Biar Bergaya, Asalkan Berguna

August 15, 2011 — Penulis:

Kategori: Pengurusan Kewangan

Orang kata, “Biar papa asal bergaya”. Mari kita tukar kepada, “Biar bergaya asal berguna”. Musim perayaan ini mengundang 1001 cara berbelanja yang luar daripada kebiasaan.

Kerana musim perayaan ini hanya berlaku setahun sekali. Masa itu, semuanya berkumpul. Masa itu, orang mahu bertandang. Masa itu, sesuai hendak melaram.

Boleh bergaya, boleh berbelanja. Tiada ada salahnya. Apa kata begini caranya. 7 langkah beraya lebih bergaya!

Buat Belanjawan

Lebih awal lebih baik. Senaraikan semua niat-niat bergaya itu dengan jelas. Lebih baik nyatakan bajetnya sekali. Contohnya:

  • Baju melayu/kurung sepasang (RM200),
  • Baju kasual (RM150),
  • Kasut (RM120),
  • Tas tangan (RM100),
  • Telefon pintar (RM1,500),
  • Ketuhar oven (RM300),
  • Langsir (RM450),
  • Set balang kuih stail inggeris (RM250),
  • Komputer tablet (RM1,200),
  • Rim sport dan tayar baru (RM1,500),
  • Bodykit dan cat baru (RM1,500),
  • Cermin mata hitam (RM100),
  • Televisyen 3D (RM2500),
  • Sistem bunyi (RM1,000),
  • Set sofa (RM2,000),
  • Penghawa dingin (RM1,500)
  • Dan lain-lain.

Senaraikan juga semua belanja yang akan berlaku semasa beraya kelak. Contohnya seperti:

  • Tambang bas/ kapal terbang/ keretapi pergi balik (RM200),
  • Petrol (RM400),
  • Tol (RM300),
  • Duit raya (RM500),
  • Belanja dapur (RM300),
  • Zakat (RM50),
  • Sedekah (RM100),
  • Tambah nilai pra-bayar telefon (RM150),
  • Bil elektrik (RM200),
  • Bil air (RM70),
  • Servis kereta (RM500)
  • Dan lain-lain.

Akhirnya senaraikan sumber hasil untuk menampung perbelanjaan raya kali ini. Gaji sendiri (RM2,500), gaji pasangan (RM2,500), pendapatan sewa (RM800), bonus (RM500) dan lain-lain.

Pastikan kita senaraikan semua.

6 Panduan Beraya Sakan Tanpa Hutang

biar-bgaya-asalkan-bguna

  1. Gunakan skrip ini untuk bertanya kepada diri sendiri, “Adakah saya perlu baju melayu sepasang yang baru?”, dan gunakan ia pada setiap item yang telah anda catat di atas.
  2.  Catatkan semua jawapan di sebelah item yang anda katakan jawapannya “Ya” itu tadi. Simpan senarai yang dikatakan “Tidak” itu. Beritahu dalam hati, “Bawa bersabar, aku tidak perlukan kau lagi. Mungkin lain hari”.
  3. Jumlahkan total belanjawan. Katakan jumlah keseluruhan adalah RM3,500. Muhasabah sebentar nilai itu. Tarik nafas dalam-dalam, tenangkan minda. Gunakan skrip ang sama di atas, “Adakah saya perlu belanjakan RM3,500 untuk raya kali ini?”.
  4. Catatkan semula total belanjawan akhir jika ada perubahan, pengurangan atau peningkatan.
  5. Senaraikan di mana pasaraya, bazar, butik yang anda akan beli barangan itu. Nyatakan juga tarikh cadangan anda untuk pergi membeli barangan itu. Cara untuk lebih berjimat adalah mengenalpasti jualan murah yang terbaik, melalui surat khabar, katalog online ataupun bertanya pada rakan-rakan.
  6. Bergembiralah pada hari raya nanti. Pastikan sebelum membeli belah, kita membaca skrip di atas sekali lagi. Mulakan dengan Bismillah sebelum membeli.

Apa yang dicadangkan di atas adalah salah satu teknik untuk tidak terbabas ketika di musim perayaan. Bayangkan kita beraya sakan anda dengan hutang. Ini adalah punca pecah berderai tabung gajah menantikan gaji seterusnya.

Itu belum lagi keadaan luar kawal akibat terikut-ikut keadaan semasa, ‘ter’ guna kemudahan ansuran kredit-fleksi kad kredit, dan membuat pinjaman peribadi baru semata-mata untuk beraya.

Ingatkan Diri Tentang Garis Mula

Tidak siapa melarang anda untuk beraya. Apa kata anda raikan raya sebenar anda apabila benar-benar mencapai matlamt bebas kewangan kelak. Ketika itu bukan sahaja anda mempunyai kuasa beli yang baik, anda juga sudah ada tabiat diri yang baik.

Ingatkan diri mengenai garis mula mu. Saya mesti bebas kewangan dalam tempoh 10 tahun lagi. Saya perlu mengumpul RM2.5 juta. Saya fokus pada penghasilan pendapatan pasif. Kesilapan kecil semasa raya kali ini akan melambatkan proses saya ini dalam tempoh masa tiga hingga empat tahun.

Kembali Kepada Fitrah

Inilah perayaan sebenar; kembali kepada fitrah. 30 hari didikan sekolah ramadhan bakal menguatkan tekad anda untuk bebas kewangan.

Tidak berbaloi berpuasa sebulan penuh, akhirnya mendapat gelaran si engkar seperti firman Allah swt:

“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, dan syaitan itu adalah sangat engkar kepada Tuhannya.” (Al-Isra’ 17:27).

Orang lain beraya dengan kaya dan pahala, kita pula beraya dengan hutang dan dosa, nau’zubillah.

Cara beraya dengan bergaya  apabila kita belanja apa yang berguna. Apa kata, gantikan salah satu niat bergaya dengan sofa baru (RM2,000), dengan bergaya cara bersedekah kepada yang memerlukan. Betapa besar nilai RM2,000 kepada yang memerlukan. Barulah benar bergaya dengan pahala, rakan sakan spritiual kita.

Suka hati dapat menyewa,
Bila dapat bawa ke mana;
Apa yang hebat pada nyawa,
Bila buat barang berguna.

Kredit gambar yang diambil dari Flickr (Joe Shlabotnik,vilnid)


Tags: , , , , ,

Komen (6)

  1. Tips yang amat berguna.Moga boleh diamalkan.Nyata besederhana dalam semua perkara itu lebih baik…

  2. Ramai orang bergaya untuk mendapat pujian manusia, bukan untuk mendapat redha Allah. Bergaya kerana manusia memeritkan, ‘bergaya’ untuk mencari redha-Nya menenangkan.

  3. Terima kasih atas tips yang diberikan. Tips yang amat berguna dan wajib diamalkan supaya kita beraya dengan hati yang tenang supaya tidak lekat hutang selepas raya. Satu penulisan yang santai tapi bagi saya susah nak diamalkan kalau tidak berdisplin dengan planing yang dilakukan. Harap saya boleh amalkan tips berguna ini. Terima kasih.

  4. Rdn Nurhafiz
    October 14, 2011

    Artiel yang sangat praktikal!
    bukan sahaja utk belanjawan raya bahkan boleh digunakan untuk rancangan bulanan.
    syabas hafiszi!

  5. Menarik untuk dikongsi. Saya biasa gunakan skill begini.contoh keluarga saya memerlukan perbelanjaan rm1000 untuk raya include mnyak dan tol. So akan jadi 1000/12= 83.3. Sebulan sy simpan lebih kurang 100-150 untuk musim perayaan.

Pendapat anda?