketika ia pertama kali dilancarkan pada Oktober 2010, Kevin menyatakan dalam blognya di mana tujuan Instagram dibina adalah untuk menyelesaikan masalah orang ramai mengenai:

  1. Isu gambar yang diambil tidak cantik dan sukar untuk diedit serta merta.
  2. Isu masa yang diambil terlalu lama untuk muat naik gambar ke dalam ruangan Internet.
  3. Isu kesukaran untuk berkongsi gambar dengan rakan-rakan sekeliling.

Masalah-masalah yang dinyatakan di atas yang membawa kepada nilai USD1 bilion Instagram. Jumlah angka muat turun juga membuktikan aplikasi ini berjaya menarik minat pengguna telefon pintar di seluruh dunia khususnya iPhone.

Di mana mereka mencatatkan 1 juta angka muat turun pada bulan Disember 2010, dan sehingga kini jumlah pengguna aplikasi Instagram mencecah lebih 30 juta.

Tidak ada masalah yang boleh diperkecilkan. Sekecil-kecil masalah, ia adalah satu peluang yang besar dari kaca mata seorang usahawan.

#4 – Tambah Nilai, Angka Bilion Akan Hadir

Masalah yang disinergikan dengan solusi yang dapat menambah nilai dalam kehidupan orang ramai akan menghasilkan lebih banyak manfaat. Sama ada dari sudut ekonomi, sosial dan pelbagai lagi.

Instagram - Syarikat Bernilai Bilion Dolar

Satu minggu sebelum Instagram dijual kepada Facebook, pihak TIME menemubual Kevin mengenai status syarikat jika ia berjaya menarik perhatian untuk para pelabur yang berminat untuk membelinya.

Jawapan yang beliau berikan adalah,

“Kami tidak pernah terfikir untuk menjual syarikat ini.”

Sehingga hari ini, kedua-dua pemilik aplikasi perkongsian gambar ini menjelaskan matlamat utama Instagram adalah untuk menambah nilai terhadap diri pengguna telefon pintar.

Mereka mahu pengguna mempunyai kemudahan untuk:

  • Mengedit gambar dengan pantas dan kelihatan profesional.
  • Memuat naik gambar dalam jangka masa yang singkat.
  • Berkongsi dengan rakan-rakan khususnya menerusi ruangan sosial seperti Twitter dan Facebook.

Daripada fokus untuk menambah nilai kepada pengguna, maka terhasilnya satu peluang untuk memperoleh USD1 bilion dalam tempoh kurang 18 bulan.

#5 – Setia dan Percaya Pada Visi

Visi yang jelas selaras dengan tugasan-tugasan yang mencabar untuk merealisasikannya.

Instagram - Kepentingan Visi dan Misi yang Jelas

Cara paling mudah untuk mencapai visi ini adalah dengan berdampingan dengan orang-orang yang sudah berjaya mencapai visi yang hampir sama dengan apa yang kita mahu capai.

Kevin berpengalaman bekerja di Google dan memperoleh 1,001 pengalaman menakjubkan menerusi inovasi yang dibangunkan oleh syarikat gergasi enjin carian itu.

Dalam masa yang sama, ia memperkukuhkan visi beliau dengan rakannya mengenai kuasa social sharing dalam dunia teknologi masa kini. Ini yang menyebabkan tercetusnya idea untuk membangunkan sebuah aplikasi yang diberi nama Instagram.

Siapa ‘The Next Instagram’ Malaysia?

Ketika menulis artikel ini, kita melihat satu perkembangan pesat dan baik dalam industri teknologi Malaysia. Di mana dalam kalangan anak-anak muda sendiri sudah mengorak langkah untuk membangunkan syarikat teknologi mereka sendiri.

Mark Zuckerberg - Facebook Beli Instagram USD1 Bilion

Ada yang sudah menghampiri kejayaan, dan ada juga yang masih jauh lagi ketinggalan.

Namun begitu, kita sebagai rakyat tempatan wajar memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi dari pelbagai sudut, untuk mencipta kejayaan yang lebih besar dalam industri teknologi tempatan.

Siapa tahu, akan wujud syarikat yang setaraf nilainya dengan Facebook, Twitter mahupun Instagram suatu hari nanti.

Kredit: Cnet, Sidomi, The Hindu, Web Design Ledger, Tech Central, Bits (The New York Times), BGR


Tags: , , , , ,

Komen (38)

  1. Tahukah anda pada tahun 2004 semasa Instagram masih menggunakan nama Photobook, Mark Zuckerberg berjumpa dengan Kevin Systrom dan mengajak beliau bersama-sama bergabung tenaga membangunkan Facebook? Tetapi Kevin menolak dengan alasan ingin menamatkan pengajian beliau di Stanford U? Saja saya selitkan trivia ini.

    Kisah pemilikan Instagram oleh Facebook memang menggegarkan dunia teknologi dan sosial media dunia. Saya sedang membayangkan sejauh mana Facebook akan membawa Instagram di masa hadapan. Satu apps yang sangat ohsem untuk dimiliki dan digunakan! Memang menyelesaikan masalah perkongsian gambar! :D

    1. Benar. Terima kasih cikpuan kerana berkongsi maklumat baru. Saya juga memperoleh dapatan yang sama, cuma tidak sempat dimuatkan dalam artikel ini.

      Kisah mereka memang menarik dan memberikan inspirasi!

  2. Pada satu sudut lain, saya bersetuju bahawa Instagram boleh menguasai pasaran pengguna telefon pintar dunia dalam satu tempoh masa yang singkat adalah melalui perkongsian sosial yang ‘viral’ melalui Facebook Apps yang dibina oleh tim mereka.

    Apabila ramai pengguna mula mendaftarkan diri dan memuat turun aplikasi ini, secara tidak langsung, ‘nilai’ Instagram itu sendiri meningkat naik dalam waktu yang singkat.

    Jadi, kepada rakan-rakan usahawan khususnya yang sedang memfokuskan kepada pembangunan aplikasi telefon pintar, jangan abaikan ‘social power’ ini. ;)

    Tahniah tim Majalah Niaga!

  3. Idea yang sangat simple. Siapa tau, ia boleh menjadi bernilai sehingga USD$1 Billion. Bagi saya, ia merupakan sesuatu yang genius dari 2 orang pengasas Instagram ini.

    Cuma musykil, lepas ni bekas pengasas Instagram nak buat apa kalau syarikat dah terjual? Rasa-rasa apa nak buat dengan USD$1 Billion tu?

  4. ditubuhkan oktober 2011 atau 2011?

    “Kevin, usahawan yang berusia 27 tahun membangunkan syarikat Instagram bersama Mike Krieger pada bulan Oktober 2010.”

    “Ketika ia pertama kali dilancarkan pada Oktober 2011, Kevin menyatakan dalam blognya di mana tujuan Instagram dibina adalah untuk menyelesaikan masalah orang ramai mengenai:”

  5. Norazihan Ismail
    April 15, 2012

    Memang benar.Terima kasih atas perkongsian semua di atas ilmu yang memang begitu membantu

  6. Terima kasih atas perkongsian.Apa yang saya dapat disini ialah bagaimana membantu orang ramai menyelesaikan masalah.Masalah yang dihadapi mestilah berkaitan dengan laman sosial. Walau idea yang saya anggap kecil tapi memberi impak membantu pengguna apa yang dihajati. Bila lagi rakyat tempatan boleh lakukan ini atau dengan lebih baik. Terbaik.

  7. improve n inovasi bbrp percent drp teknologi yg sedia ada. Tahu di mana keperluan teknologi itu utk diaplikasikan terutama dlm media sosial. Hasilnya, amat menakjubkan…

  8. hmm.. maaflah saya mencelah dengan soalan yg remeh.
    bagaimana ya agaknya sesuatu yg free spt Facebook & Instragram ini boleh
    mencecah nilai berbilion USD? (selain dari ad)

    1. Nilai sesuatu laman web atau aplikasi tidak semestinya dilihat pada keuntungan wang ringgit yang diperolehi darinya. Salah satu faktornya adalah JENAMA. Instagram telah mencipta nama dan detik kejayaan pada Apple Store, dimana lebih 15 juta pengguna Iphone telah memuat turun apps ini. Moga menjawab soalan :)

  9. Perkara yang dapat selesaikan masalah pasti akan berjaya… Walaupun masalah yang kecil ia adalah peluang… Jadikan masalah sebagai peluang untuk kita berjaya hanya perlu lihat pada keadaan yang berbeza… tahniah majalah niaga, artikel yang menarik dan hebat…

  10. point nya ialah sosial media. siapa yang mampu menghubung dunia sosial lebih dekat atau lagi MIKRO daripada facebook, twitter, youtube dan sebagainya, dia yang dapat menawan dunia.

  11. Berfikiran di luar kotak dan memudahkan penggunaan aplikasi. Salah satu contoh yang dapat digunakan adalah kegilaan pemain aplikasi permainan terhadap permainan Angry Bird yang sangat mudah dan tidak begitu sofistikated. Pengguna sekarang mencari jalan mudah untuk melarikan diri dari permasalahan yang menghimpit mereka hari-hari. Maka, para ushawan yang dapat memudahkan kerja pengguna, pasti produk mereka akan dicari.

Pendapat anda?