11 Aktiviti Untuk Buat Anda Gembira Dan Teruja Pada Setiap Hari

January 16, 2015 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Motivasi / Pembangunan Diri

Bagaimana dengan hari-hari anda di tahun 2015 ini? Sama, lebih mengujakan atau lebih merudum? Artikel ini berkongsi 11 aktiviti yang anda boleh lakukan untuk membuat anda teruja dan gembira pada tiap hari.

1. Senyum

Selepas bangun tidur, baca doa selepas bangun tidur atau ucapkan,

“Terima kasih Allah kerana bangunkan saya lagi pada hari ini.”

Pergi ke cermin, berikan senyuman paling lebar selama 7 saat dan rasakan perasaannya.

senyum

Gembira atau lebih mengujakan?

2. Sedekah RM1 melalui SMS

Ambil telefon bimbit anda, buka mesej dan taipkan ‘PALESTIN 1/3/5/10’ dan hantar ke 39111.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidaklah hamba-hamba Allah bangun di pagi hari, kecuali disertai dengan turunnya dua malaikat. Salah satu dari keduanya lalu berkata: ‘Ya Allah berilah orang yang berinfaq ganti (dari barang yang diinfaqkan)’. Dan salah satu lagi berkata ; ‘Ya Allah berilah orang yang menahan (bakhil) akan kerugian.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 3. Berdoa dibimbing Allah

Jadikan diri mukmin yang produktif pada setiap hari, dengan mulakan rutin harian dengan doa seperti ini,

“Ya Haiyyu, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata.” (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani)

Insya-Allah kita akan sentiasa dibimbing Allah. Memanfaatkan masa yang ada sebaiknya.

4. Tunaikan solat Dhuha

Ambil masa 2 – 7 minit untuk menunaikan solat Dhuha. Sebaiknya tunaikan 4 rakaat, seperti saranan dalam petikan hadis ini,

Daripada Nu’aim bin Hammar, dia berkata: Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda Allah Azza Wa Jalla berfirman,

“Wahai anak Adam, janganlah engkau sampai tertinggal untuk mengerjakan solat empat rakaat pada permulaan siang (waktu Dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu sampai akhir siang.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no. 1097)

Setelah selesai, banyakkan zikir ‘ya Razzaq’ sebagai booster menjemput rezeki pada setiap hari. Boleh buat di luar waktu solat.

5. Lazimi ucapkan Terima Kasih kepada setiap orang yang membantu

Andai kita seorang pemilik bisnes yang mempunyai pekerja, berikan sticker note yang mempunyai ucapan ‘Terima Kasih’, atau tiap kali mereka selesai kerja yang kita berikan, ucapkan Terima kasih dengan senyuman.

Thank you sticker note

Hatta kepada makcik tukang bersihkan pejabat kita.

6. Lazimi memuji pekerja yang menyiapkan tugasan

Berikan hadiah berbentuk pujian santai kepada pekerja atau individu yang membantu kita.

“Terima kasih. Saya suka cara awak siapkan laporan ini. Kemas.”

“Terima kasih. Saya suka cara awak balas pertanyaan pelanggan. Cepat dan sopan.”

Antara saranan dalam Teknik Nabi Muhammad SAW untuk memuji adalah kita memuji usaha, atau cara kerja. Itu akan memotivasikannya untuk melakukan dengan lebih baik pada masa akan datang.

7. Tulis kejayaan pada tiap hari

Beli satu buku nota. Pada tiap hari, tuliskan kejayaan kita pada hari itu. Ini bertujuan untuk membuat kita tersenyum, dan membandingkan diri kita yang lalu dengan hari ini.

Oleh sebab, ada orang lebih suka bandingkan dirinya yang baru bab 1 dengan orang lain yang sudah bab 20. Seksa jiwa dan raga. Yang lebih baik adalah kita fokus membaiki diri hari ini daripada semalam.

Jack canfield - record success

Tidak perlu kejayaan yang besar. Memadai seperti saya solat awal waktu pukul 1.45 petang pada hari ini, saya siapkan tugasan 3 hari lebih awal daripada tarikh yang dimahukan, saya selesai membalas 33 mesej daripada pelanggan.

8. Puji diri sendiri

Tiap kali satu kerja selesai, tepuk bahu sendiri dan katakan pada diri,

“Tahniah, Mikail! Kau berjaya selesaikan satu tugasan. Ayuh kita selesaikan lagi satu! Semangat!”

Ubah nama ‘Mikail’ kepada nama anda. Disarankan buat di tempat yang kurang orang. Khuatir dikatakan gila. Haha. Rehat sebentar tiap kali selesai satu tugasan. Selepas itu baru teruskan tugasan yang lain. Ia bertujuan untuk kita dapat recaj tahap fokus kita.

9. Hadiahkan energi paling baik kepada Allah

Ketika masuk waktu, adakalanya kita masih leka dengan kerja kita. Sehingga adakalanya rasa lenguh-lenguh, baru pergi tunaikan solat.

Apa kata saat energi paling baik (awal waktu) itu, kita hadiahkan kepada Allah. Supaya menjadi booster menambah energi pada hari itu. Selesai solat, sambung kerja semula. Di samping kita tidak perlu tergesa-gesa menunaikan solat kerana solat lewat waktu.

10. Reward diri

Berikan ganjaran kepada diri setelah berpenat lelah menyiapkan urusan perniagaan atau kerja pada hari itu. Tidak perlu hadiah mahal. Memadai seperti beli setin minuman yang disukai, atau makanan yang disukai. Dan nikmati ganjaran itu dari hati yang terdalam, seolah-olah rasa sangat lega menamatkan kerja pada hari itu.

Boleh juga memberi ganjaran berbentuk pergi masjid yang kita suka pergi (andai dekat). Contoh kerja atau berniaga di Putrajaya, selesai urusan pada hari itu, luangkan masa di Masjid Putra.

11. Tulis tugasan yang perlu dilakukan

Sebaiknya buat sebelum tidur, supaya minda jelas mahu buat apa pada keesokan hari. Ia seolah-olah doa secara tidak langsung untuk memohon kepada Allah, senarai tugasan yang kita perlu selesaikan esok.

To Do List

Senaraikan dan tandakan yang mana perlu siapkan dahulu. Siapkan secara berperingkat. Ambil masa minima 15 minit untuk buat kemudian rehat 5 minit. Ini adalah bertujuan untuk melatih fokus.

Kami mendoakan 11 aktiviti ini membantu anda menjadi usahawan yang mempunyai kehidupan, atau harian yang menggembirakan pada setiap hari. Salam sukses!

Kredit foto: Hey Love Designs


Tags: , ,

Komen (3)

Leave a Reply to ahmadyani Batal (Cancel)