Usahawan vs. Tanggungjawab Sosial

October 27, 2014 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan

Siapakah Usahawan?

usahawan

Kamus Dewan Edisi Keempat menterjemahkan usahawan adalah orang yang mengusahakan sesuatu perusahaan.

Hakikatnya, usahawan adalah mereka yang berkecimpung dalam bidang keusahawanan sama ada mereka menjalankan perniagaan penternakan, perlombongan, pertanian mahupun mana-mana cabang perniagaan yang lain dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan.

Apakah Tanggungjawab Usahawan?

tanggungjawab-usahawan

Antara tanggungjawab usahawan kepada masyarakat adalah menyediakan barangan yang bermutu dan tinggi kualiti sesuai dengan harga yang ditawarkan.

Selain itu, usahawan juga bertanggungjawab untuk memenuhi setiap keperluan dan perlu mempelbagaikan produk mengikut kehendak dan permintaan masyarakat.

Berkat usaha gigih yang tidak pernah jemu, tidak mustahil jika usahawan itu mendapat keuntungan yang berlipat-ganda pada setiap masa.

Namun begitu, tanggungjawab usahawan tidak hanya terhenti setakat mendapat keuntungan semata-mata. Usahawan perlu melangkah dengan lebih jauh lagi. Bukan hanya sekadar memikirkan akan untung duniawi, akan tetapi usahawan juga mesti melihat kepada untung ukhrawi juga.

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Tanggungjawab Sosial?

Tanggungjawab sosial adalah satu tanggungjawab moral yang dilakukan oleh seseorang usahawan atau mana-mana organisasi dalam membantu dalam meringankan beban bagi golongan yang kurang bernasib baik.

Oleh yang demikian tanggungjawab sosial bagi usahawan terhadap masyarakat tidak boleh dipandang enteng.

Usahawan perlulah sentiasa membantu masyarakat dan sedia berkongsi rezeki yang diperolehi dengan mereka yang kurang upaya bak kata pepatah ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

beras-faiza

Syarikat Beras Faiza adalah contoh syarikat yang sangat aktif melaksanakan tanggungjawab sosialnya terhadap golongan yang kurang berkemampuan. Syarikat ini juga turut menjalinkan hubungan kerjasama dengan Media Prima Berhad untuk melaksanakan Program Bersamamu yang kini bersiaran setiap minggu di saluran TV3.

Kenapa Usahawan Perlu Ada Tanggungjawab Sosial?

Tanggungjawab sosial ini sangat perlu untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan. Namun begitu, melaksanakan tanggungjawab sosial ini memerlukan keikhlasan yang tinggi. Tabiat menunjuk-nunjuk dan membangga diri dengan kejayaan yang diperolehi perlu dijauhi oleh semua usahawan.

Tidak dinafikan, bukan mudah bagi usahawan untuk menjalankan tanggungjawab sosial tapi tidak mustahil ianya mampu dilaksanakan dengan adanya usaha yang bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti jemu dari semua pihak yang terlibat.

Dek kerana kekangan masa dan tenaga, kebanyakan mereka tidak mampu menjalankan tanggungjawab sosial ini. Aktiviti-aktiviti sosial ini sememangnya menuntut pengorbanan masa dan tenaga yang bukan sedikit.

Mungkin ada di kalangan usahawan yang berfikir mereka hanyalah mahukan keuntungan dunia semata-mata. Perlu diingat, makin banyak anda berkongsi, makin melimpah rezeki yang bakal anda nikmati. Tiada salahnya jika anda mengagihkan sebahagian dari rezeki yang diperoleh kepada mereka yang amat memerlukan.

Faedah Pelaksanaan

Terdapat pelbagai faedah bagi mereka yang aktif menjalankan tanggungjawab sosial ini. Secara tidak langsung, anda turut menpromosikan secara percuma produk, jenama dan barangan yang anda usahakan.

Pada masa yang sama juga, anda telah meringankan beban masyarakat setempat terutamanya fakir miskin dengan menghulurkan bantuan sama ada dari segi barangan makanan ataupun bantuan kewangan.

Selain itu, anda juga boleh memberikan khidmat nasihat percuma dalam bidang kepakaran sebagai usaha anda untuk dekat dengan masyarakat setempat.

Untungnya juga adalah anda sudah semestinya boleh mendapatkan pelepasan cukai tahunan melalui aktiviti tanggungjawab sosial dengan menunjukkan bukti penglibatan masyarakat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dalam penyata tahunan syarikat.

Secara tersiratnya, anda pasti akan mendapat rahmat dan nikmat yang berpanjangan dari Allah Yang Maha Esa. Rahmat dan nikmat Allah ini tidak mampu dilihat dengan pancaindera.

Allah telah menjanjikan bahawa orang yang rajin bersedekah rezekinya tidak akan tersekat malah akan melimpah ruah. Sedekah juga adalah penolak bala dan penyubur pahala. Tidakkah anda mahu menanam benih kebaikan di dunia dan menuainya di akhirat sana?

Kesimpulannya, tanggungjawab sosial ini memerlukan pengorbanan yang besar. Lakukanlah tanggungjawab sosial dengan penuh rasa keikhlasan tanpa mengharapkan habuan mahupun balasan dari manusia. Akhir kalam, tepuk dada, tanyalah iman!

Kredit foto: Muslim Volunteer Malaysia, Usahawan, Usahawan Berjaya, Beras Faiza 

Facebook Comments

Komen (1)

Pendapat anda?