Gunakan 3 Tip Ini Untuk Pelbagaikan Penggunaan Penyata Kewangan

March 09, 2015 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Kewangan / Perakaunan

Ungkapan ini tidak asing walaupun mungkin tidak lumrah untuk semua orang – perakaunan adalah bahasa perniagaan. Dalam kata lain, untuk memahami keadaan sesebuah perniagaan, seseorang itu mesti boleh membaca, memahami, dan menganalisis penyata kewangan.

Umumnya kegunaan penyata kewangan ada tiga – mengukur prestasi lepas, menilai kedudukan semasa dan meramal potensi masa depan. Ia mengambarkan betapa besar kuasa maklumat yang terkandung dalam penyata kewangan. Biarpun demikian, jangan taksub terhadap maklumat penyata kewangan kerana cerminnya tidak sempurna – kegunaan yang boleh ditawarkan oleh maklumat penyata kewangan adalah terbatas. Artikel ini mengulas tiga batasan utama maklumat penyata kewangan.

Satu Titik Masa

Penyata kewangan adalah laporan akhir yang terhasil dari rekod perakaunan untuk satu tempoh tertentu (seperti satu tahun). Angka yang tercatat dalam penyata kewangan adalah angka pada satu titik masa iaitu pada tarikh kesemua buku akaun ditutup. Maka angka berkenaan tidak dapat memberi gambaran tepat tentang naik turun perniagaan untuk 360 hari. Satu contoh – angka jualan.

penyata kewangan

Angka kumulatif jualan dalam penyata kewangan tidak dapat memberi gambaran secara terperinci prestasi jualan mengikut musim atau bulan. Contoh lain – baki akaun bank. Baki akaun itu hanyalah pada satu titik masa yang tidak cukup untuk memberi maklumat sama ada akaun berkenaan mempunyai baki yang semakin meningkat, konsisten atau berkurang untuk satu siri masa.

Rekod Lepas

Maklumat penyata kewangan adalah berasaskan rekod lepas – urusniaga yang telah berlaku. Hukum umum dalam perniagaan ialah rekod lepas tidak dapat mengambarkan dengan tepat keadaan masa depan. Jika perniagaan mendapat untung besar pada tahun lepas, itu bukan jaminan keadaan akan berulang untuk masa hadapan.

Dalam perniagaan, ada banyak faktor dalaman dan luaran yang boleh mempengaruhi prestasi. Saksikan sahaja naik turun nilai matawang, cabaran penyusutan harga bahan api dan kemerosotan permintaan terhadap komoditi seperti getah. Tiada satupun yang terjadi secara berkekalan, malah ada peristiwa yang berlaku tersasar dari ramalan biarpun oleh mereka yang bergelar bijaksana dan pakar dalam hal ehwal ekonomi dan perniagaan.

Airsia

 

Maka jangan terlalu yakin bahawa perniagaan yang menguntungkan akan terus menikmati zaman makmur dan sebaliknya. Kisah Air Asia adalah iktibar terbaik bahawa sebuah perniagaan yang bermasalah masih mampu bangkit menjadi gergasi jika berada di tangan figura yang hebat disertai strategi dan pasukan terbaik.

Variasi Kaedah

Keseragaman adalah ciri penting untuk penyata kewangan. Keseragaman membolehkan maklumat antara penyata kewangan dibandingkan serta meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap maklumat tersebut. Namun di sebalik keseragaman, penyata kewangan juga mempunyai sifat variasi – contoh kaedah penilaian inventori, susutnilai atau pengiktirafan hasil.

variasi kaedah

 

Variasi ini menjadikan perbandingan maklumat antara penyata kewangan menjadi lebih sukar – analisis yang lebih mendalam diperlukan. Oleh itu, selain menilai angka yang dilaporkan dalam penyata kewangan, perlu dinilai juga tatacara perakaunan yang digunakan.

Kesimpulan

Biarpun penyata kewangan mempunyai limitasi, tidak bererti penyata kewangan tidak berguna. Untuk meningkatkan kebergunaan maklumat penyata kewangan, jangan sekadar bergantung kepada maklumat yang tertera dalam penyata kewangan sahaja.

Sebaliknya, lakukan analisis ke atas maklumat penyata kewangan termasuk perbandingan penyata kewangan untuk beberapa tahun, perbandingan antara firma dan perbandingan dengan data industri. Jangan sekadar membaca penyata kewangan, sebaliknya lakukan analisis terperinci.

Kredit foto: Alan


Tags: , ,

Pendapat anda?