Resepi Kejayaan Blog – Niat dan Ilmu Untuk Berkongsi

September 08, 2011 — Penulis:

Kategori: Online

Adakah kita pernah menghadapi situasi seperti di bawah?

Resepi kejayaan

Hati terasa ingin membangunkan blog. Lebih-lebih lagi apabila melihat rakan-rakan blogger lain, yang sudah menjadi popular di mana blog mereka mempunyai ribuan pelawat setiap bulan.

Tetapi diri ini tidak bermula. Seolah-olah ada sesuatu seperti dinding besar yang menghalang supaya kita tidak bermula.

Atau situasi seperti ini?

Kita ingin membina sebuah blog yang mampu memberikan sejumlah wang, untuk kita hidup selesa dengan hanya berblogging. Namun kita takut untuk gagal. Ketakutan itu mendorong kita membeli produk, menghadiri seminar dan bengkel, serta menghabiskan ratusan ringgit semata-mata ingin menjadi sempurna.

Kita Sendiri Memilih Untuk Tidak Bermula

Namun situasinya tetap sama, kita tetap tidak mahu bermula. Atau lebih tepat lagi, kita memilih untuk tidak bermula. Percayalah, kedua-dua situasi di atas berpunca daripada persepsi diri kita sendiri. Untuk situasi yang pertama, kita sendiri yang mencipta dinding besar bagi menghalang diri untuk bertindak.

anthony robbins

Situasi kedua pula menjelaskan betapa bahayanya mempunyai sikap mementingkan kesempurnaan, yang akhirnya akan membunuh kita. Seperti kata kebanyakan pakar motivasi termasuklah Anthony Robbins, mementingkan kesempurnaan hanya melambatkan diri untuk bertindak.

Namun kedua-dua situasi ini boleh dielakkan, sekiranya kita memahami resepi untuk mengubah persepsi diri untuk menjadi positif. Bukan sahaja positif, malah ia dapat menjadi pencipta semangat untuk berblogging tanpa jemu.

Apakah rahsia yang dimaksudkan ini?

Resepi Sukses – Memahami Kuasa Niat dan Ilmu

Pakar dalam bidang Neuro-linguistic Programming (NLP), Mohd Rizal Hassan menyatakan, kita tidak perlu menunggu diri sehingga mencapai kesempurnaan untuk berjaya. Malah adalah lebih baik untuk bermula tanpa memikirkan isu ‘perfection’ ini.

rizal hassan

Ini kerana kuasa yang akan mencetuskan semangat untuk kita memulakan aktiviti blogging adalah berdasarkan dua elemen ini:

  • Elemen niat.
  • Elemen ilmu.

Niat dan ilmu adalah dua elemen berbeza, dan menjadi kuasa untuk mencipta kejayaan dalam dunia blog. Sekiranya kita lihat blog Glen Allsopp iaitu Viperchill.com, beliau menyatakan blog yang mempunyai lebih 16 ribu subscriber ini bermula dengan satu niat yang murni iaitu…

“Berkongsi ilmu mengenai pemasaran internet secara spesifik, langkah demi langkah, mudah difahami serta nilai ilmu yang berbeza dengan pemilik blog yang lain.”

Mulakan Dengan Niat yang Baik

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin ‘Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya.

Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”

Bagi yang beragama Islam, niat adalah punca utama kita melakukan sesuatu. Justeru itu, mulakan blog dengan niat yang murni. Sebagai contoh, Roslan (bukan nama sebenar) memulakan blog niche cinta kerana ingin berkongsi ilmu mengenai keindahan cinta dari perspektif Islam. Hasil daripada niat ini akan membuahkan hasil yang tidak akan disangka-sangka.

Malah dengan mempunyai niat yang murni, yakni berblogging kerana mahu berkongsi ilmu yang bermanfaat, kita akan rasa lebih mudah, tenang hati dan bertanggungjawab untuk menjayakan blog.

Mempunyai Ilmu Untuk Memberi Ilmu

Setelah mempunyai niat yang murni, pemilik blog wajar memiliki ilmu yang ingin dikongsikan. Kenapa pentingnya mempunyai ilmu sebelum mula berblogging? Kerana kita tidak mahu menyesatkan para pembaca,, akibat ilmu yang kita kongsikan belum pasti kesahihannya.

fauzul Naim Ishak

Untuk memperoleh ilmu, Tuan Fauzul Naim Ishak menyarankan agar kita melakukan penyelidikan terlebih dahulu. Antara mediumnya adalah:

  • Buku.
  • Blog-blog pakar bidang.
  • Menghadiri seminar atau bengkel.
  • Memerhati mengenai isu semasa.

Apabila selesai memperoleh ilmu, maka kita boleh mula untuk berkongsi sesuatu di blog. Dalam proses kita menerbitkan lebih banyak entri di blog, kita juga akan belajar lebih banyak ilmu baru. Ini dapat dilihat menerusi respon pembaca yang memberi komen ilmiah, di mana mereka membincangkan mengenai topik yang kita tulis di blog.

Rezeki Itu Pemberian Tuhan, Berusahalah

Meskipun entri ini berkongsi mengenai ‘resepi kejayaan’, namun semuanya berbalik semula pada Tuhan yang memberi rezeki. Tetapi perkara penting yang harus dilakukan oleh hamba-Nya adalah:

  • Mempunyai niat yang murni.
  • Mempunyai ilmu untuk berkongsi ilmu.
  • Berusaha sehabis baik, kemudian bertawakal.

Mudah-mudahan resepi ini dapat mencetuskan inspirasi dalam diri pembaca Majalah Niaga yang budiman, untuk memulakan kerjaya sebagai seorang blogger. Ia adalah medium suci, kerana setiap perkongsian ilmu yang dapat dimanfaatkan menerusi blog kita, akan menjadi pahala yang berterusan walaupun kita sudah tiada di dunia ini.

Kredit gambar yang diambil dari Flickr (racsa_artbox), Facebook (Tuan Rizal Hassan), (Tuan Fauzul Naim Ishak),(Anthony Robbins)


Tags: , , , , , , , , ,

Komen (2)

  1. Bila memulakan sesuatu dengan niat yang betul dan berkongsi ilmu yang bermanfaat untuk semua, kejayaan yang akan diraih nanti akan lebih membuatkan kita lebih dekat pencipta.

  2. Saya rasa ramai yang takut bermula kerana risau tiada masa untuk update blog..
    Ini sebab dalam lingkungan blogger M’sia, rata2 hanya bercerita tentang blog, sedangkan minisite pun tidak kurang hebatnya.

    Percaya atau tidak, walaupun salah satu blog saya mempunyai lebih daripada 100 page, yang benar2 memberi keuntungan tidak sampai 10 page pun.

    Sekiranya saya ‘ditch’ page2 yang lain, saya masih menjana income yang lumayan melalui adsense.

    Itu untuk adsense la.. untuk Nuffnang dan Innity mungkin berbeza.

    Jadi bagi sesiapa yang masih risau untuk bermula, tetapkan skop anda kepada minisite dahulu.

    Buat dalam 5 page pun dah cukup. Cuma pastikan kelima-lima page tersebut di indeks google dan mendapat ranking yang baik dalam search engine.

    Nak dapat ranking yang baik dalam SERP?

    Banyak backlink. Buat guest post, dan banyakkan hantar artikel ke artikel direktori.

    Just my 2 cents.. cheers.

Pendapat anda?