Tip Hartanah – 3 Elemen Emas Petanda Lokasi Panas Berasap-asap

November 05, 2014 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Hartanah / Pelaburan

Lokasi, Lokasi, Lokasi

Ini adalah mantra popular dalam pelaburan hartanah. Bukalah buku-buku pelaburan hartanah yang tersohor. Kebanyakannya akan menulis mengenai mantra ini.

Tidak dinafikan lokasi memang elemen paling penting dalam membeli hartanah. Sama ada hartanah yang dibeli akan menguntungkan dan memberi pulangan beratus ribu ringgit atau tidak, bergantung pada lokasi di mana hartanah itu berada.

Tip Hartanah - lokasi hartanah yang tepat

Silap lokasi, hartanah yang dibeli menjadi satu hantu raya pula. Menghantui diri ke mana sahaja kita pergi dan perlu berkorban wang ringgit setiap bulan untuk membelanya. Sudahnya, kepala sakit, poket makin kering!

Tempat Tinggal, Tempat Kerja, Tempat Bermain

Lokasi yang baik adalah lokasi yang mempunyai elemen 3 emas di atas. Iaitu elemen tempat tinggal, tempat bekerja dan tempat bermain dengan jarak tidak lebih dari 5 km dan dihubungkan dengan pengangkutan awam.

Rumah yang kita hendak beli adalah tempat tinggal. Cuba lihat, ada tak pembangunan komersial yang ada banyak pejabat atau tempat bekerja dalam lingkungan 5 km dari situ? Institut pengajian juga dikira sebagai tempat bekerja kerana ia adalah tempat bagi kakitangan bekerja dan bagi pelajar pula, kampus di mana mereka melaksanakan tanggungjawab mereka untuk belajar.

Lihat pula, adakah terdapat tempat beli-belah, tempat lepak, kedai-kedai atau panggung wayang atau pusat rekreasi untuk penduduk di situ berhibur, berehat dan mencari barang keperluan harian? Ini adalah elemen tempat bermain yang perlu diperhatikan.

Tip Hartanah - dekat dengan pengangkutan awam

Sepertimana yang saya nyatakan tadi, ketiga-tiga elemen ini mesti berhampiran dan disambungkan dengan pengankutan awam. Jika ada stesen LRT, MRT atau komuter, itu jauh lebih bagus.

Pejam mata dan tunjuk sahaja, mana-mana hartanah yang dalam jarak berjalan kaki ke stesen LRT, MRT dan komuter pasti memberi pulangan yang baik, sama ada pendapatan sewa, atau kenaikan harganya. Begitulah pentingnya peranan pengangkutan awam yang menghubungkan tiga elemen ini tadi.

Pembangunan Bercampur

Akhir-akhir ini didapati banyak pemaju membangunkan projek hartanah bercampur. Projek bercampur adalah satu projek pembangunan yang mengandungi kediaman dan bangunan komersial dalam satu lot tanah yang sama.

Kebiasaannya, mereka bangunkan pusat membeli belah di aras 1 dan 2 atau mungkin hingga aras keempat. Ia kemudian diikuti dengan tempat meletak kereta bertingkat dan di atas sekali unit-unit kediaman berbentuk apartment berservis, SOHO (Small Office Home Office) atau SOVO (Small Office Versatile Office).

Bagi sesetengah projek yang lebih besar, pemaju akan membangunkan pula menara pejabat atau deretan kedai pejabat di sebelahnya. Tak mustahil ada menara pejabat ini disambar, oleh institut pengajian tinggi swasta untuk dijadikan kampus baru mereka.

Tip Hartanah - dekat dengan institut pengajian tinggi

Bagi pembangunan bercampur begini, jelas ketiga-tiga elemen tinggal, bekerja dan bermain berada hanya dalam lima ke sepuluh minit berjalan kaki. Itu sebabnya kita boleh lihat, unit kediaman yang dibina di atas pusat membeli-belah dan berhampiran pusat bandar biasanya mengalami kenaikan harga modal yang tinggi.

 Di Mana Lokasi Panas?

Seringkali pembaca blog saya bertanya, di mana lokasi panas? Puchongkah? Shah Alam kah? Atau pusat bandar Kuala Lumpur kah?

Jawapannya, lokasi yang ada tiga elemen di atas yang jaraknya paling jauh 1 jam perjalanan dari tempat tinggal atau tempat kerja anda. Tak perlu lihat jauh. Cari di belakang rumah anda sahaja. Di situ paling sesuai anda bercucuk tanam kerana anda lebih kenal bagaimana keadaan tanahnya.

Namun begitu, bagi saya Lokasi, Lokasi, Lokasi sahaja tidak mencukupi. Mantra saya adalah,

“Lokasi, harga dan networking.”

Apakah itu? Insya-Allah saya akan kongsikan dalam artikel akan datang.


Tags: , ,

Komen (3)

  1. salam cik rohaniah. saya ada tgk satu projek hartanah
    nama tempatnya adalah taman sabha impian yang mengandungi 2 jenis town house dan 2 jenis apartment 5 tingkat dan 7 tingkat jenis pajakan di kajang berhampiran hospital kajang.tempatnya ada strategik sebab kawasan dalam bandar.berhampiran perumahan.shoping compleks.hospital ada 2 dan stesen mrt jaraknya 10 minit.masalahnya tempat berhampiran kubur cina dan kalau nak ikutkan di kawasan sekeliling pun ada perumahan.apa pandangan cik rohaniah tentang kawasan tersebut

Pendapat anda?