SPM 2013: Kejayaan Material Vs. Kejayaan Spiritual

March 21, 2014 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Motivasi / Pembangunan Diri

Ucapan Tipikal Pasca Keputusan Peperiksaan

Semalam merupakan satu lagi hari bersejarah dalam kehidupan remaja sekolah. Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah pun diketahui. Tahniah kepada semua pelajar yang mengambil SPM tahun 2013.

Penulis tidak mahu memberi dua ucapan tipikal ini kepada mereka;

“Tahniah kepada yang berjaya”;

“Yang kurang berjaya, tahniah juga, jangan berputus asa”.

Ucapan Tahniah

Penulis telah menempuh fasa-fasa peperiksaan yang dikatakan teramat penting dalam kehidupan awal seseorang (rakyat Malaysia) sebelum menempuh alam kerjaya. Penulis merasa jelek apabila terdapat ucapan ‘kepada yang kurang berjaya’ kepada remaja-remaja ini.

Perasaan ini selari dengan sepotong ayat al-Quran yang bermaksud:

“…dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat…” (Surah Al-Baqarah : 83)

Penulis sering tertanya-tanya, apakah yang dimaksudkan dengan ‘kurang berjaya’ dalam ucapan tersebut? Bagaimana sebenarnya kejayaan seseorang pelajar itu dinilai? Adakah semata-mata bersandarkan jumlah A yang diperoleh?

Dalam memberi ucapan tersebut sahaja sudah membunuh motivasi pelajar tersebut. Ucapan ‘kurang berjaya’ itu akan mencetuskan suatu andaian dalam minda pelajar bahawa ‘dia gagal’ dan masa depannya samar-samar.

Mengapakah pelajar dengan keputusan yang lebih banyak B, C, D atau lain-lain dikatakan kurang berjaya? Keputusan peperiksaan bersifat reflektif: refleksi skor kepada usaha seseorang terhadap pelajaran.

Siapa di kalangan kita yang dapat menentukan pengakhiran kehidupan remaja yang keputusan peperiksaannya di penuhi abjad C, D mahupun E? Apakah perjalanan hidup seseorang yang gemilang itu bersandarkan apa yang diperoleh pada setiap peperiksaan yang diambil sewaktu belajar?

Dewan Peperiksaan

Malaysia dan Peperiksaan

Umum mengetahui sistem pendidikan Malaysia ‘tiada kategori’ dalam senarai sistem pendidikan negara seluruh dunia. Tidak dalam senarai terbaik, tidak juga dalam senarai terburuk. Boleh jadi pertengahan, namun lebih memberat ke arah ‘terburuk’ mungkin?

Hakikat kenyataan penulis ini diperkukuh dengan kenyataan sebuah akhbar arus perdana yang melaporkan bahawa berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), keputusan TIMSS 2011, 35 peratus dan 38 peratus murid Malaysia gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik dan Sains, malah berada di belakang Singapura, Vietnam dan Thailand.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, risiko itu boleh dilihat melalui pentaksiran antarabangsa terbaharu dikeluarkan oleh Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS).

Mengikut kenyataan Ketua Pendidikan, kekurangan ini adalah berkait rapat dengan sistem pendidikan Malaysia yang lebih mementingkan keputusan peperiksaan berbanding mendidik pelajar untuk berfikir.

Kenyataan ini tidak dapat disangkal kebenarannya. Kebanyakan pelajar menghabiskan masa untuk menghafal bagi menghadapi peperiksaan berbanding memberi ruang kepada minda untuk berfikir dan berkembang secara sihat.

Sistem pendidikan di Malaysia yang berorientasikan peperiksaan (exam oriented) tidak menguji kekuatan skil kehidupan seseorang, sebaliknya hanya menguji sejauh mana pemahaman, memori dan hafalan seorang pelajar terhadap subjek yang dipelajari. Ini hakikatnya.

Sudah terlalu banyak kisah kejayaan yang dicipta tanpa A berderet dalam keputusan peperiksaan mahupun mata CGPA tertinggi di universiti. Di dalam entri-entri artikel di blog Majalah Niaga sudah terlalu banyak kisah kejayaan seumpama ini didedahkan.

Memandangkan Majalah Niaga belum lagi menjadi media arus perdana (mainstream), oleh sebab itu, mungkin masih ada yang belum mengetahui kisah-kisah kejayaan ini.

Generasi Y

Keputusan peperiksaan hanyalah satu pencapaian material. Ia melibatkan kesungguhan, fokus, kefahaman, memori yang baik, usaha dan tawakal kepada Allah. Hasil gabungan elemen-elemen ini, maka diterjemahkan dalam bentuk keputusan peperiksaan yang diukur dengan abjad A, B, C, D, E atau F.

Memang benar jika ada guru-guru yang mengatakan, apa yang diperoleh (keputusan) itu adalah cermin kepada sikap dan kesungguhan kamu terhadap pelajaran. Namun, jangan dinafi bahawa terdapat perbezaan tahap pemahaman dan kemahiran berfikir kreatif dan kritis antara pelajar.

Sikap guru-guru yang sering menekan dan memomokkan pelajar bahawa SPM sebagai penentu masa depan harus dihentikan dengan serta-merta. Ini merupakan satu perbuatan yang menjelikkan. Lebih memalukan sekiranya ada dikalangan guru-guru yang menggunakan ‘jampi’ ini beragama Islam.

Gagal Peperiksaan

Unsur-unsur seperti ini memberi tekanan dan beban kepada pelajar untuk mencapai keputusan yang cemerlang kerana memikirkan masa depan, bukan kerana kepentingan ilmu itu sendiri. Tekanan dan desakan yang datangnya daripada pihak ibu bapa mahupun guru-guru inilah yang menyebabkan wujud kes-kes bunuh diri akibat keputusan peperiksaan yang tidak memenuhi kriteria yang di ingini guru-guru dan ibu bapa.

Pelajar-pelajar sepatutnya di pupuk dan dibaja minda mereka dengan hakikat bahawa SPM hanyalah sebagai pemudah cara, bukan penentu kepada kejayaan masa hadapan. SPM sebagai laluan untuk ke institusi pengajian tinggi dan mengikuti program yang diminati pelajar.

Sementara bagi yang tidak berminat ke menara gading, SPM sebagai tiket untuk menyertai kursus-kursus kemahiran, bengkel-bengkel dan pelbagai lagi sumber ilmu dan pendekatan untuk menguasai sesuatu yang diminati pelajar.

Malang sekali di Malaysia, kita mempunyai satu sistem pekerjaan atau pendidikan yang lucu iaitu memerlukan sijil SPM atau PMR (minimum) walaupun hanya jika ingin menyertai sesuatu bengkel/kursus (bagi lepasan sekolah).

slip-keputusan

Kejayaan Spiritual Atasi Kejayaan Material

Dalam isu ini, kejayaan material diukur melalui keputusan peperiksaan, jawatan atau pekerjaan yang disandang serta kekayaan harta benda sedangkan unsur-unsur hidup yang lebih penting seperti sifat mandiri, motivasi, kreatif dan cekal hanya 10% daripada unsur-unsur yang bersifat material.

Manakala kejayaan spiritual merupakan kejayaan yang berterusan; keputusan peperiksaan tanpa banyak A, tetapi lebih bersifat cekal, bermotivasi tinggi, optimis dan positif, tidak sedih jika tidak memperoleh banyak A dalam keputusan peperiksaan dan sukakan cabaran serta percaya kepada qada’ dan qadar Allah.

Walau bagaimanapun, bagi yang beragama Islam, sifat percaya dan yakin dengan ketentuan Allah serta ganjaran yang dijanjikan kepada mereka yang berusaha amat penting dan perlu dijadikan prinsip.

Telah tiba masanya (atau sejak bertahun-tahun yang lalu lagi) kerajaan perlu menilai semula sistem pendidikan negara yang boleh di katakan kucar-kacir akibat ketiadaan satu sistem yang konsisten dalam usaha melahirkan pelajar-pelajar yang bijak dan berkemahiran secara holistik.

Lihat saja isu Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang bertukar-tukar bermula daripada pelaksaannya pada tahun 2003 sehinggalah ia dimansuhkan pula pada tahun 2009.

Kerajaan dan kementerian yang terlibat perlu dan harus memandang serius isu ini. Sistem pendidikan yang bersifat tradisional dan hanya ‘memberi’ ilmu dan nota-nota untuk di hafal bakal melahirkan generasi yang malas berfikir dan tidak akan mampu bersaing secara sihat serta kurang kreativiti.

1

Generasi Y dan Z

Para pelajar zaman milenium berbeza dengan pra merdeka dan sehingglah awal 90-an. Sumber maklumat dan ilmu lebih luas dan mudah diperolehi. Tidak kurang juga gangguan-gangguan fokus seperti kebanjiran gadget serta permainan video dan lain-lain lagi.

Di tambah pula dengan laman media sosial yang berkembang pantas serta pergaulan dan hiburan melampau yang semakin menyubur di negara ini menjadikan sistem pendidikan tidak lebih sebagai rutin sahaja kepada remaja kini.

Tidak dinafikan tugas ibu bapa dan guru-guru sebagai pendidik di barisan hadapan menjadi lebih sukar dan mencabar. Namun, halangan tidak boleh dijadikan alasan kepada kegagalan. Ia sepatutnya menjadikan kita lebih kreatif dalam mencari penyelesaian.

Landscape

Pendekatan mengajar secara tradisional (hanya melibatkan buku dan papan putih) atau ‘teacher centered’ boleh dikatakan kurang efektif kini. Penulis sebagai bekas pendidik tidak menafikan kebenaran ini.

Anak-anak generasi kini lebih ke hadapan (advance), malah ada ketika mereka mengetahui sesuatu info mengenai dunia mendahului guru-guru mereka. Mereka suka dan lebih menghargai jika mereka diberi kebebasan berkongsi idea dan cara mereka melihat sesuatu itu.

Penulis juga berani mengatakan bahawa ada dikalangan pelajar kini yang tidak terlalu risau dengan keputusan peperiksaan yang bakal diperoleh, kerana sebahagian mereka telah pun mula memiliki pendapatan sendiri sebelum keputusan SPM diumumkan lagi.

Mereka inilah generasi Y dan Z, generasi yang pantas dan tidak mengharapkan kejayaan dalam pendidikan semata-mata untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Graduasi

Seimbang Lebih Baik

Islam amat mementingkan keseimbangan dan kesederhanaan dalam melakukan sesuatu. Al-Quran ada mengingatkan manusia tentang kepentingan mengejar akhirat dan mencari kesenangan di dunia dalam surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud:

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.

Oleh itu, amat penting untuk kerajaan, kementerian pendidikan, ibu bapa, guru-guru dan masyarakat merenung dan memikirkan semula sejauh mana keberkesanan sistem pendidikan yang dilaksanakan di negara kita.

Jangan dikesampingkan kepentingan elemen motivasi dan spiritual dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Lebih baik lagi jika anak-anak kita berjaya secara holistik. Berjaya di dunia dan cemerlang di akhirat kelak.

Apa jua keputusan yang diperolehi, rancang hala tuju sebaiknya. Buat perancangan berdasarkan pengalaman orang lain, bertanya kepada guru-guru, ibu bapa, kaunselor serta nilai semula kemahiran dan kecenderungan diri sendiri.

Kejayaan material sebagai bonus dan pemangkin untuk individu lebih berjaya lagi daripada aspek spiritual. Jangan mudah dipengaruhi emosi sekiranya keputusan peperiksaan tidak memihak kepada tanggapan umum (lebih cemerlang, lebih berjaya), malah senyum dan katakan, ‘dengan keputusan sebegini, lebih banyak yang boleh dilakukan dan lebih tinggi peluang untuk berjaya’.

Buat semua pelajar yang mengambil keputusan peperiksaan bagi tahun 2013, tahniah dan salam kejayaan dari Tim Majalah Niaga!

Kredit foto: produksimasiosbornehsphotospartizan35829693geminigeek10971904glenderfulsveinhalusnationalarchives


Tags: , , , , , , , ,

Pendapat anda?