Tip Perniagaan eBay – Outsourcing atau Terus Mundur?

June 11, 2012 — Penulis:

Kategori: Online

Dari tahun ke tahun terdapat peningkatan yang ketara dari segi jumlah penjual di portal eBay. Jumlah ini termasuk peningkatan penjual baru di portal eBay yang berasal dari Malaysia.

logo ebay

Ini bukanlah satu perkara yang menghairankan kerana pihak eBay sentiasa bertindak agresif, untuk meningkatkan jumlah penjual dan pengunjung yang menyertai portal mereka setiap tahun.

Di samping itu, usaha berterusan daripada ramai usahawan eBay veteran yang terdapat di Malaysia untuk membantu orang lain, yang ingin berjinak-jinak dengan eBay juga amat berkesan.

Pada masa kini, kita sudah boleh berbangga kerana terdapat ramai usahawan berjaya di portal eBay yang datang dari Malaysia.

Ramai di kalangan usahawan yang mencapai kejayaan di portal eBay sudah berupaya menguasai teknik dan strategi penjualan di portal tersebut, untuk menjana keuntungan yang baik secara konsisten pada setiap bulan.

Berjaya Tidak Bermakna Kaya Selamanya

Selalunya apabila mereka sudah berjaya mencapai satu tahap keuntungan yang optimum di portal eBay, mereka sudah tidak mampu mencapai kejayaan yang lebih tinggi daripada itu.

Bukti Pendapatan eBay

Pada tahap ini, keuntungan mereka adalah lebih bersifat sustaining atau mendatar.

Keadaan ini disebabkan mereka sudah mencapai tahap optimum di dalam strategi penjualan mereka. Sama ada dari segi jumlah barang jualan yang boleh dijual, harga barangan yang mereka jual dan masa yang boleh mereka luangkan untuk menguruskan perniagaan di portal eBay.

Apabila dikaji dengan lebih mendalam, faktor keuntungan yang mendatar secara berterusan ini adalah banyak disebabkan oleh kekangan masa yang dihadapi oleh si usahawan tadi.

Setiap individu di dunia ini cuma memiliki 24 jam sahaja dalam sehari.

Selepas ditolak dengan perkara-perkara lain dalam kehidupan kita seperti tidur, bekerja (untuk yang berkerja secara sepenuh masa), beriadah, melayan anak-anak dan sebagainya, kita cuma memiliki beberapa jam sahaja dalam sehari untuk meluangkan masa dalam perniagaan di portal eBay.

Bisnes eBay – Masa Itu Emas

Situasi ini menjadikan kita tidak mampu untuk mengembangkan perniagaan kita di portal eBay, kerana sentiasa dihadkan oleh jumlah masa yang boleh kita luangkan pada setiap hari untuk menguruskan perniagaan tersebut.

watch

Bayangkan dalam masa 1 atau 2 jam sehari, itu adalah masa yang anda akan lakukan segala-galanya.

Dari membuat listing baru, menguruskan pembelian, membungkus barangan, mengepos barangan, mencari barangan baru untuk dijual dan 1,001 macam perkara lain yang perlu dilakukan, untuk memastikan perniagaan anda di portal eBay berjalan dengan lancar.

Tanpa masa yang mencukupi, anda akan mula mencuri masa berharga anda yang lain seperti untuk bersama keluarga, tidur dan beriadah.

Walaupun sebaik mana pengurusan masa anda sekali pun, anda masih tidak akan mampu melakukan segala-galanya dalam jangkamasa 24 jam sehari yang amat terhad itu.

Dalam pada itu, langkah terbaik untuk memastikan perniagaan sentiasa berkembang dan meningkatkan keuntungan adalah dengan mengaplikasikan strategi outsourcing atau memberikan tugas kepada orang lain.

Berikut adalah beberapa tugasan yang boleh anda outsource.

3 Rahsia Outsourcing Pasti Untung

#1 – Membuat Listing

Apabila anda sudah memiliki banyak barangan untuk dijual pada setiap minggu, anda memerlukan bantuan untuk membuat listing atau paparan barangan tersebut di portal eBay.

Salah satu cara yang paling mudah untuk anda berbuat demikian adalah dengan menggunakan perkhidmatan, atau perisian pengurusan listing seperti Auctiva dan juga Turbolister.

Pengunaan perkhidmatan atau perisian ini memudahkan anda untuk memaparkan barang jualan anda yang terkini dengan mudah dan pantas.

Bayangkan anda boleh membuat listing beratus-ratus barangan dalam masa hanya beberapa minit. Sudah pasti ia akan dapat memudahkan tugas anda sebagai seorang penjual.

#2 – Membungkus Barangan

Satu tugasan yang pasti akan mencuri banyak masa anda sebagai seorang usahawan eBay adalah pembungkusan barangan untuk dihantar kepada pembeli. Jika anda cuma mempunyai beberapa barangan untuk dibungkus pada setiap masa mungkin tidak menjadi masalah.

Tetapi bayangkan jika perniagaan anda sudah bertambah maju dan anda perlu membungkus berpuluh-puluh atau beratus-ratus barangan pada setiap minggu. Sudah pasti anda tidak akan “cukup tangan” untuk membungkus kesemua barangan tersebut.

Pengalaman saya sendiri di awal perniagaan saya di portal eBay, di mana saya terpaksa berjaga sehingga pukul 4 pagi untuk membungkus barang.

Oleh itu, langkah terbaik untuk menjimatkan tenaga dan masa anda adalah memberikan tugasan tersebut kepada orang lain. Anda boleh menyerahkan tugasan tersebut kepada rakan-rakan, atau ahli keluarga dengan memberikan ganjaran yang sewajarnya kepada mereka.

Atau anda boleh berikan kepada syarikat pembungkusan yang profesional. Dengan berbuat demikian, maka anda akan mempunyai lebih banyak masa dan tenaga untuk digunakan untuk tugas-tugas anda yang lain.

#3 – Menghantar Barangan

Satu lagi tugasan yang mencabar buat seorang usahawan eBay adalah membuat penghantaran barangan.

Jika anda mula menjual barangan dalam kuantiti yang banyak dan mendapat banyak pembelian, maka anda perlu sentiasa berulang-alik ke pusat penghantaran barangan anda di Pos Malaysia, atau di mana-mana syarikat kurier yang lain.

Perjalanan anda ini akan mengambil banyak masa dan tenaga. Jika anda perlu bergerak ke tempat penghantaran yang jauh, maka akan lebih banyak masa dan tenaga anda yang akan habis. Begitu juga dengan wang anda sekiranya anda perlu membayar tol atau mengisi minyak.

Jika anda juga merupakan seorang pekerja sepenuh masa, maka sudah pasti anda tidak memiliki banyak masa terluang untuk mengunjungi pusat penghantaran barang.

Oleh itu, langkah terbaik adalah untuk outsource tugasan ini samaada kepada rakan-rakan atau ahli keluarga anda. Jika mereka tidak boleh membantu anda, cuba aturkan dengan syarikat penghantaran anda untuk mengambil bungkusan tersebut terus dari rumah anda.

Selain itu, anda juga boleh mengubah strategi penjualan anda kepada dropshipping iaitu pihak ketiga yang akan bertindak membekalkan barangan.

Seterusnya membuat pembungkusan dan penghantaran untuk anda.

Bonus – Peka Dengan Aliran Tunai

Sebagai seorang usahawan, anda juga perlu peka terhadap kedudukan kewangan perniagaan anda.

Penyata Cashflow

Jika anda tidak tahu jumlah wang yang keluar dan jumlah wang yang masuk ke dalam perniagaan anda di portal eBay pada setiap bulan, maka akan sukar untuk anda mengenalpasti masalah yang terdapat di dalam perniagaan anda.

Oleh itu, anda boleh bertindak menguruskan status kewangan anda pada setiap bulan secara sendiri, atau anda boleh memberikan tugas tersebut kepada orang lain.

Jika anda sudah menjual beratus-ratus barangan pada setiap bulan, maka akan menjadi satu tugas yang mencabar untuk anda menguruskan status kewangan anda disebabkan jumlah yang besar itu.

Justeru itu, memberikan tugasan tersebut kepada pihak lain adalah lebih wajar. Anda boleh memberikan tugasan tersebut kepada rakan-rakan atau ahli keluarga anda yang mempunyai pengetahuan dalam menguruskan akaun. Anda juga boleh menyerahkan tugasan tersebut kepada syarikat berkelayakan untuk membantu anda.

Outsourcing – Jimat Masa, Cepat Kaya

Secara ringkasnya, setiap urusan outsourcing yang saya sarankan di sini atau sebarang idea outsourcing lain yang anda boleh fikirkan adalah bertujuan untuk mengurangkan masa, dan tenaga anda dalam menguruskan perniagaan anda dari sehari ke sehari.

Outsourcing Dalam eBay

Jika anda “berkerja” di dalam perniagaan anda, maka sukar untuk anda melihat keadaan sebenar perniagaan secara menyeluruh. Ini seterusnya akan membantutkan pengembangan perniagaan anda.

Jika perkembangan perniagaan anda terbantut, maka jumlah keuntungan yang anda perolehi juga akan kekal pada satu tahap yang optimum sahaja dan tidak akan mampu untuk naik lebih tinggi daripada itu.

Dengan ini, jangan anggap strategi outsourcing sebagai satu kos kepada perniagaan anda.

Anggap ia sebagai satu pelaburan jangka masa panjang yang penting untuk kejayaan perniagaan anda.

Insya Allah anda akan mampu mencapai kejayaan yang lebih hebat, dengan mengaplikasikan strategi outsourcing ini dalam perniagaan anda.

Sehingga kita berjumpa lagi di keluaran yang akan datang, salam hormat dan salam kejayaan.

Kredit: Bits, Auction Income Formula, Ombudsman, Famous Blogger.


Tags: , , , , ,

Komen (1)

  1. saya memang berminat untuk belajar menggunakan ebay. tapi tak tahu caranya macam mana nak bermula. terima kasih atas entry ni, sikit2 saya faham apa itu perniagaan menggunakan ebay. Kalau ada tips lain sila berkongsi. terima kasih 😀

Pendapat anda?