Saya Tahu Insurans dan Riba Itu Haram, Tetapi…

November 14, 2011 — Penulis:

Kategori: Perkhidmatan

Beliau mengangguk-angguk tanda setuju dengan penjelasan saya tentang perbezaan di antara insurans konvensional dengan takaful.

Tatkala saya menerangkan tentang perbezaan kontrak insurans konvensional yang menggunakan kontrak jual beli, dan kontrak takaful yang menggunakan kontrak derma, beliau bertanya beberapa soalan untuk penjelasan.

Dari bahasa badannya, nampak beliau begitu bersungguh-sungguh inginkan penjelasan tentang perkara tersebut. Ternyata soalan-soalan yang beliau kemukakan menunjukkan kematangannya berfikir, sesuai dengan statusnya sebagai seorang bisnesman.

“Ya Encik Afyan, saya pun pernah membaca tentang perkara ini”, kata beliau merujuk kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tentang hukum insurans konvensional.

Nampaknya sebelum menemui saya, beliau sudah pun membuat sedikit kajian dan pembacaan. Ia memudahkan kerja saya untuk menerangkan perkara tersebut. Tambahan lagi, kafeteria tempat kami bertemu tidak ramai pelanggan mengunjunginya memudahkan saya membuat penerangan dengan jelas.

“Ada sebarang persoalan yang Tuan ingin tanyakan lagi?”, saya bertanya kepada beliau selepas penjelasan terakhir tentang perkara ini.

“Setakat ini tiada”, kata beliau sambil menyandarkan badan ke kerusi.

“Jika begitu, kita boleh berpindah ke topik seterusnya iaitu keperluan kewangan Tuan sebelum saya cadangkan mana-mana produk takaful yang sesuai”, kata saya.

“Sebenarnya saya sudah memiliki beberapa polisi sebelum ini”, kata beliau.

“Alhamdulillah, suka saya mendengarnya kerana Tuan sudah mengambil keputusan yang bijak untuk masa hadapan Tuan”, balas saya, menyanjungi kesedarannya untuk memiliki plan perlindungan kewangan.

“Tetapi…”, beliau membiarkan ayatnya tergantung.

Ingin Berhijrah, Tetapi…

Saya diam seketika memberi peluang beliau menghabiskan kata-kata.

Saya cuba meneka. Mungkin dia tidak berpuas hati dengan polisi sedia ada, atau beliau hanya ingin berjumpa saya sekadar ingin mengetahui perbezaan antara takaful dengan insurans konvensional, kerana beliau mengetahui saya selepas membaca blog saya tentang isu ini.

“Sebenarnya, saya sudah melanggan dengan insurans konvensional”, kata beliau agak perlahan.

“Oh, begitu rupanya”, kata saya di dalam hati. Agak jauh dari tekaan saya sebelum ini.

“Saya sudah mengambil polisi insurans konvensioanal kira-kira sepuluh tahun lalu ketika baru berkahwin. Ketika itu saya tidak tahu insurans konvensional ini haram hukumnya. Dan saya pun baru tahu dalam setahun dua ini bahawa insurans konvensional ini haram”, jelas beliau panjang lebar.

“Alhamdulillah, selain daripada mempunyai kesedaran untuk memiliki perlindungan kewangan, Tuan juga mempunyai kesedaran tentang aspek halal haram. Tahniah saya ucapkan”, tambah saya lagi, menyanjung tinggi kesedaran beliau. Kali kedua saya ucapkan tahniah kepada beliau.

“Tetapi, kalau saya batalkan polisi insurans konvensional saya, saya akan rugi”, kata beliau lagi.

Saya diam sebentar.

Saya dapat meneka apa yang bermain di benak fikirannya; beliau bercadang untuk berpindah kepada takaful tapi beliau memikirkan kerugian yang beliau akan alami sekiranya membatalkan polisi insurans konvensional sedia ada.

“Tuan, menjadi tanggungjawab saya untuk mengajak Tuan berhijrah daripada insurans konvensional kepada takaful yang bebas daripada riba, sebagaimana yang saya kongsikan di awal tadi tentang bahaya riba. Jika Tuan sudah mengambil pelan perlindungan takaful dari syarikat lain, saya tidak akan menasihat Tuan untuk batalkan polisi-polisi Tuan”, jelas saya panjang lebar.

Kemudian, saya menyambung lagi, “Tetapi memandangkan Tuan mengambil pelan insurans konvensional, maka adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab saya untuk mengajak Tuan keluar daripada sistem kewangan riba dan berhijrah kepada sistem takaful”.

Untung Rugi Berpindah-pindah Polisi

Beliau mengangguk-angguk perlahan sambil berkata “Ya Encik Afyan, saya tahu bahawa insurans konvensional adalah riba dan riba itu haram hukumnya, tetapi saya akan rugi banyak jika saya membatalkan polisi yang sudah saya langgan lebih 10 tahun ini”.

Saya tersenyum, apa yang diperkatakannya benar. Membatalkan polisi lama yang sudah diambil bertahun-tahun semata-mata untuk mengambil polisi baru bukanlah satu tindakan bijak.

Malah, adalah satu perbuatan yang tidak beretika mana-mana ejen insurans atau takaful yang menasihati pelanggan untuk membatalkan polisi sedia ada dengan tujuan supaya pelanggan mengambil polisi baru dengannya.

Sebagai perunding kewangan dan takaful, menjadi prinsip saya untuk menasihati pelanggan untuk kekalkan polisi sedia ada kerana membatalkan polisi sedia ada yang lama, dan melanggan polisi baru akan melibatkan kos dan kerugian tertentu yang terpaksa ditanggung oleh pelanggan atas dua faktor, iaitu;

  • Umur; usia pelanggan semakin hari semakin meningkat, justeru kos untuk melanggan polisi baru hari ini secara logiknya akan lebih tinggi berbanding polisi yang sama tahun lalu atas faktor umur, dan
  • Kesihatan; kesihatan pelanggan hari ini tentu tidak sama ketika beliau melanggan polisi lama dahulu. Situasi akan lebih teruk untuk melanggan polisi baru jika beliau pernah membuat tuntutan.

Atas kedua-dua faktor ini, berpindah daripada polisi lama kepada polisi baru lebih banyak merugikan pelanggan. Tetapi yang paling untung dalam situasi ini adalah ejen.

Itu sebabnya, adalah sesuatu yang tidak beretika bagi mana-mana ejen atau wakil takaful menasihati pelanggan untuk membatalkan polisi sedia ada, kerana ia hanya menguntungkan ejen, bukan pelanggan.

Tidak dapat dinafikan terdapat segelintir ejen yang tidak beretika yang mengamalkan cara ini untuk memperbanyakkan bisnes mereka. Tetapi selalunya mereka tidak kekal lama dalam industri.

Namun yang menyedihkan, perbuatan mereka sedikit sebanyak merosakkan industri. Bak kata Karam Singh Waliya;

Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Atas dasar prinsip, ejen-ejen yang beretika tidak sekali-kali menasihati pelanggan untuk membatalkan polisi sedia ada hanya semata untuk bisnes. Pengalaman saya, selalunya saya akan mencadangkan untuk menambah jumlah perlindungan yang baru bersesuaian dengan keperluan kewangan semasa.

Contohnya polisi lama yang diambilnya dahulu adalah ketika bujang, mungkin bersesuaian ketika polisi tersebut dilanggan. Namun sekarang prospek sudah berkahwin dan beranak pinak sudah tentu keperluan perlindungan kewangannya bertambah berbanding dahulu.

Namun, dalam situasi ini, pelanggan yang ditemui sudah pun lama menjadi pelanggan insurans konvensional.
Jadi, juga atas dasar prinsip yang lebih utama iaitu prinsip Islam yang saya pegang, saya akan menasihati pelanggan untuk berhijrah daripada institusi riba kepada alternatif yang bebas riba dan patuh syariah.

Ya, atas dasar prinsip juga kerana insurans konvensional adalah instrumen riba, justeru itu adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menerangkan bahawa insurans yang dilanggan selama ini adalah riba dan alternatifnya adalah takaful.

Kemudian, keputusan terletak di tangan pelanggan untuk membuat keputusan yang terbaik untuk dirinya, di dunia dan akhirat.

“Berapa caruman yang Tuan ambil dengan insurans sebelum ini?”, tanya saya.

“Saya mengambil tiga polisi untuk saya dan anak sulung saya, jumlahnya dalam RM500 sebulan. Saya ambil pada tahun 1999, ketika awal perkahwinan dan setahun kemudian selepas mendapat anak sulung”, jawab beliau sambil menghulurkan satu fail yang terisi polisi-polisi insurannya.

Saya mencongak-congak jumlah caruman yang sudah beliau bayar selama ini. Sebulan RM500 maka setahun RM6,000. Congakan awal saya, polisi-polisi tersebut sudah lebih 10 tahun maka sekurang-kurangnya sudah RM60,000 yang sudah dibayar selama ini.

Ia satu jumlah yang besar. Jadi tidak hairanlah beliau agak ralat untuk membatalkan polisi sedia ada dan berhijrah kepada takaful.

Sambil membelek polisi-polisi insurannya, beliau berkata kepada saya “Encik Afyan, saya sudah pun membuat kiraan sebelum saya bertemu dengan Encik. Jumlah caruman yang saya bayar untuk kesemua polisi adalah RM524.40 sebulan dan jumlah keseluruhan yang saya bayar berjumlah RM71,463.96. Dan saya sudah pun hubungi syarikat berkenaan, nilai tunai insurans saya adalah RM34,356.14. Rugi kalau saya batalkan sekarang”.

Perkataan “rugi” diulang lagi, kali ini dengan lebih ditekankan. Sambil itu beliau menunjukkan satu kertas yang bertulisan tangan tertulis jumlah-jumlah yang disebutkannya tadi.

Saya tersenyum, sambil mempelawa beliau minum minuman yang kami pesan di awal pertemuan tadi, “Minum dulu Tuan, nanti sejuk pula”.
Beliau turut tersenyum, sambil menyedut air minumannya.

Sambil minum, sempat beliau berkata “Jika saya batalkan, saya rugi 50% daripada jumlah caruman yang saya sudah bayar, kira-kira RM40,000. Memang rugi.”

Nampak semacam beliau cuba menguji saya. Suasana hening seketika.

Sanggup Untuk Teruskan?

Saya turut minum sambil saya bertanya kepadanya, “Tuan, bagaimana kalau saya katakan yang air yang kita minum ini sebenarnya tersalah pesan?”.

“Maksud En Afyan?”, tanya beliau, keliru tiba-tiba saya berubah topik.

“Maksud saya, andai kata tiba-tiba datang pelayan restoran ini kepada kita, dan memaklumkan air yang kita minum ini sebenarnya dipesan ini adalah air minuman beralkohol, tapi kita tidak perasan dalam menunya tadi”, kata saya.

“Isshhhh…. saya akan muntahkan balik apa yang saya minum dan minta air baru”, balasnya sambil ketawa kecil.

“Tuan tidak berasa rugi?”, tanya saya, menguji.

“Tidaklah. Apalah sangat rugi sedikit berbanding minuman haram masuk ke perut kita ini”, balasnya tegas, sambill mencebikkan bibir tanda jijik dengan air syaitan itu.

“Eh, mahal ni Tuan”, kata saya merujuk kepada harga air minuman kafeteria hotel ekslusif yang kami bertemu sekarang. Memang harganya sedikit mahal berbanding restoran-restoran biasa.

“Tidak kisahlah. Saya boleh bayar apa yang sudah dipesan dan kita pesan air minuman baru. Jangan risau Encik Afyan, hari ini saya belanja Encik Afyan”, balas beliau.

“Begitulah juga dengan insurans konvensional yang Tuan langgan selama ini”, balas saya, agak tajam.

Beliau terdiam. Nampak agak tersentak berdasarkan kerutan keningnya yang tajam memerhatikan saya.

“Apalah sangat rugi sedikit berbanding dosa riba dan hukuman riba di akhirat kelak”, saya menyambung lagi, kali ini menggunakan ayat-ayat yang beliau gunakan tadi dengan sedikit olahan.

Beliau masih terdiam. Nampak ingin berkata sesuatu tapi tidak terkeluar.

“Malah Tuan, balasan dosa riba lebih teruk berbanding dosa minum arak”, tegas saya merujuk kepada penerangan awal saya berkenaan dosa-dosa riba yang Allah mengisytihar perang terhadap pelaku riba.

“Begini Tuan, saya tidak nafikan bahawa dalam situasi Tuan sudah tentu Tuan memikirkan kerugian yang bakal Tuan tanggung sekiranya Tuan membatalkan polisi sedia ada dan melanggan polisi baru. Namun, memandangkan polisi yang Tuan langgan selama ini adalah polisi riba, dan Tuan sudah pun sedia maklum tentang hukum-hakam riba, maka sudah tibalah masanya untuk Tuan berhijrah. Insya-Allah, apabila Tuan berhijrah kelak, nescaya Allah akan bersama-sama Tuan dengan keputusan yang Tuan lakukan”.

Beliau masih diam. Berfikir barangkali. Keningnya masih berkerut seperti tadi.

“Sebagaimana air yang kita tersalah pesan tadi, kita tidak terasa rugi sekalipun membayar ekstra dua harga untuk satu gelas yang kita patut minum dan satu gelas yang kita tersalah pesan, dan hanya satu sahaja yang kita akan minum sebenarnya”, sambung saya lagi, kali ini menggunakan perkataan ‘kita’ sebagai kata ganti diri pertama.

“Tuan, saya ada satu cara untuk mengurangkan kerugian yang Tuan alami. Caranya adalah dengan memindahkan nilai tunai polisi lama Tuan ke polisi baru yang akan Tuan langgan nanti. Dengan cara ini, sekalipun polisi baru Tuan baru sahaja sebulan, tetapi nilai tunainya sama dengan polisi lama Tuan yang sudah lebih 10 tahun”, saya memberikan cadangan.

Nampak sedikit sinar di wajahnya, lantas berkata “Oh, begitukah?”

Mari Berhijrah! Hapuskan Riba

Beliau menyambung lagi “Sebenarnya saya sudah lama memikirkan alternatif terbaik untuk menggantikan polisi insurans saya ini selepas mengetahui tentang hukum haramnya kira-kira dua tahun lalu. Namun, selama ini saya buntu memikirkan kerugian yang bakal saya alami jika membatalkan insurans tersebut”.

“Alhamdulillah, hari ini saya sudah nampak jalannya”.

Beliau nampak begitu ceria sekali.

Seterusnya saya mencadangkan agar beliau tidak terus membatalkan polisi insurans konvensionalnya selagi mana polisi takafulnya berkuatkuasa sepenuhnya. Ini kerana setiap polisi baru akan mempunyai tempoh menunggu sebulan sehingga tiga bulan bagi memastikan perlindungan-perlindungan untuk kematian, lumpuh, serta sakit kritikal berkuatkuasa sepenuhnya.

Tempoh menunggu ini ada kaitan dengan tahap kesihatan peserta.

Jika polisi lamanya terus sahaja dibatalkan sebelum polisi baru berkuatkuasa sepenuhnya, risiko kepada pelanggan seandainya ditimpa musibah pada waktu itu. Jika ia berlaku, maka tiada perlindungan kewangan diberi dan saya adalah orang yang paling terkilan seandainya ia berlaku kepada pelanggan saya.

Justeru itu, saya mengesyorkan agar polisi lama dibatalkan hanya selepas polisi takaful yang baru dilanggan melepasi tempoh menunggu yang selalunya mengambil masa 90 hari atau 3 bulan. Sebaiknya selepas setahun untuk memastikan keadaan kesihatan peserta benar-benar sihat.

“Alhamdulillah, tahniah kerana Tuan berani mengambil keputusan untuk BERHIJRAH!”, kata saya. Kali ketiga saya ucapkan tahniah, dan yang paling bermakna kerana dalam masa sama saya bersyukur kerana menyelamatkan seorang lagi muslim daripada bahaya dan bahana riba.

Oh, bukan seorang, termasuk juga anaknya 🙂

Kredit gambar yang diambil dari Flickr (piaser, 30985676, doug888, miossakuragi)


Tags: , , , , , , , ,

Komen (39)

  1. Salam, Apa pendapat tuan sekiranya pemegang polisi insuran tersebut telah mendapat pelbagai penyakit? Apakah tindakan yang sepatutnya diambil memandangkan kalau ambik polisi takaful baru ada kemungkinan reject..

    1. Dalam situasi ini, agak sedikit berbeza solusinya.

      Beliau perlu berusaha dengan beberapa syarikat takaful atau produk.

      Jika selepas itu masih gagal dan tiada syarikat takaful yang menerimanya, maka atas dasar maslahah / kebajikan dia boleh teruskan polisi lama yg konvensional.

      Semoga Allah merahmati beliau. Namun jika beliau hendak membatalkan juga, maka ia dikira sebagai jihad.

  2. Artikel ni mungkin biasa dibaca di mana-mana, tapi ia disiarkan tepat pada masa saya nak kena renew insurans konvensional saya (setiap separuh tahun) yang dah diambil sejak 10 tahun yg lalu (sejak 2001). (Eh, sama pulak kedudukan kisah saya mcm pelanggan dlm posting ni. Kebetulan ja tu…) Rugi jugak kalau cancel polisi ni skrg, baik saya berhijrah mcm yang dicadangkan oleh penulis 🙂 Macamana nak cari alternatifnya ni? Sejak beberapa tahun dok cari, tak jumpak pelan takaful seumpamanya. Mungkin saya tidak mencari di tempat yang betul?

  3. best baca artikel begini menjadi sumber pengetahuan masalahnya kalau kita tak tau insurans konvensional tu riba macam maner sebab dah tentu agen takkan bgth sebab sibuk cari customer je(tak semua la)

  4. Pindah nilai tunai 10 tahun, tapi masuk ke dalam polisi tradisional Takaful, di mana 90%-100% caruman tahun pertama adalah hangus sebagai caj Tabaru’ atau AKP, ia tetap akan merugikan pelanggan tersebut dan menguntungkan ejen tersebut.

    Malahan jika tidak diteliti, jika kesemua caruman tersebut diletakkan ke dalam akaun Takafulink, juga akan kehilangan 60% pada tahun pertama. Setiap proposal baru, perlu diperhalusi dengan teliti. Takut terpedaya dengan dakwah Islamiah, tapi akhirnya dapat proposal macam typical ejen takaful yang sekadar mengejar jualan =)

    1. Ya, sememangnya ejen takaful yang akan untung dan sudah dikemukakn dalam tulisan di atas.

      Selain untung komisen, ejen tersebut juga akan untung di akhirat apabila pelanggan menerima hidayah untuk membatalkan polisi riba insurans konvensional kepada takaful.

      Untung di dunia dan untung di akhirat.

  5. Apa status duit/ nilai serahan yang kita perolehi selepas membatalkan polisi insuran konvensional tu? Adakah ‘bersih’ untuk saya gunakan?

    1. Dalam situasi di atas, peserta mencarum polisi insurans konvensional ketika beliau belum mengetahuinya.

      Selepas menerima hidayah untuk berhijrah, beliau boleh mengambil sebanyak yang dicarum sahaja .

  6. nice 🙂

    saya pun baru saja ambil takaful.
    ni bukan sbb nk cakap sape dapat untung bila ambil takaful or konvensional.
    kita nak tunjuk je, dana insurans mana yg dipercayai sumbernya, dan tidak melibatkan riba.
    dan kita nak kongsi ilmu maklumat kepada rakan2 muslim yang masih tak tahu beza takaful dan konvensional.
    mana2 pekerjaan pun ada untung rugi bagi sesiapa yang terlibat.
    well done bro.

    barakallah.

  7. Sy prnah mpnyai Tkfl Iklhas utk anak sy lbih dr 3thn pmbyrn Potongan Bnk tiada miss tp bila ank sy tiba2 trkena sakit agak teruk dn mmerlukn pmbedahan, sy sgt kcewa krn kad xblh digunakn krn ank sy dibwh 5thn. Dn bru le sy tau bhw takaful agak straight, byk soaljwb. Ini sgt myusahkn plgn takaful.

    1. Bukan semua situasi begitu.

      Jika baru sebualn dua mencarum, memang polisi akan lapse apabila tiada caruman.

      Tapi jika sudah membayar beberapa tahun, jika terlupa bayar sebulan dua, ia masih berkuatkuasa.

  8. Saya tk paham cara untuk nilai tunai polisi baru (takaful) sama nilai dengan nilai polisi lama (konvensional) yg dh lebih 10 tahun tu…pohon pencerahan. T.Kasih

    1. Maknanya, apabila ambil nilai tunai polisi lama (contoh RM10,000) dan masukkan ke daam polisi baru, bermakna polisi takaful baru sudah mempunyai nilai tunai sebanyak RM10,000 (contoh sahaja), walaupun baru sebulan ia berkuatkuasa.

      1. Saya masih kurang paham dlm hal ini. Boleh tuan terangkan dgn jumlah tunai yg diterima seperti arrikel di atas. Jumlah tunai yg telah diseimpan d conventional insuran dlm 70k dan sekiranya dia batalkan insuran tersebut, dia akan terima dalam lebih kurang 30k sahaja. Sekiranya berpindah ke islamic insuran, nilai menjadi [email protected] pd bulan pertama?

  9. salam. dulu sy ada takaful tp dh teminate sbb protection x byk. pd premium yg sama kita boleh dpt cover yg lebih jika ambil insurans drpd ambil takaful. itu yg sy nmpk pd waktu tu. jd sy ambil investment link insurance yg labur dlm dana syariah. cumanya protection,med card,pampasan kematian agaknya konventional la. adakah ini pun dikategorikan sbg haram?

    soalan kedua, adakah smua sykt insurans yg ada subsidiary takaful boleh hijrah mcm tu?

  10. Saya berpendapat simpan duit sendiri lagi bagus dari ambil insurans halal wal islaaaaami wannabiyyi atau riba. Kedua2 pengguna yg rugi. Tiada banyak kebaikan guna sistem duit ni. Umat Islam dgn perbagai certification pun masih x serik2 kena tipu dgn sistem duit kertas dan kapitalis.

    Hujah x boleh simpan sendiri dan tiada komitmen ialah terlalu mengarut.

    Simpan duit sendiri. Tukar kpd emas. Belajar selok belok emas. Tinggalkan sistem kewangan duit kertas. Guna yg patut2 saja.

    Saya buat simpanan sendiri dan insurancekan keluarga saya sendiri dgn hasil titik peluh sendiri. Kecil dan simpan sikik2 pun xpa.. janji konsisten. Celiklah dgn simpanan kepingan emas. Orang Yahudi jauh kedepan. Kita sibuk membodohkan orang. Jangan percayakan sesiapa. Adik beradik blom tentu boleh tolong hal kewangan. Inikan pula pihak bank dan insurance yg banyak helah untuk menipu kita dgn Islam. Keliling kita semuanya penipu dgn guna ayat2 agama untuk membodohkan kita. Mmg perit nak terima hakikat ini.

    Jika pak haji dan lebai pun ramai kaki belit. Tok imam pun boleh kebas duit tabung masjid bila sesak2 nak pakai duit.

    Nakkan sesuatu apa. Usaha sendiri. Jangan harapkan orang akan bantu. Selamat berjaya.

  11. Kehadapan
    July 3, 2017

    Takaful sama je.. Guna lah istilah apa pon.. Y penting hasilnya..
    Takaful walau konsep derma.. Tp kalau tiba masa nk claim.. Kita y kononnya derma ni mengamok2 jgk klu xdpt claim.. Patutnya redo jela.. Dah nma pon kita derma.. So ape ke halnya nk mengamok2 kalau last2 sndri y xmghayati konsep derma.. So last2 kita “derma” ke.. “tak derma” akhirnya tetap nk menuntut hak y spatutnya dapat.. So mncarum utk payah utk claim last2 mnyusahkan dri sndri tu islamik ke? Memudaratkan dri jgk kan.. Bnyk dah kes2 mlibatkan takaful bila nk claim jdi problem.. Aku agen jgk dlu.. Saba je kna maki..

    Baik aku bayar bulan2 pada badan x islamik.. Tp bila tiba masa memerlukan.. Mudah je nk claim.. Dripada byr kt tmpt y konon islamik.. Tp bila nk cliam.. Itulah.. Ini lah.. Ni duit org rmai lah.. Kna jga btol2 lah.. Xbleh sng2 nk kluar lah.. Puiii..

    Kalau insurans konvensional stkat nk kata haram sebab riba.. Ok fine.. Aku awal2 lagi aku niat “derma”.. Claim ke atau x claim xde isu.. ssebab aku dah derma duit aku utk insuran konvemsional.. Sama mcm y takaful guna istilah derma.. So at the end.. Aku punya claim sng..

    Xde bnda nye dlm dunia skrg ni 100% halal.. Kita cuma dpt kurgkan mudarat haram tu je.. Tp berpada2 jgk.. Bia balance dgn mudarat y akan kita dpt.. Tuhan maha ngetahui apa kita buat.. Xsemua bnda haram tu akan haram smpi bila2.. Babi haram.. Tp klu guna utk bnda baik.. Baik lah jadinya..

    Org bisnes.. Biasela.. Smua hok dia kata halal.. Y lain haram belaka..

  12. insuran tu tempat buat duit..paham benda ni korang akan faham kenapa x perlu walaupon tahu kos perubatan kini mahal.

Pendapat anda?