Steve Jobs – Lagenda Atau Auta?

October 10, 2011 — Penulis:

Kategori: Kepimpinan

Pada usia 56 tahun, beliau digelar sebagai bapa inovasi, khususnya dalam industri teknologi maklumat.

kematian steve jobs

Dahulunya, orang tidak mempercayai bagaimana sebuah komputer mampu mengubah persepsi pengguna agar kelihatan lebih bergaya ketika menggunakannya. Dahulunya, orang beranggapan pemain muzik VCD sudah cukup untuk memuaskan hati penggemar lagu.

Tetapi tidak pada individu yang diberi nama Steven Paul “Steve Jobs”. Beliau adalah seorang yang mempunyai visi yang jauh, jelas dan percaya pada teknologi mempunyai kuasa untuk mengubah dunia.

Pada tarikh 5 Oktober 2011, seluruh dunia dikejutkan dengan berita pemergian Steve Jobs. Jasanya terhadap inovasi dunia perkomputeran dan teknologi tidak dapat disangkal.

Malah rakan Jobs, dan juga musuh ketatnya dalam industri iaitu Bill Gates, turut meluahkan rasa sedih kerana dunia telah kehilangan seorang inventor. Baginya, Steve Jobs bukan sahaja seorang inventor, tetapi seorang yang mempunyai gaya fikir luar biasa dan tiada siapa mampu menandingi kemampuannya untuk mencapai sesuatu yang diinginkan.

Satu Semester, Mengubah Dunia

Steve Jobs dibesarkan dalam keluarga angkat (Paul Jobs dan Clara Jobs) di California. Ketika beliau muda, kedua-dua ibu bapa angkatnya merancang untuk menghantar beliau ke Reed College untuk menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi.

Meskipun kita sedia tahu Steve Jobs tidak berjaya menamatkan pelajaran, beliau masih terus menghadiri kelas kaligrafi di kolej. Bagi menampung kehidupan sehariannya di universiti, beliau menjual botol Coke dan mendapatkan makanan percuma di kuil Hare Krishna setiap hujung minggu.

steve jobs ketika awal kerjaya bersama Apple

Tetapi kelas kaligrafi itulah yang membuatkan Apple sebuah syarikat teknologi yang gah di mata dunia. Katanya dalam satu ceramah penghormatan di Stanford University;

“If I had never dropped in on that single calligraphy course in college, the Mac would have never had multiple typefaces or proportionally spaced fonts.”

Kata-kata beliau ini memberikan penjelasan yang baik mengenai ilmu. Sekiranya ilmu yang kita pelajari dimanfaatkan sehabis baik, maka hasilnya akan menjangkaui visi kita. Apabila terhasilnya produk Macintosh, ia telah mengubah nasib dunia.

Jatuh Bangun – Rempah Kejayaan Mutlak

Setiap seorang manusia di muka bumi ini tidak akan terlepas daripada menghadapi situasi jatuh bangun, khususnya apabila berniaga atau ketika berusaha untuk mencapai impian yang diimpikan.

Mempunyai aset bernilai USD7 bilion dan memiliki sebuah syarikat gergasi tidak tercapai dalam masa satu malam. Sebelum beliau merasai nikmat kejayaan ini, Steve Jobs terlebih dahulu merasai keperitan, kepayahan, dan kesengsaraan dalam kehidupan dan bisnes.

syarikat Next

Meskipun dilucutkan jawatan dalam syarikat sendiri, dan gagal sekali lagi dalam pembangunan syarikat NeXT, mengangkat bendera putih bukan satu pilihan dalam diri beliau. Baginya, mengaku kalah itu hanya menjadi pilihan sekiranya kita tidak mempunyai kepercayaan yang teguh terhadap apa yang kita lakukan hari ini.

Mari kita lihat kisah-kisah kejayaan individu lain seperti Bill Gates, Warren Buffet dan ramai lagi. Mereka tidak melihat kegagalan itu sebagai satu tanda untuk kita berhenti. Tetapi ia ibarat pengalaman berharga yang tidak akan diperoleh di mana-mana.

Bagi para usahawan dan bakal usahawan. Sikap ini merupakan sikap yang wajib dimiliki dalam diri. Berniaga ini ibarat perang.

Sekali kita angkat bendera putih, maka selamanya kita akan terperap dalam skrip kegagalan.

Personaliti Mencerminkan Diri

Ramai yang suka bekerja dengan beliau kerana sikap agresif dan gaya fikirnya untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa. Dalam masa yang sama, terdapat segelintir individu yang memandang sikap ini sebagai satu sikap yang sia-sia.

Mereka beranggapan, menghasilkan sesuatu yang belum pernah dihasilkan orang lain adalah satu tindakan yang membazir masa. Kita akan menghadapi risiko yang tinggi, sama ada kerugian berbilion ringgit, atau kerugian masa selama bertahun-tahun akibat mengusahakan sesuatu yang tidak pasti.

Personaliti Mencerminkan Diri Steve Jobs

Tetapi tidak pada diri Steve Jobs. Selagi beliau mahu produk itu disiapkan, maka ia mesti disiapkan. Walau apa jua cara sekalipun.

Ini adalah personaliti pemilik bisnes yang mempunyai skrip kepimpinan yang berkaliber.

Memiliki sikap sebagai seorang pemimpin berkaliber dapat menyelamatkan kita daripada terjerumus daripada kata-kata negatif. Seperti kata Robin Sharma, seorang pemimpin yang hebat adalah mereka mengendahkan kata-kata orang yang bersikap negatif.

Mereka fokus pada visinya serta meletakkan usaha sepenuhnya untuk merealisasikan kepercayaan itu.

Bagaimana Mencipta Nama Selepas Mati?

Pemergiannya pada tarikh 5 Oktober 2011 cukup memberi kesan terhadap penduduk di dunia ini. Menurut kenyataan daripada media-media, Steve Jobs ibarat seorang manusia yang berjaya mengubah dunia menjadi lebih baik, dengan terhasilnya teknologi-teknologi yang bukan sahaja memudahkan manusia.

Tetapi ia juga memberikan mereka nilai tambah dalam diri mereka, apabila menggunakan produk-produk keluaran syarikat Apple. Ia telah mencantumkan hati mereka dengan iPod, iPad, iPhone dan banyak lagi.

pemergian Steve Jobs

Kini, Apple bukan sahaja dikenali sebagai satu jenama. Tetapi sebuah simbol teknologi yang menguasai dunia.

Steve Jobs telah berjaya mencapai cita-citanya, untuk menghasilkan sesuatu yang dapat memberikan 1001 ingatan kepada dirinya, meskipun beliau telah pergi meninggalkan kita semua.

Tetapi adakah ini bermakna berhentinya proses inovasi di dunia ini? Tidak.

Seterusnya adalah giliran kita. Kita pula yang akan terus menerus untuk mengubah dunia ini menjadi lebih baik, melakukan apa yang sepatutnya dilakukan, dan melaksanakannya bukan kerana ingin memenuhi nafsu diri sendiri semata-mata.

Tetapi kerana mahu nama kita diingati, dihargai dan dikenang selepas mati. Agar ia dapat dijadikan sebagai doa-doa atau saham akhirat kita apabila berada di alam mati kelak.

Bagi yang sedang berusaha untuk mencapai sesuatu, jangan berhenti di situ. Berusahalah sehabis baik dan bersabarlah sebelum menikmati kejayaan.

Semoga pemergian Steve Jobs ini dapat mendidik kita untuk menghargai kehidupan sebelum mati. Mengingati mati adalah jalan yang terbaik untuk membuat keputusan yang kita impikan dalam hidup.

Mengingati mati dapat membuatkan diri kita lebih dekat kepada Tuhan, untuk menjadi hamba-Nya yang terbaik dalam setiap saat kita bernafas di muka bumi ini.

Kredit gambar yang diambil dari Flickr (powerpeerumberodesignmahmutefe)


Tags: , , , , , , ,

Komen (11)

  1. Semestinye seorang lagenda. Hebat! Jika berniaga ibarat berperang, jadi mari kita asah parang dan pergi berperang 🙂

  2. Kadang-kadang, kita perlu jadi ‘diktator’ di dalam menguruskan bisnes. Sikap serius dan tegas dalam mengambil keputusan ini harus ada di dalam pemikiran pemilik bisnes kerana jika kita gagal di peringkat ini, kita merancang bisnes kita untuk GAGAL!

  3. Secara jujur, sebelum ini saya kurang mengenali Apple. Yang saya tahu, produk ini terlalu mahal untuk orang biasa macam saya. Tetapi setelah mencuba salah satu produk Apple, saya terus jauh cinta. Dari situ, barulah saya mengenali Steve Jobs. Beliau hebat.

  4. Salam semua, seronok baca kisah kejayaan usahawan. ia memberi motivasi dan semangat. Sudah semestinya Steve Jobs adalah lagenda dan bukannya auta!

Leave a Reply to ahmadyani Batal (Cancel)