Tabiat Kejayaan : Kuasa Pengulangan, Kuasa Masa Depan

September 18, 2013 — Penulis:

Kategori: Motivasi / Pembangunan Diri

Dr Ary Ginanjar Agustian pernah bercerita tentang pengalaman beliau menghadiri banyak sesi motivasi tetapi kebanyakan ilmu yang dipelajari dalam sesi-sesi tersebut bertahan 2-3 minggu sahaja. Selepas jangka waktu tersebut beliau lupa akan perkara yang dipelajari dan ini menyebabkan beliau tercari-cari punca.

Akhirnya beliau telah menemui jawapan yang kukuh. Punca sebenar kepada masalah tersebut adalah tiada aktiviti pengulangan yang membolehkan peserta mengakses kembali kepada perkara yang telah mereka pelajari sebelum ini. Solat merupakan antara salah satu aktiviti pengulangan yang sangat ampuh untuk menanam sifat-sifat baik dalam diri.

Seorang ulama besar, Dr Abu Hassan Ali An Nadwi berkata:

“Terdapat hikmah besar di sebalik pelaksanaan solat dan mengulang-ulangnya secara berterusan. Ini sebagai santapan yang sihat dan lengkap bagi jiwa, sehingga jiwa berfungsi mencegah manusia daripada lalai mengingati Allah. Ini juga bertindak sebagai penyucian hati dan jiwa daripada debu-debu kebendaan..”

Stephen R Covey yang merupakan seorang penceramah dan penulis buku motivasi terkenal berkata:

“Secara dasarnya perwatakan kita adalah gabungan kebiasaan kita.

Taburlah gagasan, tuailah perbuatan.
Taburlah perbuatan, tuailah kebiasaan.
Taburlah kebiasaan, tuailah perwatakan.
Taburlah perwatakan, tuailah nasib.

Kebiasaan adalah faktor yang kuat dalam hidup kita. Pola-pola yang terus menerus dilakukan tanpa kita sedari menentukan perwatakan kita dan menentukan sama ada kita efektif ataupun tidak.”

Al Quran telah menunjukkan betapa pentingnya pengulangan di beberapa tempat di dalamnya. Salah satunya ialah dalam surah ar-Rum ayat 20-25. Frasa “antara tanda kekuasaan Allah…” telah diulang sebanyak enam kali dalam enam ayat di dalam Al-Quran.

alquran

Ia dilakukan supaya setiap perhatian dan fikiran manusia terarah kepada kekuasaan Allah yang dapat dilihat pada setiap ciptaanNYA:

  • Penciptaan manusia daripada tanah,
  • Penciptaan isteri sebagai pasangan hidup,
  • Penciptaan langit dan bumi,
  • Bahasa dan warna kulit manusia yang berlainan,
  • Tidur manusia pada waktu malam dan kerja pada waktu siang
  • serta lain-lain lagi.

Dr Uthman Najati berkata:

“Pengulangan kisah-kisah di dalam Al Quran bukanlah pengulangan secara penuh. Al Quran hanya mengulang babak-babak yang relevan dengan konteks surah di mana pengulangan itu dilakukan.

Apabila sesuatu kisah diulang, Al-Quran biasanya memaparkan perkara baru yang belum dikemukakan sebelum itu, mengubah sebahagian daripada kalimatnya dan mendahulukan ataupun mengemudiankan bahagian-bahagian kisah itu, sesuai dengan maksud yang diutarakan..”

Jarang sekali orang berjaya dapat mencipta kejayaan yang besar dalam hidup hanya dengan percubaan pertama. Hanya selepas beberapa percubaan, barulah mereka berjaya mencapai matlamat.

Apabila salah seorang mentor saya ditanya tentang masa yang sesuai untuk bermula, beliau menjawab:

“Bermula sahaja kerana kesempurnaan akan datang sendiri selepas anda bermula..”

Apabila kita memulakan sesuatu hal, jarang sekali kita mampu menyelesaikannya dengan baik pada percubaan pertama. Tetapi setelah melalui proses pengulangan, sedikit demi sedikit dan dari semasa ke semasa, kita lebih mahir menyudahkan urusan tersebut berbanding pada waktu sebelumnya.

Saya pasti komputer anda mempunyai kad bunyi (sound card) dan kebanyakan kad bunyi di dunia ini berjenama ‘Creative’. Sim Wong Hoo, pengasas Creative Technologies tidak berjaya dalam beberapa percubaan awal beliau. Idea pertama beliau adalah untuk membangunkan PC multimedia pertama dunia. Namun, setelah melaburkan ratusan ribu dollar, projek beliau gagal. Setelah kajian dibuat, beliau dapati bahawa produk tersebut adalah mahal dan kompleks.

Beliau cuba memperbaiki kesilapan tersbut dengan beberapa percubaan baru tetapi kesemuanya gagal. Ganjaran sifat tabah terbayar apabila kumpulan R&D beliau akhirnya berjaya menghasilkan kad kos rendah yang dipanggil ‘Sound Blaster’. Ciptaan tersebut telah melonjakkan Creative Technologies sebagai syarikat yang bernilai bilion dollar.

Pengulangan membuatkan kita lebih mahir menyelesaikan sesuatu urusan itu sedikit demi sedikit dan dari semasa ke semasa berbanding pada waktu sebelumnya. Jadikan pengulangan sebagai suatu tabiat dalam hidup agar kejayaan lebih mudah dicapai.

 

(Sumber gambar: Rami Abdelhadi, agirregabiria)


Tags: , , , , , , ,

Komen (6)

  1. Salam..menarik perkongsian daripada tuan,

    Jika kita nk berjaya wajib kita kuasai minda kita sepenuhnya dan izinkan untuk terus belajar dan menerima ilmu dan berani hadapi risiko dan masalah.

  2. Mohd khairil bin misni
    September 20, 2013

    Terima kasih atas perkongsian ilmu. Teori solat itu akan saya gunakan dalam membina perniagaan saya.

  3. dalam pengajian tahfiz mengulang ulang ayat berpuluh puluh kali akan menentukan kejayaan hafalan , dalam kehidupan seharian pun sama . kita akan berulang2 melakukan sesuatu sehingga berjaya , mempelajari sesuatu dari tidak tahu kpd tahu dng melalui proses berulang2……..

  4. Mohdfirdaus
    July 5, 2016

    betul tu.saya harap dapat jadi pengajaran dan tunjuk ajar kepada untuk lebih memahami..

Pendapat anda?