Tip Temuduga Graduan & Usahawan – Dahulu & Sekarang

June 07, 2012 — Penulis:

Kategori: Komunikasi

Setiap daripada kita pastinya pernah atau akan melalui saat-saat akan ditemuduga.

Tip Temuduga Kerja

Samada untuk memohon pekerjaan, memohon pinjaman, membentangkan idea atau kertas kerja bagi usahawan dan sebagainya.

Namun tidak semua temuduga akan berakhir dengan senyuman.

Ramai yang gagal walaupun telah melalui pelbagai temuduga sebelum ini.

Keadaan ini adalah lebih kritikal bagi graduan-graduan yang baru sahaja menghabiskan pengajian, dan sedang tercari-cari pekerjaan mahupun bagi mereka yang ingin menceburkan diri di dalam bidang keusahawanan.

3 Tip Temuduga (Graduan & Usahawan)

Tip-tip di bawah dapat membantu anda serba sedikit:

#1 – Bukan Sekadar Bersedia

Bersedia di sini bukan sekadar bermaksud anda harus membuat serba sedikit penyelidikan tentang jawatan, dan syarikat yang anda memohon pekerjaan.

Sentiasa Bersedia

Anda harus bersedia bagi perkara yang nampak remeh tetapi penting. Seperti membawa pen untuk temuduga. Ini kerana biasanya anda perlu mengisi borang maklumat peribadi sebelum temuduga bermula.

Tentu sahaja anda tidak mahu mengetuk pejabat Pengurus Sumber Manusia dan bertanyakan,

“Boleh saya pinjam pen?”.

Nampak lucu tetapi sememangnya berlaku. Persepsi pertama sahaja sudah tidak meyakinkan penemuduga.

Jika di hari penting begini anda telah menunjukkan sikap tidak terurus dan bersedia, apatah lagi sekiranya anda telah diambil bekerja nanti.

Bagi usahawan pula, pastikan dokumen penting syarikat atau kertas kerja pembentangan telah disediakan awal-awal, sebelum hari temuduga dan tiada yang tertinggal.

Anda pastinya tidak mahu penemuduga pinjaman anda menganggap anda cuai dan mudah terlupa. Jika anda lupa, ada kemungkinan mereka menganggap anda akan lupa untuk membayar hutang pinjaman mereka.

#2 – Bersopan dan Disenangi

Setiap tahun terdapat ratusan graduan yang mempunyai kelulusan dan memohon pekerjaan yang sama dengan anda.

Apa yang dapat membezakan anda dengan calon yang lain adalah sikap anda, dan bagaimana anda membawa diri anda supaya disenangi.

Jangan mempamerkan sikap sombong, ego atau pentingkan diri.

Di dalam dunia pekerjaan adalah penting bagi majikan untuk mencari calon yang mereka rasakan bukan sahaja mempunyai kelulusan, namun sikap yang baik dan keserasian.

Ini kerana calon yang terpilih kelak merupakan calon yang akan bersama mereka untuk membangunkan syarikat dalam satu jangka masa yang panjang.

Tentu sekali mereka tidak mahu mencari calon yang ego, sombong atau bersikap pentingkan diri kerana kelak mereka yang akan susah jika tersalah pilih.

Begitu juga bagi usahawan, sekiranya penemuduga pinjaman anda ragu-ragu untuk meluluskan pinjaman anda, jangan anda marah dan menghentak meja mereka.

Ada kalanya mereka hanya mencuba sifat kesabaran anda kerana tanpa kesabaran, anda pastinya tidak akan mampu melalui cabaran yang lebih hebat apabila anda bergelar usahawan kelak.

Kekalkan sifat sopan, berhemah dan pastinya orang akan lebih mudah memberikan pertolongan.

#3 – Keterampilan Diri

Ramai calon temuduga yang mengambil sikap tidak endah akan penampilan mereka.

Tip Temuduga - Menjaga Imej Diri

Anda harus tahu bahawa penemuduga selalunya akan menghubungkan kelulusan serta imej anda dengan jawatan yang anda mohon.

Sekiranya imej anda bersesuaian maka anda mempunyai kelebihan. Namun sekiranya imej anda tidak padan dengan jawatan yang ingin diisi, mereka pastinya akan mencari calon yang lebih berketerampilan yang sesuai dengan jawatan tersebut.

Bagi usahawan pula, penampilan adalah amat penting kerana anda akan sentiasa berhadapan dengan pelanggan, potensi pelabur dan sebagainya.

Amatlah perlu untuk anda sentiasa mempamerkan yang terbaik dari segi etika menjalankan perniagaan mahu pun imej anda. Jika anda berpakaian selekeh, anda terpaksa bekerja lebih keras untuk menyakinkan orang lain terhadap diri anda dan perniagaan yang anda jalankan.

Percayalah bahawa berpenampilan menarik itu jauh lebih mendatangkan manfaat, dan membawa kesan yang lebih positif terhadap apa juga yang anda lakukan berbanding dengan mereka yang mengabaikannya.

Semoga anda berjaya memenangi temuduga.

Kredit: Ditto & Co, ETF Trends, Consultant From Business.


Tags: , , , ,

Pendapat anda?