Mari Berkenalan Dengan Hak Cipta Di Malaysia

January 20, 2012 — Penulis:

Kategori: Konvensional

Hak cipta merupakan salah satu cabang daripada harta intelek. Di mana ia adalah hak esklusif yang diberikan oleh undang-undang untuk tempoh masa tertentu kepada pencipta karya untuk mengawal penggunaan karya mereka di Malaysia

malaysia

Perlindungan hak cipta di Malaysia ditadbir oleh Akta Hak Cipta 1987.

Hak cipta memberikan perlindungan terhadap industri kreatif. Di mana setiap karya dan hasil kerja akan diberikan perlindungan oleh undang-undang untuk tempoh tertentu.

Karya-karya dan hasil kerja yang dilindungi di bawah hak cipta adalah:

  1. Karya sastera;
  2. Karya muzik;
  3. Karya seni;
  4. Filem;
  5. Rakaman bunyi;
  6. Siaran (broadcast); dan
  7. Karya terbitan.

Secara ringkasnya, hasil kerja seperti buku, majalah, filem, lagu, lirik, rancangan televisyen, animasi artikel dan muzik dilindungi di bawah hak cipta.

Perisian Komputer Juga Dilindungi

Perisian komputer juga dilindungi di bawah hak cipta kerana kod sumber yang terdapat di dalam perisian komputer dikategorikan sebagai karya sastera (literary works).

Di Malaysia, tiada sebarang pendaftaran diperlukan untuk mendapat perlindungan hak cipta. Perlindungan diperoleh secara automatik sebaik sahaja sesuatu karya disiapkan.

macbook pro

Walaubagaimanapun, untuk membuktikan sesuatu karya atau hasil kerja tersebut adalah milik asal pengkarya, dia perlu menyimpan segala bukti berkaitan penghasilan karya tersebut seperti manuskrip asal, draf penulisan dan sebagainya bagi menuntut perlindungan hak cipta.

Bagi memudahkan pemilik karya membuktikan sesuatu karya adalah miliknya terutama untuk tujuan pembuktian di mahkamah,  pemilik perlu menyediakan satu akuan bersumpah atau disebut sebagai akuan hak cipta.

Bagaimana Proses Akuan Hak Cipta

Di dalam akuan hak cipta, perlu dinyatakan tajuk karya, tarikh ia dicipta dan diterbitkan dan sebarang informasi yang berkaitan dengan karya yang dimiliki.

Pemilik perlu membawa akuan hak cipta ini kepada pesuruhjaya sumpah untuk mendapat cop pengesahan. Akuan hak cipta yang telah mendapat cop pengesahan pesuruhjaya sumpah boleh dijadikan sebagai bukti pemilikan karya di mahkamah sekiranya ingin mengambil tindakan berkaitan pelanggaran hak cipta.

book

Bagi pemilik karya seperti filem, muzik, buku atau perisian yang ingin membuat aduan pelanggaran hak cipta kepada Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, akuan hak cipta ini perlu dikemukakan kepada pegawai yang berkenaan bagi membuktikan pemilikan sesuatu karya.

Dengan ini, pihak penguatkuasa akan dapat mengambil tindakan dengan mengadakan serbuan dan rampasan terhadap pihak yang melakukan pelanggaran hak cipta.

Bagi yang tidak pasti bagaimana untuk menderaf akuan hak cipta ini, bolehla menghubungi mana-mana konsultan harta intelek yang berdekatan.

Untuk mendapatkan perlindungan hak cipta, sesuatu karya mestilah asli dan diterjemah atau direkod dalam sebarang bentuk seperti tulisan, gambar, bunyi dan sebagainya.

Idea Tidak Dilindungi Selagi Tidak Dihasilkan

Idea semata-mata tidak dilindungi di bawah undang-undang hak cipta. Sebagai contoh, Ali mempunyai idea untuk menulis sebuah buku berkaitan perniagaan. Ketika ini, idea Ali masih tidak dilindungi kerana ideanya tidak diterjemahkan ke dalam sebarang bentuk.

Kemudian, Ali memulakan penulisannya dan menghasilkan sebuah buku berkaitan perniagaan. Buku yang dihasilkan oleh Ali ini dilindungi di bawah undang-undang hak cipta.

harry potter1

Tempoh perlindungan hak cipta bagi karya sastera, seni dan muzik adalah semasa hayat pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya. Bagi karya rakaman bunyi, filem dan siaran, perlindungan adalah selama 50 tahun selepas tarikh ia diterbitkan.

Sebagai contoh, buku Harry Potter karangan J.K. Rowling akan mendapat perlindungan hak cipta sepanjang hayat penulisnya dan apabila penulisnya meninggal kelak, karyanya akan masih dilindungi hak cipta selama 50 tahun selepas dari tarikh kematiannya.

Ini bermakna, karya J.K Rowling akan terus terpelihara selama hayatnya dan 50 tahun dari hari kematiannya.

Badan yang Menjaga Masalah Pelanggaran Hak Cipta

Penguatkuasaan undang-undang hak cipta di Malaysia dipertanggungjawabkan kepada Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan serta Polis DiRaja Malaysia.

Jika pemilik karya berhadapan dengan masalah pelanggaran hak cipta, aduan boleh di kemukakan kepada dua badan penguatkuasa ini.

Kredit imej yang diambil dari Flickr (khae_276crafterm-spudballoo-FunWolf)


Tags: , , , , , , ,

Komen (5)

  1. Saya ada mencipta bebrapa buah lagu untuk band saya sendiri, dalam proses untuk membuat demo, tapi saya kuatir lagu saya akan di ciplak pulak…. bagaimana cara terbaik nak jaga hakcipta saya. Ada yg cadangkan pos ke alamat sendiri.

  2. Berdasarkan yang saya paham.
    Kertas hitam putih yang boleh kita tunjuk bukti adalah surat dari suruhanjaya sumpah?
    So, kena amik surat itu dulu ea..

Pendapat anda?