3 Kebaikan ‘Membawa’ Tuhan dalam Perniagaan

November 06, 2012 — Penulis:

Kategori: Motivasi / Pembangunan Diri

Ketika menjalankan perniagaan, seorang usahawan akan melalui zaman yang boleh disebut sebagai ‘zaman gelap’.

Zaman gelap merupakan fasa yang mencabar setiap aspek pada diri seorang usahawan.

Zaman gelap biasa berlaku di peringkat awal perniagaan, iaitu ketika sebuah entiti perniagaan masih mencari rentak dan belum stabil.

Death Valley (Lembah Kematian)

Seorang tokoh pembangunan usahawan dari Entrepreneur Training Center, Indonesia iaitu Bapak Farizal Marzuki menggelar zon gelap atau fasa mencabar itu sebagai ‘Death Valley’ (Lembah Kematian).

Pada fasa itu, banyak ujian bakal dihadapi seperti pengorbanan dari sudut komitmen masa, tenaga, wang dan sebagainya.

Analogi mudah seperti benih yang baru disemai yang perlu penjagaan rapi sementara menanti ia tumbuh besar.

Cara Keluar dari Lembah Kematian

Pelbagai cara akan dilakukan supaya dapat keluar dari Lembah Kematian. Contoh dari aspek:

  • Fizikal – Bantuan kewangan dan tenaga kerja.
  • Intelektual – Menambah ilmu berkaitan.
  • Emosional – Mengekalkan semangat juang.
  • Spiritual – Doa.

Keempat-empat aspek di atas penting. Namun fokus artikel ini hanya pada aspek spiritual sahaja iaitu 3 kebaikan membawa Tuhan dalam perniagaan yang akan dikongsikan pada sub tajuk terakhir.

Keluar Dari Lembah Kematian Dengan Spiritual

Dari sudut spiritual, antara cara untuk berjaya melalui Lembah Kematian adalah berpegang teguh kepada Tuhan.

Cara ini diekstrak daripada ayat pertama dan surah pertama mengikut susunan dalam al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani”.

Ayat di atas merujuk kepada membaca bismillah.

Membaca bismillah mengajar tentang kepentingan berpegang teguh dan bergantung harap kepada Allah. Dengan kata lain, ia bermaksud membawa Tuhan dalam kehidupan dan setiap gerak kerja yang menuju ke arah kebaikan.

Selain daripada ibadah dan perkahwinan, urusan perniagaan juga merupakan sebahagian daripada tuntutan kehidupan.

Soalan cepu cemas:

Apakah kebaikan membawa Tuhan dalam kehidupan?

3-kebaikan-tuhan-perniagaan-1

3 Kebaikan Membawa Tuhan dalam Kehidupan

Membawa Tuhan dalam kehidupan dapat membina:

  1. Keyakinan
  2. Harapan
  3. Kekuatan

Dalam ungkapan yang mudah, ia dapat dijelaskan seperti berikut:

“Untuk ada kekuatan, perlu ada harapan. Untuk ada harapan, perlu ada keyakinan”. – Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Bengkel Ibrah Surah al-Fatihah.

Contoh yang diberikan beliau adalah:

Ahmad (bukan nama sebenar) terperangkap dalam kawasan banjir. Dia menelefon pasukan keselamatan (PK) meminta bantuan. Berikut dialognya:

“Ahmad: Tuan, mohon bantuan. Saya terperangkap dalam kawasan banjir.

PK: Encik berada di mana?

Ahmad: Saya berada di Jalan A, Kampung B, berdekatan dengan pejabat C.

PK: Baik. 2 JAM LAGI kami sampai”.

Walaupun terpaksa menunggu 2 jam, Ahmad sanggup menunggu kerana dia yakin. Dengan keyakinan, dia menaruh harapan. Dengan harapan, dia mempunyai kekuatan.

Dalam situasi di atas, Ahmad mempunyai sesuatu untuk dipegang  iaitu kata-kata janji daripada pasukan keselamatan.

3 Kebaikan Membawa Tuhan dalam Perniagaan

Merujuk kepada dunia perniagaan pula, ketika seorang usahawan berhadapan dengan zaman gelap, dia mengadu (berdoa) kepada Tuhannya. Hasilnya dia:

#1 – Dapat Membina keyakinan

Apabila mengadu, dia mempunyai keyakinan bahawa janji Tuhan adalah benar. Pada peringkat ini, keyakinan telah dibina.

#2 – Dapat Membina Harapan

Dengan keyakinan, dia menaruh harapan bantuan daripada Tuhan pasti tiba. Pada peringkat ini, harapan telah diletak.

#3 – Dapat Membina Kekuatan

Dengan harapan, dia mempunyai kekuatan untuk terus berjuang menjalankan perniagaannya. Pada peringkat ini, motivasi dirinya kembali meningkat.

Dalam situasi di atas, usahawan tersebut mempunyai sesuatu untuk dipegang iaitu doa yang telah dipanjatkan kepada Tuhan. Dia berjaya melalui Lembah Kematian. Dia mendapat 3 kebaikan membawa Tuhan dalam perniagaan.

Asasnya adalah bismillah.

Akhir sekali, ucapan selamat berjuang kepada para usahawan. Didoakan semoga menjadi usahawan yang kaya dan berjaya.

Kredit: DVIDSHUB,Ivan Mlinaric.


Tags: , , ,

Komen (11)

  1. Sebaik2nay adalah redha. Bila redha, kita boleh menerima initial adalah dari Nya. Bilateral redha, hati akan lebih tenang, bila hati dah tenang, baru nampak jalan keluar. Selalunya, fasa gelap ini adalah fasa menyediakan usahawan utk menjadi lebih kuat , bila fasa gelap ini berlalu, maka ganjaran yg menanti selalunya amat besar.

Pendapat anda?