Mana Satu Pelaburan Rumah Idaman Hati

July 24, 2012 — Penulis:

Kategori: Hartanah

Wohooo

Setelah lama Yazid membaca cerita-cerita kejayaan pelabur hartanah lain, Yazid kini bersemangat memulakan gear pelaburannya sendiri.

“Aku mesti beli hartanah dengan segera. Mesti!”

Tetapi, hartanah bagaimana yang harus dibeli?

Yazid termenung.

”Ya, hartanah bagaimana?”

Secara keseluruhannya hartanah boleh dikategorikan kepada 2 jenis kategori utama.

Hartanah Bertanah vs Hartanah Bertingkat

Hartanah bertanah adalah unit hartanah yang dibina betul-betul di atas sekeping lot tanah dan ia dijual dan didaftarkan sekali. Sebagai contoh:

  1. Rumah teres,
  2. Rumah semi-D,
  3. Banglo atau,
  4. Bangunan kedai-pejabat berteres.

Hartanah bertingkat pula adalah unit hartanah yang bertingkat-tingkat dan dijual secara
berasingan.

Sebagai contoh:

  1. Apartment,
  2. Kondominium,
  3. Unit pejabat di dalam bangunan pejabat dan,
  4. Unit runcit di dalam kompleks membeli belah.

Selain itu hartanah boleh dikategorikan kepada hartanah kediaman atau hartanah komersial.

Hartanah Kediaman vs Hartanah Komersial

Hartanah kediaman adalah hartanah yang dibina untuk tujuan kediaman sahaja. Biasanya ia dibina di atas lot tanah jenis kediaman seperti rumah teres, banglo, apartment atau kondominium.

Namun ada juga hartanah kediaman dibina di atas lot tanah komersial iaitu apartment berservis (serviced apartment).

Manakala hartanah komersial adalah hartanah yang dibina untuk tujuan komersial dan perniagaan sahaja. Ia dibangunkan di atas lot tanah komersial.

Menara pejabat, kompleks membeli belah, bangunan kedai-pejabat, Small Office Home Office (SOHO), Small Office Flexible Office (SOFO) adalah antara hartanah komersial di pasaran.

Jadi, hartanah mana yang patut dibeli?

Jenis Hartanah Jemput Duit Ke Akaun

Untuk menjawab persoalan ini, pelabur perlu memahami apakah pendapatan yang boleh diperoleh dari sesebuah hartanah. Pendapatan itu terbahagi kepada dua.

#1 – Pendapatan Dari Sewaan Tanah

Pendapatan ini menyumbang kepada aliran tunai kepada pelabur, biasanya dikira secara bulanan. Ia juga merupakan pendapatan tambahan kepada pemiliknya.

#2 – Pendapatan Dari Keuntungan Modal

Pendapatan ini diperoleh daripada kenaikan nilai hartanah.

Hartanah yang dibeli dengan harga RM100,000 pada tahun 2009 memberi keuntungan modal kasar sebanyak RM50,000 kepada pemiliknya apabila nilai pasarannya meningkat ke RM150,000 pada tahun 2012.

Berdasarkan kombinasi kriteria serta pendapatan dari hartanah ini, Dr Peter Yee telah memperkenalkan rajah Pendapatan Sewa vs Keuntungan Modal.

Pendapatan Sewa vs Keuntungan Modal

Paksi x merupakan potensi keuntungan modal. Semakin ia bergerak ke kanan, semakin besar nilainya.

Manakala paksi y pula merupakan potensi pendapatan sewa. Semakin tinggi ia bergerak ke atas, semakin tinggi potensi keuntungan sewanya.

Dari rajah di atas ini, jelas menunjukkan bahawa hartanah komersial bertingkat dan hartanah kediaman bertingkat mempunyai potensi keuntungan modal yang rendah.

Namun potensi pendapatan sewanya tinggi.

Pilih Berdasarkan Objektif Sendiri

Sebagai contoh, sebuah apartment yang dibeli dengan harga RM110,000 di lokasi yang bagus boleh disewa dengan harga RM750.00 dan menikmati rental yield sehingga melebihi 8%.

Namun harga pasarannya hanya meningkat ke RM130,000 selepas 3 tahun kemudian, iaitu sebanyak 6% setahun sahaja.

Sebaliknya, hartanah kediaman bertanah mempunyai potensi keuntungan modal yang sangat tinggi namun keuntungan sewanya rendah.

Sebagai contoh sebuah rumah teres dijual pada harga RM250,000 boleh meningkat nilai
pasarannya ke RM350,000 dalam masa 3 tahun, iaitu kenaikan sebanyak 13% setahun.

Namun kadar sewanya hanya lebih kurang RM1,200 iaitu rental yield sebanyak 5.76% sahaja dari harga asal.

Hartanah komersial bertanah merupakan hartanah yang mempunyai kedua-dua potensi, iaitu pendapatan sewa yang tinggi dan potensi keuntungan modal yang juga tinggi.

Selepas melihat rajah di atas, hartanah mana yang lebih sesuai dengan anda dan boleh memenuhi objektif pelaburan anda?

Kredit: Film, Business Finance Specialist, Learning Spy.


Pendapat anda?