Video Blogging – Fenomena atau Ikut-ikutan?

November 17, 2011 — Penulis:

Kategori: Online

Dunia blogging bermula daripada penulisan. Menulis untuk mengekspresikan dan menyampaikan sesuatu maklumat kepada pengguna Internet di seluruh dunia.

video blogging malaysia

Semakin hari, semakin banyak kita diperkenalkan dengan elemen-elemen baru seperti imej, infografik dan sebagainya. Malah kita tidak terlepas dengan satu lagi elemen yang kian popular dalam arena blogging tanah air iaitu video.

Vlogging, Vidding dan Vidblogging

Video blogging, atau nama singkatannya vlogging, vidding dan vidblogging adalah pembentukan elemen baru untuk menyampaikan maklumat menerusi blog, dengan menggunakan video.

Di Amerika Syarikat, video blogging sudah diibaratkan seperti televisyen. Ia juga menjadi bahan hiburan pilihan rakyat negara itu kerana penghasilan video blogging:

  • Bersifat peribadi.
  • Asli.
  • Maklumat yang telus.
  • Interaktif.
  • Rancangan yang singkat (sekitar 1 minit hingga 3 minit).

Dalam masa sama, kewujudan video blogging ini mencantikkan lagi dunia blog. Di mana blogging tidak lagi tertakluk kepada mereka yang suka menulis. Sekarang siapa yang suka menghasilkan video juga boleh dianggap sebagai blogger.

Bagaimana pula dari aspek perniagaan? Adakah penggunaan video blogging ini mampu meningkatkan jualan bisnes menerusi blog?

Kesan 3K – Kredibiliti, Kepercayaan, Komunikasi

Berdasarkan pemerhatian dan kajian yang dibuat, apabila pemilik bisnes menggunakan elemen video dalam blog mereka, kelebihan yang akan diperoleh adalah seperti berikut:

  • Kredibiliti meningkat drastik.
  • Meningkatkan kepercayaan prospek.
  • Merapatkan jurang komunikasi.

#1 – Kredibiliti Meningkat Drastik

Tanpa kredibiliti, bisnes tidak akan bertahan lama kerana pelanggan mereka akan datang dan pergi. Menerusi video blogging, perniagaan-perniagaan kecil, sederhana atau besar mempunyai pilihan untuk meningkatkan kredibiliti mereka tanpa mengeluarkan modal yang besar.

Keperluannya untuk menghasilkan video adalah seperti berikut:

  • Individu yang akan berada dalam video.
  • Perakam video.
  • Skrip.
  • Tempat untuk melakukan rakaman.

Skrip yang dapat meningkatkan kredibiliti kita secara drastik adalah penyampaian maklumat yang berdasarkan fakta dan angka. Durasi video juga memainkan peranan penting bagi mengelakkan penonton bosan.

Jarak masa yang dicadangkan adalah sekitar 1 hingga 3 minit. Gunakan kreativiti kita untuk mengedit video agar ia dapat menarik perhatian penonton sepanjang video itu dimainkan.

#2 – Meningkatkan Kepercayaan Prospek

Kredibiliti dan kepercayaan bergerak seiring. Perbezaan ketara di antara menggunakan teks dan video untuk mempromosikan perniagaan kita adalah tempoh kepercayaan dalam diri prospek.

Menerusi teks, masa yang diambil untuk pembaca mempercayai kata-kata kita adalah lebih lama berbanding video. Ini kerana video memaparkan imej kita secara keseluruhan. Selain itu, penonton juga dapat melihat personaliti kita apabila menyampaikan maklumat menerusi video blogging.

Keadaan ini yang akan meningkatkan kepercayaan dalam diri prospek untuk mempercayai bisnes kita dalam masa yang singkat.

#3 – Merapatkan Jurang Komunikasi

Tidak ada perkara yang lebih hebat menggunakan video blogging melainkan merapatkan jurang komunikasi di antara pelanggan. Dalam satu kajian, didapati perniagaan-perniagaan kecil yang menghasilkan nilai jualan kasar sebanyak 6 angka setahun mengamalkan konsep komunikasi efektif antara pelanggan.

gideon shalwick - video blogger terkenal

Salah satu daripadanya adalah mewujudkan lebih banyak medium, untuk berinteraksi dengan pelanggan seperti blog, Facebook, e-mel dan sebagainya.

Dengan vidblogging, ia menambahkan lagi perisa untuk kita membina hubungan yang rapat dengan pelanggan. Sekaligus mencipta lebih banyak pelanggan setia dalam perniagaan kita.

Sudah Bersedia Menggunakan Vblog?

Adakah kita sebagai pemilik perniagaan mengambil serius tentang kemajuan media dan arena blogging hari ini? Video blogging bukan sahaja satu peluang yang dapat menghapuskan kos-kos besar untuk melakukan promosi perniagaan.

Malah ia juga dapat memberikan jaminan untuk mendapatkan pelanggan berkali-kali. Kerana pelanggan kini juga sudah didedahkan dalam bidang teknologi maklumat. Persoalannya, bilakah masanya untuk kita memulakan video blogging ini?

Penyertaan Seminar Blogging pada Sabtu ini sudah ditutup dan kami membuka semula peluang penyertaan Seminar Blogging untuk tarikh 24 Disember 2011 pula. Kami akan menutup penyertaannya selepas kuota mencecah 20 orang. Sertainya sekarang dengan melawati laman web Seminar Blogging hari ini.

Kredit gambar yang diambil dari Flickr (john chow dot commicumicdarkfiregt)


Tags: , , , , , , , ,

Komen (5)

  1. Video kesannya lebih ‘WOW’. Lama sudah memikirkan formula ini. Telah diguna pakai oleh ramai orang di peringkat global. Impaknya cukup mengujakan jika kena pada kaedahnya. Kepakaran dan kebijaksanaan boleh mengatasi kos yang tinggi. Caranya ada.

Pendapat anda?