Teknik Santau Pelanggan – Rahsia Tersembunyi Robert Cialdini

October 23, 2012 — Penulis:

Kategori: Pemasaran / Strategi Online & Offline

Dr. Robert Cialdini adalah penulis buku yang berjaya memberikan impak kepada ramai pemilik bisnes hari ini. Nama buku yang ditulisnya adalah Influence: The Psychology of Persuasion.

Teknik Santau Pelanggan Cara Halal

Antara strategi bisnes yang membuatkan produk kita mempunyai daya tarikan yang kuat di mata pelanggan adalah penggunaan social proof. Dalam bahasa mudahnya adalah,

“Apa kata pelanggan lain terhadap produk kita.”

Kebanyakan bisnes gelarkan ia sebagai testimonial. Bagaimana testimonial dapat santau pelanggan untuk memberikan respon pembelian dalam masa yang singkat?

Mari kita baca situasi di bawah:

Kisah Abu Si Comel Lagi Gempal

Abu (bukan nama sebenar) melihat lambakan produk untuk menguruskan badannya yang agak comel dan gempal. Namun beliau keliru untuk pilih produk yang mana satu. Kerana beliau risau untuk membeli produk secara membabi buta. Dikhuatiri badan dan duitnya sama-sama merana jika tersalah beli.

Kemudian Abu menjumpai laman web XYZ. Laman web ini menjual produk untuk melangsingkan badan. Keterujaan Abu meningkat serta merta apabila melihat gambar-gambar pengguna produk itu yang berjaya menurunkan berat badan.

Ada yang dahulu badannya comel dan gempal seperti Abu, kemudian beratnya susut sebanyak 5kg dalam masa kurang 2 minggu. Akibat daripada keterujaan ini, Abu tidak berfikir panjang.

Beliau terus melakukan pembelian. Beliau telah disantau cara halal.

Impak Social Proof

Testimonial dapat memberikan impak yang besar dan pantas untuk bisnes. Lagi banyak testimonial, lagi tinggi jualan yang bakal dihasilkan. Fungsi testimonial ini adalah merendahkan indeks trauma pengguna untuk membuat keputusan pembelian.

Impak Social Proof

Selain itu, pembeli juga rasa selamat dan mempunyai gaya fikir zon selesa seperti,

“Jika si dia guna produk ini boleh kuruskan badan, sudah tentu aku juga boleh.”

Peranan testimonial adalah penting khususnya untuk produk yang masih lagi segar di pasaran. Di mana jumlah pengguna produk itu tidak begitu ramai, dan masyarakat masih lagi was-was untuk membelinya.

3 Cara Santau Pelanggan Bagi Testimonial

Langkah untuk mendapatkan testimonial daripada pelanggan yang sudah menggunakan produk kita adalah langkah yang mencabar. Berikut adalah 3 cara yang dapat memastikan mereka memberikan testimonial dengan pantas, mudah dan berpengaruh.

#1 – Kongsi Kebaikan Testimonial

Kebiasannya pelanggan akan sedikit ngeri apabila kita minta testimonial. Untuk membuang ketakutan itu, beritahu mereka betapa besar manfaatnya kepada orang lain apabila mereka dapat berkongsi kisah kejayaan apabila menggunakan produk kita.

Selain memudahkan keputusan pembelian, testimonial juga digunakan untuk memberi suntikan inspirasi kepada orang ramai.

#2 – Teknik Kopi Pasta

Mudahkan kerja pelanggan kita untuk bagi testimonial. Ia boleh dilakukan menerusi penulisan templet testimonial yang sedia ada. Kemudian minta mereka ubahsuai atau lakukan penambahbaikan jika perlu.

Cara ini mempercepatkan kerja mereka. Cara ini juga membuatkan mereka rasa tenang dan selesa tanpa perlu perah otak memikirkan apa yang perlu ditulis.

#3 – Jujurlah Padaku

Beritahu mereka bahawa testimonial ini akan digunakan dalam kempen-kempen pemasaran bisnes kita. Jika kita terlepas pandang, ini boleh melibatkan isu yang besar di antara pengguna dan peniaga.

Secara tidak langsung, kredibiliti kita tercalar dan teknik santau cara halal pun tidak menjadi.

Kredit: Darussyifa, Copyblogger.


Tags: , ,

Komen (2)

Pendapat anda?