Reviu: Bual Bicara Limpahan Rezeki – Inspirasi Insan Berjaya, Berilmu & Bahagia

March 18, 2014 — Penulis:

Kategori: Reviu Produk

Bual bicara (talk show) Limpahan Rezeki telah berlangsung pada 1 Mac 2014 yang lalu di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Bangi. Bual bicara anjuran Jootawan Jannah Sdn. Bhd. ini mengupas konsep rezeki dalam kehidupan daripada sudut pandang yang berbeza.

UNITEN

Program yang mencetus aspirasi di kalangan hadirin ini julung kali dianjurkan oleh Jootawan Jannah Sdn.Bhd, iaitu anak syarikat kepada Jootawan Group Sdn. Bhd. Program yang pertama seumpamanya memfokus kepada kaitan Islam dengan perniagaan serta berusaha menjadi pemangkin dalam melahirkan individu yang berilmu, berjaya dan bahagia di dunia dan akhirat.

Bual bicara yang mensasarkan golongan usahawan, mahasiswa serta masyarakat umum ini juga  bertujuan untuk mendedahkan konsep rezeki dalam kehidupan dan perniagaan serta memberikan kefahaman asas berkaitan hubung kait Islam dan perniagaan.

Ketua Pengarah Eksekutif Jootawan Group, Encik Ammar Zahar menyatakan bahawa program ini bertujuan memperkenal konsep bual bicara ilmiah yang membincangkan tentang perihal rezeki dan kaiannya dengan hidup kita di dunia serta amal yang akan dibawa ke akhirat nanti.

Kombinasi ahli panel yang cukup berpengaruh dan pakar dalam bidang masing-masing telah dijemput untuk berkongsi ilmu. Ahli-ahli panel yang ditampilkan ialah Saiful Nang, Imam Muda Asyraf, Ustaz Muhammad Syaari Abd Rahman, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA) dan Tan Sri  Muhammad Ali Hashim.

Himpunan tajuk perbincangan yang diketengahkan oleh panelis jemputan menaikkan nilai ilmu yang diperoleh daripada program bual bicara ini. Tuan Saiful Nang mengupas tajuk “How Does Giving Makes You Richer”.

Saiful Nang

Tuan Saiful Nang menerangkan bahawa formula beliau untuk membina kejayaan dalam perniagaan ialah menjalankan perniagaan dengan yang menyelesaikan masalah orang lain. Beliau menukar isu dan sesuatu masalah itu ke bentuk perniagaan. Ambil masalah tersebut, selesaikannya dan jadikan ia sebagai medium berniaga.

Beliau turut menerangkan konsep “Beri semua, dapat semua (you give everything, you will get anything). Tegas beliau, untuk mula menjadi pemurah dan suka memberi, tidak perlu tunggu sehingga menjadi kaya raya, mulakan dari sekarang dan kejayaan dan kekayaan akan muncul kelak.

Sementara itu Imam Muda Asyraf pula berbicara tentang “Mudahnya Menjemput Rezeki”. Ustaz Asyraf menerangkan konsep sebenar menjemput rezek. Tidak salah untuk menjadi orang kaya dan berjaya di dunia tetapi biarlah ia berkat.

Imam Muda Asyraf

Tambah ustaz Asyraf lagi, rezeki itu bermaksud hasil yang berkat. Orang yang dikurniakan harta yang melimpah ruah tetapi tidak beriman sebenarnya telah mendapat istidraj dari Allah, iaitu ujian dalam bentuk kesenangan. Kesenangan yang menyebabkan dia semakin jauh dari Tuhannya. Orang-orang yang diistidraj memperoleh rezeki hasil usaha mereka semata-mata, ‘keberkatan’ tidak ikut serta.

Dr. MAZA dalam slot beliau berbicara  soal ‘Rezeki dalam Kehidupan.’ Dr. MAZA berkongsi, salah satu nama Allah ialah ar-Razzaq yang bermaksud Maha Memberi Rezeki. Rezeki bukan hanya pada wang ringgit tetapi termasuk cinta atau kasih sayang, sahabat handai, anak-anak, kesihatan, kebahagiaan dan memiliki dada yang lapang atau hidup tenang.

Dr MAZA

Di samping berusaha, perlunya ada sifat syukur dan berasa cukup dengan apa yang ada. Hukum alam atau fitrah, jika mahu memperoleh sesuatu, maka harus disertai dengan usaha. Niat dan cara pula akan menentukan berkat atau tidak rezeki itu.

Dr. MAZA membahagikan rezeki kepada dua bahagian iaitu:

  1. Allah menganugerahkan rezeki kepada semua makhluk tanpa mengira fahaman dan anutan agama mereka atas sifat Allah yang Maha Pemurah. Orang kafir juga diberi rezeki tetapi dalam bentuk harta, bukan pada ketenangan jiwa.
  2. Rezeki kepada orang-orang yang beriman iaitu nikmat iman, ketenangan jiwa, kelapangan dada dan kebahagiaan kerana Allah bersifat Maha Mengasihani.

Tan Sri Ali Hashim

Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang merupakan bekas Presiden Johor Corporation (JCorp) selama 28 tahun ‘menutup’ program bual bicara dengan tajuknya “Limpahan Rezeki dalam Bisnes di Malaysia”.

Ustaz Syaari pula membentangkan tajuk ‘The Art of Bussiness’ dalam slot yang diperuntukkan buat beliau. Ustaz Syaari menghuraikan dengan terperinci petua kejayaan dalam perniagaan iaitu:

1) Mempunyai matlamat yang jelas

2) Melakukan penyelidikan (R & D)

3) Keazaman

4) Motivasi

5) Mentor terbaik

Ustaz Asyari

Kupasan akhir beliau amat menarik apabila menyebut tentang hidup berpandukan kompas, bukan dengan jam. Beliau turut berkongsi rahsia kejayaan Tiger Wood yang menjadi pemain golf nombor satu dunia iaitu dengan elemen “the power of visualization” – membayangkan kesudahan sesuatu perkara sebelum mula melakukan sesuatu perkara.

Untuk slot terakhir, panel Tan Sri Ali Hashim pula berbicara soal Limpahan Rezeki dalam bisnes.

Beliau berkongsi matlamat dan motivasi dengan para hadirin dengan memberi inspirasi agar menjadikan bisnes yang diusahakan sebagai satu jihad. Jihad dalam menbangun dan mengukuhkan ekonomi Islam.

Selain itu, beliau turut menegaskan tentang hukum dan sunah Nabi Muhammad s.a.w yang menyatakan bahawa 9/10 punca rezeki adalah daripada menjalankan perniagaan.

Tan Sri Ali Hashim menegaskan bahawa hakikat bisnes adalah untuk memperbaiki kerosakan yang berlaku di muka bumi di samping berusaha menjadi khalifah ekonomi dan memperkasakan agama melalui keteguhan ekonomi Islam yang terbina.

Bual bicara ini bertujuan untuk menyampai dan menyebar-luaskan ilmu dan pengetahuan berrkaitan rezeki dan perniagaan dengan pendekatan mudah di’hadam’ serta difahami. Perkongsian ilmu dan idea daripada panel-panel yang bukan calang-calang individu ini merupakan satu lagi khazanah ilmu bermanfaat untuk para peserta bual bicara serta pembaca Majalah Niaga semua.

Kredit foto: Koleksi Majalah NiagaUNITEN3194694jootawanjannah


Komen (3)

  1. assalammualaikum… t. kasih atas pengisian yg sangat berguna.. saya juga berhajat utk hadirkan diri joint talk show akan datang.. insya allah..

Pendapat anda?