Tip Memenangi Hati Pembeli

December 16, 2013 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Komunikasi / Pemasaran

Terdapat banyak cara yang dilakukan para peniaga untuk memenangi hati pelanggan. Banyak yang mengambil pendekatan ‘mengumpan’ pelanggan dengan material seperti menawarkan hadiah misteri bagi setiap pembelian dan sebagainya.

Berlainan pada pembeli yang merasakan pesaing yang ada cukup baik dan senang pula baginya untuk melakukan perbandingan bagi mendapatkan produk yang mana satu boleh diterima.

Kedua-duanya berlainan pendapat sama sekali. Inilah tugasan orang yang menjual kena cari satu titik pertemuan agar persetujuan secara bersama boleh diperoleh bagi mendapatkan penutupan jualan.

Pendekatan dalam melakukan jualan perlu ada agar apa juga tindakan kita disenangi bukan setakat kita tetapi juga oleh bakal pembeli atau pelanggan yang ditemui. Jangan mudah mendabik dada tapi kena lakukan beberapa perkara tertentu untuk memenangi persaingan yang ada di pasaran.

Antara pendekatan yang dimaksudkan ini adalah:

1. Jalinan Keakraban

Jalinan persahabatan bukan setakat mengenali begitu sahaja. Sebaik-baiknya, jadikan jalinan itu lebih akrab agar mudah untuk menjalinkan hubungan atas dasar bisnes.

Kesan jalinan akrab ini mampu mewujudkan hubungan yang harmonis antara peniaga dengan pembeli lantas memudahkan urusan jual-beli selain perniagaan tersebut menjadi tumpuan tetap pelanggan.

2. Lakukan Sedikit Penyelidikan

Buatlah sedikit penyelidikan. Tanyalah pada orang sekeliling tentang produk, sasaran pelanggan atau keadaan semasa. Jangan main terjah begitu sahaja.

Peniaga yang mempunyai pengetahuan yang luas tentang produk yang di jual akan lebih dipercayai dan diyakini pembeli. Pembeli tahu bahawa penjual tersebut boleh diharap dalam menyampaikan maklmuat mengenai produk yang ingin dibeli.

TambatHatiPembeli

3. Beri Sesuatu

Tawarkan khidmat konsultansi produk secara sukarela. Walaupun belum tentu pembeli mahu membeli produk yang di jual, sekurang-kurangnya dengan penerangan yang diberikan, pembeli dapat menilai semula dan membuat pilihan serta perbandingan dengan premis-premis atau produk perniagaan yang lain.

4. Konsultan Bukan Jurujual

Ciptakan diri kita menjadi seorang konsultan yang membantu menyelesaikan masalah menerusi produk yang kita tawarkan. Jangan terlalu mengharapkan produk terjual. Sebaliknya, biarkan pembeli memilih dan buat keputusan sendiri setelah mendengar penjelasan dan info tentang produk daripada peniaga.

Perbanyakkan bertanya, beri nasihat yang terbaik dan sentiasa letakkan diri kita dalam situasi mereka. Biar mereka tahu kehadiran kita pada mereka adalah untuk membantu dan menolong mereka selesaikan masalah mereka melalui produk yang ditawarkan.

5. Yakin dengan apa yang diperkatakan

Jika kita sering panik tidak tentu hala, selagi itulah kita gagal menjual. Beri keyakinan sewajarnya. Beri kepercayaan kepada pembeli dengan membiarkan mereka menilai kualiti produk setelah di beri penjelasan mengenainya. Elakkan memaksa pelanggan membeli produk dengan menawarkan harga rendah.

Sebaliknya, tawarkan untuk menerangkan segala kebaikan dan kualiti yang ada pada produk yang dijual. Pengetahuan mengenai produk amat penting. Elakkan setakat melepaskan batuk di tangga. Berilah komitmen seratus peratus agar apa yang kita lakukan di yakini pelanggan.

6. Bantuan dari Allah s.w.t

Minta dan mohon pada Allah agar apa juga yang kita lakukan dipermudah dan disenangkan sentiasa. Allah sama sekali tidak pernah malas untuk mendengar rintihan dan keluhan daripada hamba-hamba-Nya.

Namun kebanyakkan manusia sering merasa malas untuk berdoa kepada Allah. Dalam surah Al-Fatihah ayat 5 yang bermaksud, “Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan”.

Ayat yang sentiasa kita bacakan terutamanya dalam bersolat ini adalah satu akujanji daripada kita terhadap Allah untuk sentiasa meminta dan memohon kepada-Nya.

Tiada siapa pun yang mahukan kegagalan dan kekecewaan. Rancanglah dengan sebaik mungkin strategi jualan anda. Jauhi hasad dengki atau  berdendam kepada pesaing kita tapi cubalah bersahabat dengan mereka. Hadapilah segala cabaran atau risiko dengan sebaik yang mungkin.

Kredit foto: joelfortnersmithhe


Tags: , , , , ,

Komen (8)

  1. Saya setuju dengan tuan. Dalam era informasi sekarang, pembeli tidak suka dipaksa-paksa. Mereka lebih selesa mendapatkan informasi terlebih dahulu sebelum membuat tindakan membeli sesuatu barang.

    Justeru, menjadi konsultan adalah satu tindakan yang bijak dalam proses memenangi hati si pembeli. Pembeli amat hargai informasi daripada si penjual.

  2. Alhamdulillah, terima kasih atas perkongsian ini. Memang terbaik. Sangat praktikal untuk diamalkan oleh semua usahawan facebok untuk tingkatkan kadar closing sales.

Leave a Reply to Mohd Shubhi Batal (Cancel)