Usahawan ‘Jalanan’ Takluk Dunia

February 28, 2014 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Motivasi / Pembangunan Diri

Sejak menyertai tim Majalah Niaga pada penghujung 2013 yang lalu, dan kini tahun 2014, penulis masih ditanya soalan-soalan / kata-kata lazim malar segar yang tidak jemu-jemu disoal kebanyakkan orang seperti;

1) Benarkah ‘ikon itu’ tidak belajar di universiti?

2) Bolehkah berjaya sebagai usahawan tanpa ilmu yang dituntut di kolej/universiti?

3) Benarkah ikon yang kamu temu bual itu tiada latar belakang pendidikan formal dari sekolah tinggi/kolej/universiti tapi masih boleh berjaya? Tak realistik lah.

3) Mahu berjaya perlu ada ilmu. Perlu belajar ilmu bisnes dari kolej/universiti juga sebab mereka beri ‘input’ terkini.

Menjelang pertengahan bulan Mac nanti, pelajar-pelajar yang menduduki SPM pada tahun 2013 akan menerima keputusan peperiksaan mereka. Saat memperlihatkan hasil usaha selama 5 tahun di alam persekolahan menengah kepada ibu bapa, guru-guru dan orang-orang sekeliling.

Saat yang lebih kritikal apabila mahu membuat keputusan untuk memilih program pengajian dan universiti untuk melanjutkan pelajaran.

Keputusan Peperiksaan

Mentaliti masyarakat kita telah terbiasa dengan pemikiran bahawa untuk berjaya, mesti belajar sampai ke universiti. Hidup akan lebih terjamin dan masa depan lebih cerah setelah menamatkan pengajian di universiti nanti.

Namun, fenomena dunia keusahawanan kini lebih ramai ‘dihuni’ oleh individu-individu yang tidak memiliki kelulusan pendidikan formal daripada institusi pengajian tinggi.

Walaupun saya pernah menuntut di universiti (dan ‘merancang masa depan’ terlalu lama ketika di kampus), namun bidang kerjaya yang saya ceburi kini tiada dalam senarai “pekerjaan-pekerjaan atau jawatan-jawatan gah yang bakal disandang sekiranya anda mengambil jurusan ini.”

Pengajian Ekonomi

Sekiranya seseorang pelajar itu mengambil jurusan bahasa, pasti pelajar tersebut ‘dihidangkan’ oleh pensyarahnya dengan sehimpunan senarai pekerjaan kolar putih seperti wartawan, jurubahasa, guru, penterjemah di kementerian dan sebagainya.

Hakikatnya, mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan di Malaysia sudah seakan sebuah cerita dongeng saja. Pasaran kerjaya kini juga berubah corak permintaannya. Segulung ijazah tanpa apa-apa pengalaman bekerja, di ikuti gaya pemikiran dalam kotak, menyempitkan peluang graduan di ambil bekerja.

Atmosfera Universiti yang Rigid

Majikan-majikan di Malaysia semakin bijak dan selektif dalam menggajikan pekerja. Mereka mahukan yang berpengalaman, kreatif serta kritis berfikir, dinamik serta proaktif. Apakah ciri-ciri ini tiada pada pelajar universiti?

Sudah tentu ada—pada sebahagian kecil pelajar universiti. Memandangkan konsep pendidikan kebanyakkan universiti di Malaysia bersifat ‘spoon-fed’ atau ‘hanya tunggu disuap’ sahaja, maka sifat-sifat positif yang disebut tadi hampir tiada dikalangan penuntut universiti.

Oxford Students

Begitulah yang berlaku kepada para usahawan yang nekad tidak menuntut di universiti. Bukanlah mereka ini bodoh sombong atau merasakan pendidikan formal tidak relevan dengan bisnes yang mahu diusahakan.

Sebaliknya, di universiti, walaupun pelajar-pelajar diberi kebebasan untuk menonjolkan bakat dalam perniagaan, namun ia masih di bawah pengaruh ilmu daripada buku. Tidak dinafikan ramai yang menjadi peniaga ‘bawah tanah’ ketika menuntut di universiti. Aktiviti yang bagus untuk memupuk minat terhadap perniagaan.

Namun, ada sebahagian universiti yang terlalu rigid dan berfikiran sempit sehingga sanggup mengambil tindakan tatatertib terhadap pelajar yang berniaga tanpa kebenaran.

Pelajar-pelajar dibenarkan berniaga ketika musim graduasi, majlis-majlis rasmi kolej/universiti, temasya sukan, program keusahawanan yang dianjurkan beberapa hari sahaja dan sebagainya. Tindakan ini menyekat daya kreativiti serta kesungguhan pelajar melakukan pekerjaan warisan nabi—berniaga.

Usahawan Jalanan vs. Usahawan ‘Buku’

Ramai di antara kita (termasuk penulis sendiri) dan para usahawan yang mengambil keputusan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, namun di pertengahan pengajian atau ketika menjelang tahun terakhir pengajian, mula menyedari bahawa mereka tidak begitu memerlukan kelayakan dari universiti untuk memulakan perniagaan.

Definisi usahawan jalanan menurut ‘kamus’ Majalah Niaga ialah individu yang terlibat dengan perniagaan tanpa pendidikan formal tentang bisnes daripada institusi-institusi pengajian.

Sementara usahawan ‘buku’ pula bukanlah bermaksud penerbit, pencetak mahupun pembekal buku, sebaliknya bermaksud usahawan yang berniaga dengan menjadikan buku teks perniagaan daripada institusi pengajian sebagai ‘sifu’.

Usahawan Jalanan

Perbezaan ketara antara usahawan jalanan dengan usahawan ‘buku’ terlihat daripada sifat kental mereka. Usahawan jalanan lebih kepada ‘risk taker’ dan sering tidak takut mencuba pelbagai strategi perniagaan.

Usahawan ‘buku’ pula terlalu taat kepada konsep tambah tolak untung rugi dan andaian risiko yang dipelajari dahulu sehingga menghalang mereka menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam perniagaan mereka.

Selain daripada itu, usahawan jalanan tidak segan silu menuntut ilmu daripada usahawan-usahawan yang telah terbukti berjaya dalam bidang perniagaan masing-masing.

Menjadikan setiap daripada mereka sebagai inspirasi dan mentor serta tidak lokek melabur sejumlah wang untuk menghadiri seminar atau bengkel atau perkongsian pengalaman anjuran usahawan-usahawan tersebut.

Usahawan jalanan yakin, banyak bengkel, kursus, seminar mahupun pusat latihan yang ditawarkan kepada mereka yang berazam menjadikan perniagaan sebagai mata pencarian utama.

Oleh itu, mengapa perlu memperuntukkan masa di ‘kilang-kilang’ universiti sedangkan di luar sana, pelbagai jenis ilmu serta aspek perniagaan yang boleh dipelajari menerusi bengkel atau kursus yang berbeza.

Skop input yang diterima lebih luas dan versatil, hanya tinggal untuk mengamalkannya dengan bantuan serta tunjuk ajar ‘guru-guru’ usahawan yang genuine, bukan guru-guru teori.

Bukti Depan Mata

Walaupun sehingga artikel ini ditulis, belum terdapat sebarang statistik rasmi yang dikeluarkan oleh mana-mana badan profesional yang mengkaji tentang kebenaran teori usahawan jalanan lebih berjaya daripada usahawan kelahiran universiti, banyak bukti kejayaan yang membenarkan teori ini.

Antara contoh terbaik ialah seperti artikel yang pernah ditulis dan disiarkan di Majalah Niaga sendiri pada tahun 2011.

Individu-individu ternama yang dikenali seluruh dunia, yang berjaya dalam lapangan perniagaan masing-masing hampir kebanyakkan mereka berjaya kerana gagal.

Gagal meneruskan pengajian, gagal mendapatkan gred terbaik atau gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi. Namun, mereka dalam golongan yang bermotivasi tinggi. Menukar kegagalan kepada inspirasi untuk menjadi lebih baik daripada individu-individu yang ‘menolak’ dan ‘memperlekehkan’ mereka sebelum ini.

Mereka memilih untuk mengeksplorasi dan mengeksploitasi skil dan kelebihan yang ada pada diri mereka, lantas melakukan transformasi sehingga berjaya menjadi sebagaimana mereka pada hari ini.

Kaji dan baca kisah hidup ikon-ikon usahawan berjaya seperti:

  1. Tan Sri Mokhtar al-Bukhary
  2. Tan Sri Lim Goh Tong
  3. Dato Hj. Ramli Mokni
  4. Tuan Ali Hassan Mohd Hassan
  5. Puan Rozita Ibrahim
  6. Mark Zuckerberg
  7. Jan Koum
  8. Bill Gates
  9. Steve Jobs
  10. Michael Kors
  11. Sir Richard Branson
  12. Michael Dell;

serta ramai lagi usahawan berjaya tanpa sijil kelulusan pendidikan tinggi. Mereka bukanlah golongan yang anti dengan institusi pendidikan, sebaliknya atas kekangan tertentu seperti faktor kewangan, tekanan hidup serta tiada lagi kesungguhan meneruskan pengajian menjadi pencetus motivasi kepada mereka ‘menggali’ kebolehan dan kemahiran diri.

Mark Zuckerberg

Ukuran Kejayaan Pada Ilmu yang Praktikal, Bukan Pada Sijil

Universiti bukan tempat untuk semua orang. Sebelum mengambil keputusan yang bakal memberi impak untuk 3-4 tahun dalam hidup anda, fikirkan sehabis baik pro dan kontranya, serta jangan lupa untuk selaraskannya dengan minat dan fokus utama anda.

Jika mahu berbisnes, maka pastikan anda telah mengkaji daripada segenap aspek berkaitan bisnes yang bakal diceburi. Kaji modal, keuntungan, prospek, pulangan jangka pendek dan panjang, kesan terhadap pasaran semasa, kelangsungan perniagaan tersebut dan lain-lain lagi.

Lihat semula kejayaan yang dikecapi ikon-ikon yang disebut tadi. Paksi kejayaan mereka sudah tentu pada keazaman mereka, usaha tanpa jemu, kreativiti serta sifat yakin dan percaya pada kemampuan diri sendiri.

Artikel ini bukan sebuah justifikasi, sebaliknya ditulis berdasarkan pengalaman peribadi serta kisah benar yang dilihat sendiri. Malah, sebahagian cerita inspirasi kejayaan tanpa gulungan ijazah diceritakan sendiri kepada penulis ketika sesi temu bual bersama ikon pilihan Majalah Niaga.

Mungkin ada yang berpandangan selepas ini tidak perlu lagi untuk belajar tinggi kerana semua orang boleh berjaya. Namun kita perlu bertanya balik dari berbilion penduduk dunia hanya beberapa kerat sahaja yang terpilih untuk berjaya tanpa pelajaran tinggi.

Walau bagaimanapun, bukanlah bermaksud ilmu itu tidak penting. Ilmu apa pun selagi ia bermanfaat dan membawa kepada kebaikan dan kejayaan, perlu dipelajari dan disebarkan. Namun masa juga merupakan elemen terpenting dalam hidup.

Mennghabiskan masa muda di universiti selama 3, 4 atau 5 tahun dan setelah tamat pengajian, masih tercari-cari arah tujuan. Bukankah itu satu pembaziran masa yang jelas?

Sir Richard Branson pernah menyatakan:

“You don’t learn to walk by following rules. You learn by doing, and by falling over, and it’s because you fall over that you learn to save yourself from falling over.”

Sir Richard Branson 1

Kata-kata di atas bermaksud bahawa kita tidak belajar berjalan melalui peraturan. Kita belajar berjalan dengan sendirinya, terjatuh dan tersungkur. Namun, pengalaman-pengalaman tersebutlah yang mengajar kita berjalan dengan lebih baik dan mengelak daripada terjatuh lagi.

Kejayaan Bukan Mi Segera

Sebahagian ikon berjaya yang menjadi inspirasi kepada anak-anak muda kini melalui pahit manis dalam perjalanan menuju kejayaan. Ia bukanlah mudah, tidak dinafikan.

Namun kerana kesungguhan usaha dan minat mendalam terhadap bidang yang diceburi, mereka memberi peluang kepada diri sendiri, mengeksploitasi kemahiran dan bakat dalam diri ke tahap maksimum sehingga akhirnya berjaya mencapai kejayaan yang mereka sasarkan.

Kejayaan yang diperoleh sudah tentu ada kisah suka duka dan jatuh bangun sendiri. Tidak ada kejayaan mi segera – kejayaan yang diperoleh sekelip mata melainkan dalam dunia angan-angan.

Berhenti belajar atau mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi perlu dinilai dengan sehabis baik. Fikirkan kecenderungan diri, apa yang telah dicapai dengan usaha sendiri (contoh: sepanjang cuti sekolah telah berjaya menjual sejumlah produk dengan hasil yang membanggakan atau berjaya menjual servis dan lain-lain lagi) serta buat penilaian pro dan kontra.

Graduation Day

Jangan membuat keputusan berhenti/tidak menyambung pelajaran atas dorongan sifat malas atau angan-angan Mat Jenin. Tindakan ini boleh dilabel sebagai keputusan yang kurang cerdik.

Mulakan langkah kejayaan dengan melaksanakan azam dan rancangan anda serta jangan segan untuk belajar daripada pengalaman orang lain juga. Paling penting, belajar daripada kesilapan dan sentiasa ‘kemas kini’ ilmu pengetahuan dan skil daripada semasa ke semasa.

Salam kejayaan!

Kredit foto: 7140899631,  bugeyed_genfieldgrammarstormyshippy6311114126nikonsnapperdefaultbbuniversitywhitworthimages


Tags: , , , , , , , ,

Komen (10)

  1. cuma pelajaran di universiti tu sebagai bonus..
    mungkin pelajar universiti perlu membuktikan mereka juga mampu berjaya seumpama orang hebat..
    ataukah mungkin skop belajar yang terlalu banyak akademik perlu diperbaiki? wallahualam

  2. Satu lagi artikel yang mantap dan penuh inspirasi. Untuk menjadi usahawan SEJATI, pelajaran terbaik adalah di saat kita mencuba dan buat sesuatu. Gagal mencuba itu lebih baik dari gagal tidak mencuba.

    Mereka yang mengambil jurusan Perniagaan di Universiti disuruh untuk bekerja dan bukannya menjadi usahawan.

    Mungkin ini kelemahan yang paling ketara yang tidak sepatutnya pihak universiti buat. Kita perlukan perubahan untuk lahirkan lebih ramai usahawan dari IPT atau IPTA 😀

  3. Jeffri John
    March 1, 2014

    Pengalaman saya pelajar universiti belajar dari teori dan menjadikannya pritikal.. tetapi yang dari pengalaman pritikal kepada teori.. saya pernah mengikuti kursus sebelum memulakan perniagaan. Semasa mengikuti kursus saya betemu dengan lulusan universiti.. yang mempunyai semangat.. te4lalu tinggi angan angan.. di mana mereka m3mbayangkan bisnes adalah juta juta.. inilah menyebabkan mereka gagal.. tetapi yang tidak punya kelulusan matlamat mereka adalah punya upah untuk meneruskan kos hidup yang akhirnya menjadikan mereka berpengalaman.. dan meningkat kerana pengalaman dari kegagalan yang kecil.. kerana bisnes yang kecil akhirnya bisnes yang kecil. Menampakan kematangan dan berkembang..

  4. abdul basit
    March 4, 2014

    assalamualaikum,

    tahniah kepada majalah niaga kerana memberikan artikel yang amat bermanfaat untuk bacaan kepada generasi sekarang.

    Ketika belajar di universiti,kerap kali bercanggah cara fikir dengan pensyarah berkenaan dengan dunia usahawan yang sebenar. Pernah di suruh keluar kelas,kerana melontarkan realiti dunia usahawan yang sebenar.

    Pensyarah memaparkan cerita manis kepada pelajar,dan pelajar merasakan kehidupan selepas belajar adalah mudah. Perkara tersebut membuatkan pelajar tidak mengendahkan betapa penting membina modal sosial ketika masih belajar lagi,seperti menghadiri seminar,pameran dan forum.

    Selepas setahun majlis graduasi,kebanyakan rakan-rakan yang bersenang-senang ketika di zaman universiti mengalami kehidupan yang BIASA-BIASA dan terpaksa menerima sahaja keadaan mereka.

    Pendedahan artikel ini sangat membantu kepada mahasiswa untuk lebih faham siapa dan kedudukan mereka.

    Sekadar SIJIL,tidak ada apa yang boleh di banggakan.

  5. Sebenarnya kejayaan ia bukan datang secara bergolek.Sebagai manusia kita perlu berfikir dan berusaha untuk membaiki masa depan kita.Cuba tengok kenapa orang lain boleh berjaya ? adakah ia mempunyai masa yang lebih dari kita..Sebenarnya kejayaan itu datang dari kegigihan tanpa kenal apa itu putus asa 🙂

    Kongsi pendapat jer.

  6. dalam perniagaan kecil ataupun besar semangat itu mesti ada. untuk berjaya harus menempuh 99% kegagalan 1% itu kejayaan..jadilah usahawan yang berilmu jgn jadi usahawan kosong. ilmu itu wajib kita cari seumur hidup kita..sebb tanpa ilmu kita mudah tertipu…wslm

Leave a Reply to azwan Batal (Cancel)