4 Sifat Wajib Untuk Selamat Dan Berkat Dalam Bisnes

November 14, 2014 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Perniagaan

Akhir zaman ini, kita hidup dengan dunia yang penuh dengan fitnah. Banyak perkara penting untuk difikirkan dan diteliti sebelum membuat sesuatu perkara. Supaya sebagai umat Islam, kita tidak memisahkan agama dalam bisnes.

Agama itu adalah asas dan tunjang untuk membuatkan perniagaan kita disenangi manusia dan diredhai Allah. Dalam bisnes, penting bagi kita untuk sentiasa tenang dalam menguruskannya.

Tenang

Andai kita membangunkan ia secara tergesa-gesa dengan mahu mengembangkannya tanpa melihat status kewangan syarikat, kita bakal meruntuhkan ia dengan cepat. Dalam bisnes pun, ada tukmaninahnya (berhenti sekejap).

Kata Abang Abu,

“Bina kekayaan, bukan kejar kekayaan.”

Dan pembinaan memerlukan masa yang lama untuk membuatkan ia kukuh. Justeru, penting untuk sentiasa dalam keadaan tenang. Kerana ketenangan itu adalah antara perkara utama supaya kita membinanya secara berperingkat, berterusan walau mungkin perlahan.

4 Sifat di bawah adalah antara latihan praktikal supaya kita sentiasa mengamalkan tertib dalam perniagaan dengan cara yang selamat dan berkat untuk dunia akhirat. Biar perlahan tetapi berperingkat yang berterusan.

1. Siddiq (Benar)

Bahasa lain yang sinonim dengan yang benar adalah jujur. Sebagai usahawan, penting untuk mempunyai sifat jujur. Contoh, jujur dalam timbangan, jujur dalam menyatakan status penghantaran barang dan mungkin jujur dalam menyatakan sebarang masalah kepada pelanggan seandainya ia berlaku kepada barang pelanggan tersebut.

Kita boleh menipu pelanggan atau manusia. Tetapi tidak menipu Allah. Hatta perkara sekecil zarah, Allah boleh tahu apatah lagi perkara yang besar. Firman Allah,

“Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ghaib di langit dan di bumi. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al Hujuraat: 18)

Andai kita berlandaskan Allah dalam sebarang urus niaga, insya-Allah kita tidak berani untuk menipu. Kerana kita tahu, siapa yang dapat melihat perbuatan kita, walau kita menyembunyikannya daripada manusia.

2. Amanah (Boleh dipercayai)

Antara [engertian lain bagi amanah adalah menyembunyikan rahsia, ikhlas dalam memberi nasihat dan benar-benar menyampaikan sesuatu apabila ditugaskan untuk menyampaikannya.

Bagi pekerja, ada yang bekerja sehingga 8 jam. Namun, hakikatnya mereka tidak menggunakan 8 jam itu sepenuhnya untuk urusan pekerjaan. Adapun daripada mereka yang memendekkan masa itu dengan urusan, selain daripada yang sepatutnya dalam bidang kerja mereka.

Amanah - bertanggungjawab

Bagi pemilik bisnes, dalam hal kewangan, ada antara mereka yang tidak merekod urusan kewangan. Walau ia nampak remeh, ia adalah refleksi mereka tidak displin dan amanah dengan kerja mereka.

Walaupun mereka pemilik bisnes tunggal untuk bisnes tersebut, mereka tidak boleh merompak duit bisnes sendiri. Oleh sebab itu penting merekod segala urusan kewangan untuk rujukan pada masa akan datang.

3. Tabligh (Menyampaikan)

Sifat ini boleh disinergikan dengan sifat siddiq. Yakni, kita menyampaikan sesuatu yang benar kepada orang-orang yang terlibat dalam perniagaan kita. Andai ia salah, katakan salah. Andai ia benar, katakan benar.

Walaupun ia salah dan menguntungkan, namun penting bagi kita sebagai pemilik bisnes untuk pertimbangkan daripada segi akhirat. Ada pepatah,

“Berkatalah benar walaupun pahit.”

Dalam hal ini, sifat seterusnya penting dipraktikkan. Iaitu bijaksana. Menggunakan teknik komunikasi yang berkesan dan berpengaruh, tujuan menyampaikan akan menjadi lebih mudah dengan ilmu komunikasi yang baik.

4. Fatonah (Bijaksana)

Dengan kebijaksanaan, yang merefleksi ilmu, pemilik bisnes akan dapat melakukan banyak perkara. Dan apabila disinergi dengan sifat lain, ia akan menjadi lebih berpengaruh dan berkesan.

Contoh, dengan mempunyai pengucapan awam yang berpengaruh, pemilik bisnes dapat menyampaikan (tabligh) perkongsian tentang produk mereka kepada pelanggan dengan baik.

Kebijaksanaan

Hasilnya mereka faham dan sedar tentang faedah produk itu. Apabila fatonah disinergi dengan siddiq pula, teguran itu akan jadi sesuatu yang mudah diterima oleh yang kita tegur. Maka dengan itu, tidaklah beliau berasa rendah diri malah menerima teguran tersebut dengan hati yang terbuka.

Pada masa kini, adapun individu yang bijak, namun mereka mengasingkan siddiq, amanah dan tabligh. Adapun individu yang ada sifat siddiq, amanah dan tabligh, namun oleh sebab mereka tidak fatonah membuatkan mereka mudah ditipu.

Maka penting bagi tiap pemilik bisnes untuk mempunyai dan mensinergikan 4 sifat ini, supaya perniagaan mereka selamat, dan berkat untuk dunia dan akhirat.

Kredit foto: Sbox, Rick Nunn, Gia Fil So, Terracraft


Tags: , ,

Pendapat anda?