Untung VS Jualan – Strategi Penjual eBay Bijak!

March 29, 2011 — Penulis:

Kategori: Online

Salah satu kesalahan besar yang sering dilakukan oleh penjual-penjual baru di portal eBay adalah mereka menjadi terlalu fokus pada jumlah jualan dan bukannya keuntungan yang diperoleh dalam perniagaan mereka. Mereka sering memburu jumlah jualan untuk menjadi kayu pengukur kejayaan mereka sebagai seorang penjual di portal eBay.

Ebay

Cara pemikiran dan fokus perniagaan seperti ini adalah satu cara pemikiran yang salah dan boleh menghancurkan perniagaan anda untuk jangka masa panjang.

Pihak eBay juga menjadikan sasaran jualan sebagai kayu pengukur kepada status anda di portal eBay. Jumlah jualan anda pada setiap bulan menjadi di antara penentu sama ada anda akan diberikan status sebagai seorang Top Seller atau Powerseller di portal eBay.

Ini menyebabkan setiap penjual di portal eBay semakin ghairah untuk mengejar status yang lebih tinggi di dalam penjualan mereka.

Fahami Maksud Keuntungan yang Sebenar

Saya ingin menegaskan, fokus anda di portal eBay sepatutnya kepada jumlah keuntungan bersih yang diperoleh daripada perniagaan anda pada setiap bulan. Pemahaman ini juga yang sepatutnya anda terapkan dalam apa jua perniagaan yang anda lakukan di dunia online atau pun offline.

Walaupun anda memperolehi jumlah jualan yang besar, ini tidak bermakna yang anda telah memperolehi jumlah keuntungan yang besar. Mari kita lihat satu contoh mudah:

Andaikan anda merupakan seorang penjual permainan kanak-kanak dan salah satu barang jualan anda jual pada harga RM100 termasuk kos penghantaran.

  • Kos anda untuk mendapatkan barang tersebut daripada pembekal adalah RM80.
  • Kos pembungkusan dan penghantaran anda kepada pembeli adalah RM10.

Oleh itu, setiap kali ada pembeli yang membeli barang tersebut di eBay, anda telah mendapat jumlah keuntungan kasar sebanyak RM100. Namun demikian, setelah ditolak kos pembekal, pembungkusan dan penghantaran, anda cuma tinggal baki keuntungan bersih sebanyak RM10.

Jumlah ini belum lagi ditolak dengan kos-kos lain yang perlu anda bayar seperti yuran eBay dan yuran Paypal. Di akhir jualan, anda telah memperolehi jualan sebanyak RM100 tetapi keuntungan bersih hanya RM10 atau kurang daripada itu.

Jika dikira dari segi jumlah jualan, anda telah mendapat keuntungan yang banyak tetapi jika dikira dari segi keuntungan bersih anda sebenarnya telah mendapat keuntungan yang rendah.

Jumlah Jualan Tinggi , Keuntungan pun Tinggi?

Ini membuktikan bahawa tidak semestinya anda memperolehi jumlah jualan tinggi membolehkan anda memperolehi keuntungan yang sama tinggi!

Saya masih ingat pada masa saya baru mula menjual di portal eBay dulu. Saya telah berjaya memperolehi keuntungan yang besar pada setiap bulan tetapi jumlah keuntungan bersih saya adalah amat kecil. Saya cuma boleh berbangga dengan jumlah jualan saya sahaja tetapi bukan pada jumlah keuntungannya.

Jualan di ebay

Setelah itu, ada masa saya berjaya menjual cuma sedikit barangan dan memperolehi jumlah jualan yang sedikit tetapi setelah mengira, jumlah keuntungan bersih yang telah saya perolehi adalah jauh lebih banyak.

Jika anda mahukan satu perniagaan di portal eBay yang berjaya dan mahu perniagaan anda itu berkekalan sehingga satu jangka masa yang panjang, maka anda sepatutnya mula memberikan perhatian kepada jumlah keuntungan bersih untuk perniagaan anda.

Pokok Pangkalnya, Bina Keuntungan Dahulu!

Tidak ada masalah untuk mengejar jumlah jualan yang besar pada setiap bulan tetapi pastikan jumlah keuntungan yang anda perolehi adalah berbaloi dan berkadaran dengan jumlah jualan yang anda buat pada setiap bulan. Anda semestinya mahu mendapat imbuhan yang baik untuk hasil usaha penjualan anda di portal eBay.

Setiap usahawan yang berjaya mampu mengawal dan memperoleh keuntungan yang terbaik untuk perniagaan mereka. Saya yakin yang anda juga akan mampu berbuat demikian dengan usaha yang tetap dan berterusan.

Salam hormat dan salam kejayaan!

Kredit gambar: (sapientum)


Tags: , , ,

Komen (1)

  1. Mungkin dia mengejar top seller dahulu barulah keuntungan. Atau mungkin dia mengejar keseronokan berniaga dari keuntungan. Hanya dia yang tahu. Atau mungkin juga kerana dia tidak tahu mengira keuntungan?

Pendapat anda?