Bebaskan Diri Mu!

July 20, 2011 — Penulis:

Kategori: Pengurusan Kewangan

Selepas mengetahui jumlah yang diperlukan untuk bebas kewangan (baca artikel sebelum ini), kali ini saya akan kongsikan pula perihal bebas kewangan.

Saya yakin ramai pembaca Majalah Niaga ini pernah dengar dan membaca mengenainya, cuma hakikat sebenarnya masih banyak misteri mengenainya.

Kata Kita

Ada orang kata, “Si polan itu kaya, si polan itu hebat”. Ukuran orang kebiasaannya adalah ukuran pencapaian material, iaitu merujuk kepada kereta, rumah mewah dan gaya hidup mewah. Ukuran sebenar dalam dunia pengurusan kewangan ialah nilai bersih (net worth).

bebaskan-diri-mu-1

Dalam setiap sesi latihan, saya biasanya mengumpulkan pandangan peserta mengenai pendapat mereka tentang bebas kewangan. Biasanya mereka akan menjawab, bebas kewangan bermaksud bebas daripada hutang (pendapat paling ramai). Selain daripada itu ramai juga yang menjawab, bebas kewangan adalah mempunyai kebebasan mutlak untuk berbelanja semahunya, tanpa perlu risau mengenai kewangan.

Ada juga yang mengaitkan bebas kewangan dengan kebebasan untuk memilih, kebebasan masa dan kebebasan daripada tanggungjawab kewangan. Lebih mudah lagi ada yang menjawab bebas kewangan adalah menjadi jutawan.

Semua jawapan itu ada kebenarannya melainkan jawapan yang pertama. Tahukah tuan dan puan, bebas kewangan langsung tidak berkenaan dengan bebas hutang? Terdapat ramai orang yang berjaya mencapai status bebas kewangan, tetapi masih lagi berhutang.

Malah hutang mereka jauh lebih besar dari kita. Topik ini saya akan bincangkan lebih terperinci di kesempatan yang akan datang.

Hakikatnya

Takrif bebas kewangan adalah kebolehan untuk hidup dengan gaya hidup yang diingini, tanpa perlu bekerja ataupun bergantung kepada sesiapa untuk wang.

Bayangkan tuan dan puan tinggal di rumah banglo agam, memandu kereta idaman Malaya, memakai busana rekaan pereka unggul, memakai perhiasan diri yang gemilang.

Ataupun bayangkan tuan dan puan menumpukan tenaga dan usaha membangunkan umat di tempat terpencil, atau melaksanakan urusan dakwah di kawasan pedalaman, atau menjalankan tugas kemanusiaan di negara yang dilanda bencana.

Ataupun tuan/puan dapat menghabiskan masa dengan melawat seluruh dunia. Dan semuanya itu tuan/puan dapat lakukannya tanpa memikirkan tentang wang sedikit pun. Hebat bukan?

Pendapatan Pasif

Elemen penting daripada takrif bebas kewangan di atas adalah tidak perlu bekerja. Mempunyai pendapatan yang hebat tanpa perlu bekerja barulah benar-benar hebat. Pendapatan dengan tidak perlu bekerja adalah pendapatan pasif. Benar orang terkaya di dunia ini pun masih bekerja. Mereka bekerja kerana mereka pilih untuk bekerja. Hakikatnya mereka tidak perlu bekerja sedikit pun.

Maka di sini jelaslah beberapa perkara :

  1. Bebas kewangan tiada kaitan dengan bebas hutang (walaupun bebas hutang adalah impian setiap insan).
  2. Berapa ramai daripada kita yang menumpukan seluruh tenaga kepada perkara yang tidak tepat. Seperti menumpukan fokus membuat kerja sambilan, kerja lebih masa dan sewaktu dengannya. Ia memang tidak salah. Cuma arahkan usaha itu untuk mewujudkan aliran pendapatan pasif. Ia lebih hebat dan berbaloi.
  3. Orang yang kaya dan berjaya juga berbelanja, cuma mereka tidak menggunakan wang sendiri sebaliknya mereka berbelanja dengan hasil dari pendapatan pasif.
  4. Seseorang yang bebas kewangan mewujudkan lebih banyak peluang kepada orang lain.
  5. Seseorang yang bebas kewangan bertanggungjawab pada kewangannya dan mahir dengan selok beloknya. Mereka juga pernah gagal dan hampir berputus asa. Aset terbesar mereka ialah set minda yang betul.

Kepuasan Spiritual

Apabila dunia sudah tidak menjadi soal, Insya Allah bebas kewangan lebih mendekatkan diri dengan kepuasan spiritual. Berilah semahunya tenaga dan usaha. Bila rantai kewangan sudah tiada, dunia kebajikan mu tiada batasan lagi. Pasti tuan dan puan pernah mendengar kisah dermawannya sahabat besar seperti Abu Bakar, Umar, Usman dan Abd Rahman Auf.

Alangkah indahnya hidup jika berjaya bebas di dunia dan dijamin syurga.

bebaskan-diri-mu

Ia sangat jelas, seperti mana yang pernah disabdakan Rasulullah SAW:

“Kesengsaraan yang paling sengsara adalah miskin di dunia dan diseksa di akhirat.” (HR. Ath-Thabarani dan Ash-Shihab).

Berikrarlah untuk bebas kewangan. Lebih pantas lebih baik. Insya Allah kita bakal lanjutkan lagi perkongsian ini di pertemuan akan datang. Tunggu… 😉

Tuah ayam nanti digulai,
Mahu pahala beri sedeqah;
Indah dunia memberi nilai,
Indah akhirat seluas barakah.

Kredit gambar yang diambil dari Flickr (terbeck, DiscoverDuPage )


Tags: , , , , , , ,

Komen (2)

Pendapat anda?