Strategi AirAsia Menjual 500,000 Tiket Melalui Facebook

June 08, 2012 — Penulis:

Kategori: Strategi Online & Offline

Penggunaan Facebook sebagai alat pemasaran merupakan trend terkini di dalam dunia perniagaan.

facebook2

Percuma dan mudah untuk digunakan, Facebook turut membolehkan peniagaan berskala kecil turut sama melakukan aktiviti pemasaran seperti mana perniagaan berskala besar ci inflatables.

Terdapat banyak buku dan penulisan yang mengulas mengenai teknik dan strategi memasarkan produk dan servis menggunakan Facebook.

500,000 Jualan Tiket – Bagaimana?

Untuk artikel kali ini, penulis berkongsi dengan pembaca Majalah Niaga bagaimana AirAsia berjaya menjual 500,000 tiket penerbangan hanya dalam masa 24 jam melalui Facebook sekaligus menjimatkan sebahagian kos pemasaran mereka.

air asia

Kandungan artikel ini diolah kembali daripada salah satu bab di dalam buku penulis ‘Magika Facebook untuk Bisnes’.

AirAsia hanya mula mewujudkan Fan Page (kini dikenali sebagai Facebook Pages) di Facebook pada bulan April 2009.

Selain Malaysia, AirAsia juga mewujudkan Fan Page untuk pelanggan-pelanggan di Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, Hong Kong, Taiwan, United Kingdom, India, Australia dan New Zealand.

Kesemua Fan Page AirAsia ini merekodkan jumlah Fan seramai sekitar 1.4 juta orang. Untuk pasaran China pula, AirAsia menggunakan media sosial negara tersebut, Renren, sebagai Fan Pagenya.

Ini kerana negara tersebut tidak membenarkan Facebook beroperasi di sana.

Kempen Mind Blowing Fare

Dengan menggunakan kelebihan jumlah Fan Page yang ramai, AirAsia melancarkan promosi kempen ‘Mind Blowing Fare’ melalui Fan Pagenya pada tahun 2010.

AirAsia - Tawaran Pelancongan RM1

Kempen ini menawarkan harga tiket penerbangan hanya pada RM1 bagi penerbangan antara 1 April 2011 hingga 11 Ogos 2011.

Promosi kempen tersebut berjalan selama 6 hari bermula dari 10 Ogos 2010 hingga 15 Ogos 2010, dan berjaya mencatat sejarah apabila AirAsia berjaya mencatat jualan tiket sebanyak 538,000.

Hanya pada hari pertama kempen tersebut dilancarkan.

Jualan ini mengatasi pencapaian jualan tiket AirAsia pada tahun sebelumnya dalam kempen promosi Free Seat yang mencatat jualan sebanyak 390,000 tiket penerbangan pada hari pertama.

Bagaimana AirAsia berjaya menggunakan Fan Pagenya dalam pemasaran kempen ‘Mind Blowing Fare’?

Membuatkan Fan Teruja

Empat hari sebelum hari pelancaran kempen tersebut pada 10 Ogos 2010, pasukan media sosial AirAsia memasukkan mesej di Fan Page, Renren dan juga Twitter untuk memaklumkan mengenai pelancaran tersebut.

AirAsia - Mind Blowing Fares

Mereka turut menggalakkan Fan untuk turut menyebarkan maklumat pelancaran tesebut di kalangan rakan-rakan.

Mesej pertama ini bertujuan menimbulkan rasa ingin tahu tahu Fan, dan bagi pengunjung yang belum menjadi Fan pula dijemput menyertai Fan Page AirAsia, untuk mendapat kemaskini secara eksklusif kempen tersebut.

Tiga hari selepas itu, atau sehari sebelum hari pelancaran, AirAsia memasukkan mesej yang mendedahkan harga tiket untuk beberapa destinasi yang terlibat dalam promosi tersebut.

Ini meningkatkan keterujaan Fan yang menjadi semakin tidak sabar dan mesej ini berjaya menarik 960 Like dan 274 komen.

Pada waktu yang sama AirAsia turut meletakkan di laman sesawangnya panduan yang dinamakan Bargain Hunter 101, yang mengandungi langkah-langkah untuk membuat pembelian tiket di laman sesawang mereka.

Ini bertujuan untuk mengurangkan sebarang masalah yang dihadapi pelanggan semasa hari pelancaran.

Promosi kempen ini bukan sahaja berjaya meningkatkan jualan tiket AirAsia , malah dari 9 Ogos 2010 hingga 13 Ogos 2010, AirAsia berjaya menambah 13,000 Fan baru di Facebook dan 1,100 Fan di Renren.

Memahami Pelanggan dan Peranan Media Sosial

Asas utama kejayaan pemasaran melalui Fan Page ini bertitik tolak daripada pemahaman AirAsia terhadap ciri-ciri pelanggannya, serta pelancong masa kini yang kerap menggunakan teknologi dalam kehidupan.

Kebanyakan dari mereka ini terdiri dari golongan muda dan sentiasa mencari tawaran-tawaran hebat di Internet.

Sehingga kini, lebih dari separuh atau 65% pelanggan AirAsia berumur 35 tahun ke bawah dan 80% jualan tiket dilakukan di laman sesawang AirAsia.

Oleh kerana itu bagi mempengaruhi mereka untuk membuat pembelian tiket, kempen Mind Blowing Fare dianjurkan dengan matlamat untuk menawarkan kadar tambang istimewa ke destinasi-destinasi di negara-negara ASEAN.

Mewujudkan Pasukan Media Sosial

Kesemua kandungan dan pengiklanan melalui media sosial dihasilkan sendiri oleh AirAsia, menerusi perbincangan antara pasukan media sosial dan pasukan pemasaran.

Pasukan Ninja Social Media

AirAsia lebih selesa menggunakan pekerjanya sendiri atas dua sebab.

Pertama, ianya lebih menjimatkan dan kedua, pekerja-pekerja AirAsia lebih memahami ciri-ciri jenama AirAsia itu sendiri berbanding jika mereka menggunakan agensi luar untuk melakukannya.

Dalam menghasilkan kempen menerusi media sosial seperti di Facebook, AirAsia menumpukan kepada kandungan yang menarik dan relevan dengan Fan.

Kerana AirAsia percaya kandungan yang berguna akan disebarkan oleh Fan (word of mouth marketing).

Semenjak AirAsia menubuhkan pasukan untuk mengurus komunikasi melalui media sosial, kesemua kempen jualannya akan melibatkan penggunaan media sosial, dan AirAsia juga ada mengadakan kempen jualan secara eksklusif untuk Fannya sebagai tanda penghargaan.

Bukan Pengganti, Tetapi Pelengkap

AirAsia tidak menjadikan pemasaran melalui media sosial sebagai pengganti kepada alat pemasaran melalui media lain.

Pemasaran AirAsia - RM1

Sebaliknya ia berfungsi sebagai pelengkap kepada aktiviti pemasaran tradisional AirAsia seperti melalui pengiklanan akhbar dan televisyen.

Pemasaran melalui media sosial ini bertujuan memastikan pengiklanan AirAsia mencakupi lingkup pasaran yang lebih luas.

Kerana tidak semua pelanggan AirAsia dan pelancong mempunyai akaun Facebook ataupun Twitter, dan terdapat juga antara mereka yang jarang membaca akhbar dan menonton televisyen.

AirAsia masih memperuntukkan bajet sebanyak satu peratus dari pendapatan tahunan syarikat bagi pengiklanan secara tradisional, walaupun mereka semakin meningkatkan usaha pemasaran dan pembinaan jenama melalui media sosial.

Jimat RM3.8 Juta

Seperti yang dinyatakan di awal artikel, kos pemasaran AirAsia berjaya dijimatkan semenjak ia menggunakan media sosial.

Dalam kempen promosi Mind Blowing Fare, mereka membelanjakan hanya sebanyak RM1.2 juta untuk pengiklanan di suratkhabar, televisyen dan sebagainya.

Pada tahun-tahun sebelumnya, AirAsia membelanjakan RM5 juta untuk pengiklanan kempen tawaran yang sama.

Ini bermakna AirAsia bukan sahaja meningkatan pendapatan melalui kenaikan jualan tiket malah melalui penjimatan sebanyak RM3.8 juta dalam perbelanjaan iklan.

Kredit: Social Maximizer, Facebook Pages Air Asia, CSUS, Air Asia.


Tags: , , , ,

Komen (6)

Leave a Reply to naim Batal (Cancel)