Strategi Bonus Di eBay

September 19, 2011 — Penulis:

Kategori: Strategi Online & Offline

Portal eBay memberikan peluang perniagaan yang besar kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk berniaga. Kini, bilangan penjual di portal eBay telah mencapai jutaan orang dari seluruh pelusuk dunia. Malah di negara kita sendiri, bilangan penjual di portal eBay telah semakin meningkat pada setiap tahun.

strategi bonus di ebay

Dalam kebanyakkan masa, pasti akan ada barang yang ingin anda jual di portal eBay sudah pun dijual oleh penjual lain. Ini akan mewujudkan persaingan kerana anda perlu berusaha, untuk menarik minat pengunjung-pengunjung di portal eBay bagi membeli daripada anda.

Jika anda merupakan seorang penjual yang baru di portal eBay, maka tugas anda akan menjadi lebih mencabar kerana besar kemungkinan penjual-penjual lain yang menjadi pesaing anda memiliki feedback atau rating yang lebih baik. Maka sudah tentu ini akan menyukarkan anda untuk “memancing” pengunjung-pengunjung.

Justeru itu, untuk membezakan diri anda berbanding penjual-penjual lain yang turut menjual barangan yang sama seperti anda adalah dengan menawarkan bonus.

Apa Itu Bonus?

Secara mudah, bonus merupakan apa jua barang atau produk tambahan yang anda hadiahkan, kepada para pembeli secara percuma di atas pembelian produk utama anda.

ebay logo

Bonus sepatutnya diberikan secara percuma tanpa perlu ada sebarang kos tambahan yang perlu dikeluarkan oleh si pembeli. Sekiranya si pembeli perlu mengeluarkan wang tambahan untuk mendapatkan sesuatu produk tambahan daripada anda, maka itu bukannya bonus tetapi dikenali sebagai upsell. Saya akan berkongsi mengenai strategi upsell dengan lebih terperinci di dalam artikel yang lain.

Dengan pemberian bonus, para pengunjung akan lebih tertarik untuk membeli barang daripada anda berbanding penjual-penjual lain yang turut menjual barang yang sama seperti anda. Ini akan memberikan anda sedikit kelebihan sebagai seorang penjual di portal eBay, lebih-lebih lagi jika anda merupakan seorang penjual baru.

Strategi Bonus

Jadi anda tahu yang anda boleh menawarkan bonus untuk membezakan diri anda daripada penjual lain. Saya pasti persoalan seterusnya daripada anda adalah,

“Apa yang boleh saya berikan sebagai bonus?”

Sebenarnya anda boleh memberikan apa jua bonus yang anda inginkan untuk barang jualan anda. Namun demikian, berdasarkan kajian dan pengalaman saya, bonus-bonus yang lebih efektif untuk memancing minat pengunjung adalah bonus-bonus yang berkaitan dengan barang jualan utama anda.

rantai leher

Sebagai contoh, jika anda merupakan seorang penjual rantai leher wanita, mungkin contoh bonus yang baik adalah pemberian loket yang berpadanan dengan rantai leher yang anda jual itu. Atau anda juga boleh menawarkan cincin yang berpadanan untuk pembelian rantai leher tersebut.

Jika anda menjual kamera digital, contoh bonus yang boleh anda berikan adalah beg kamera yang sesuai untuk kamera itu.

Secara mudahnya, bonus yang anda berikan perlulah berkaitan dengan barang yang anda jual itu agar kuasa penariknya lebih kuat di mata para pengunjung anda. Dalam kata lain, “berkaitan” yang saya maksudkan di sini adalah ia perlu dapat membantu, atau berfungsi untuk meningkatkan lagi penggunaan barang utama yang anda jual itu.

Pemahaman ini penting. Sekiranya anda tidak memberikan bonus yang bersesuaian, maka sukar untuk pengunjung menggambarkan perkaitan atau kepentingan bonus itu bersama barang utama yang ingin mereka beli.

Dengan menggunakan contoh rantai leher tadi, sekiranya si penjual menawarkan bonus sarung tangan atau pengepit kuku, maka impaknya adalah kurang berbanding bonus yang lebih sesuai seperti loket atau cincin tadi. Mungkin ada juga yang akan tertarik dengan bonus yang tidak berkaitan itu, tetapi kesan atau impak daya penariknya secara menyeluruh akan menjadi kurang.

Justeru itu, elakkan daripada memberikan bonus-bonus yang tidak mempunyai perkaitan dengan barang jualan anda.

Kos Bonus

Dari segi kos bonus yang perlu anda keluarkan, sebagai seorang penjual anda perlu bijak menguruskan bonus agar ia tidak membebankan anda dari segi kos yang perlu dikeluarkan. Strategi yang sebaik-baiknya adalah untuk mendapatkan bonus-bonus yang tidak memerlukan kos yang tinggi, tetapi masih berkaitan dengan produk utama dan boleh menarik minat pengunjung.

Anda mungkin perlu mengeluarkan sedikit kos lebih untuk menawarkan bonus kepada para pembeli anda, berbanding penjual-penjual lain yang menjual tanpa menawarkan sebarang bonus. Namun demikian, impaknya adalah anda akan memperoleh pelanggan setia untuk jangka masa panjang.

perlukan kos untuk bonus

Anda mungkin rugi sedikit di dalam penjualan pertama anda, tetapi akan mendapat keuntungan yang lebih banyak semasa pembelian lanjutan daripada pelanggan anda itu tadi.

Berdasarkan kajian, pada pembelian pertama, jika si pembeli berpuashati dengan penjual dan barang yang telah dibeli olehnya, maka mereka akan lebih cenderung untuk membeli lagi daripada penjual itu. Mereka juga akan beranggapan yang risiko pembelian yang perlu mereka hadapi dengan anda adalah kurang, daripada apa yang perlu mereka hadapi jika membeli daripada penjual yang lain.

Dalam pada itu, sebagai seorang usahawan eBay yang bijak, anda perlu mengaplikasikan pemberian bonus di dalam eBay. Insya Allah anda akan mendapat hasil yang baik daripada strategi ini.

Salam hormat dan salam kejayaan!

Kredit gambar yang diambil dari Flickr (courtneybooher(((andreas w)))mwaillinginkyfingerz)


Tags: , , , , , , , ,

Komen (8)

  1. Saya selalu beli minyak wangi sebab nak dapat beg percuma.. Dalam masa yg sama, saya berpendapat jika kita berikan produk bonus yang fizikal memang mudah menarik perhatian bakal pelanggan. Jika produk intangible, ia tidak mendapat reaksi seperti yg diharapkan. Contohnya, saya offer free takaful kepada pelanggan saya tetapi bonus itu tidak begitu mengujakan mereka walaupun nilainya besar.

  2. Ada baik dan buruknya bonus ini. Baiknya, seperti yang dicatatkan oleh Tuan Eruwan dalam artikel ini. Buruknya, nanti orang asyik mengharapkan bonus dari kita. Tiada bonus tiada pembelian. Mampukah untuk memberi bonus sentiasa?

  3. Roymey Ismail
    September 24, 2011

    Teknik ini amat berguna di amalkan terutamanya seperti saya yang baru bergiat dalam pernigaan menjual produk @mutiara & @kristal secara online dari sabah.Tq majalah niaga

Leave a Reply to ahmadyani Batal (Cancel)