5 Kelebihan Bersangka Baik Sebelum Menjual

March 05, 2013 — Penulis:

Kategori: Komunikasi / Pemasaran

Sabda Rasulullah SAW bermaksud

“Jauhilah kamu dari prasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu adalah sebohong-bohong rekaan rasa hati (berita hati).” (Hadis disepakati oleh Al-Bukhari-Muslim)

Begitulah antara saranan Rasulullah SAW mengenai kepentingan berbaik sangka sesama manusia serta menjauhi sama sekali sikap berburuk sangka kerana kelak nanti ia akan memakan diri sendiri. Pelbagai hikmah yang dapat kita pelajari jika kita sentiasa berbaik sangka.

perspeksi

Sikap berbaik sangka ini juga penting ketika kita melakukan jualan. Janganlah sesekali anda berniat serta mempunyai prasangka yang tidak baik terhadap prospek ataupun para pelanggan anda tidak kira dalam apa juga situasi sekalipun. Kita tidak mempunyai kuasa untuk menghakimi orang lain.

Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Ke-4 (Terbitan Dewan Bahasa & Pustaka),

Perkataan “sangka” membawa maksud:

  • pendapat yang hanya di agak-agak sahaja, dugaan, kira-kira, menaruh syak, berasa sangsi, ragu-ragu, waswas dan menganggap seperti.

Jadi, perkataan “sangka” adalah merupakan pendapat yang berdasarkan kepada agakkan, keraguan, kesangsian, anggapan, kewaswasan, kiraan, syak dan dugaan (maksudnya bukan ujian tetapi menduga atau meneka dalam kesamaran).

Terlalu banyak keburukannya apabila kita sentiasa bersangka buruk seolah-olah kita mengetahui segalanya berkenaan dengan orang lain, sedangkan ia cumalah sekadar sangkaan buruk anda semata-mata. Jika pada mula lagi kita sudah bersangka buruk, bagaimanakah kita hendak menjual sesuatu kepada orang lain?

Penyelesaiannya ialah kita perlu mengubah sikap mudah berprasangka buruk terhadap orang lain sebelum ia menjadi buruk!

positif

5 Kelebihan Berbaik Sangka & Berfikiran Positif!

Berbaik sangka terhadap orang lain merupakan suatu yang mulia dan bakal menarik lebih ramai prospek serta rezeki ke dalam kehidupan anda. Antara kelebihan berbaik sangka adalah seperti berikut:

1. Jiwa Akan Menjadi Tenang & Sentiasa Memikirkan Perkara Yang Positif!

Tidak kiralah suratan ataupun kebetulan, jika kita secara tidak sengaja bertemu dengan orang yang pernah menyakiti kita dari segi fizikal ataupun mental, kita akan menjadi tenang apabila berhadapan dengan mereka.

Jika kita sentiasa bersangka baik, perasaan kita akan menjadi sentiasa tenang dan dipenuhi dengan senyuman walaupun kita berhadapan dengan orang-orang yang pernah memberikan pengalaman buruk kepada hidup kita.

2. Menjauhi Daripada Racun Perosak Jiwa Yang Negatif!

Racun perosak jiwa ini amatlah berbahaya kepada semua manusia kerana ia boleh meracuni dan membunuh sifat-sifat positif yang tertanam dalam hidup kita sejak azali lagi. Racun ini menyebabkan manusia semakin mementingkan diri.

Setelah racun ini memasuki jiwa manusia, kita akan sering berfikiran negatif dan sering berburuk sangka serta menyalahkan orang lain dalam apa jua keadaan sekalipun. Ia bakal menimbulkan perselisihan, perpecahan serta perperangan!

3. Sentiasa Memulakan Andaian yang Baik-Baik Sahaja!

Sudah menjadi kebiasaan naluri manusia akan mula memikirkan perkara-perkara yang tidak baik dahulu berbanding perkara-perkara yang baik. Jadi jika kita asyik memikirkan andaian yang buruk, kita akan diselubungi ketakutan serta kegelapan sehingga menjejaskan jualan produk.

Jika kita sentiasa mengamalkan sentiasa berprasangka baik serta berfikiran positif dalam apa juga situasi, secara tidak langsungnya kita akan membentuk satu tabiat dalam diri kita untuk berfikir mengenai perkara yang positif sahaja. Ini mampu membantu anda menjual produk dengan lebih baik.

4. Anda Akan Sentiasa Berasa Bertuah Dan Bersyukur!

Jika jiwa kita tenang, pasti apa yang kita lakukan akan dirasakan begitu seronok dan terhibur. Bersangka baiklah kepada sesiapa juga prospek/pelanggan yang kita temui, sudah pasti ia akan memberikan impak yang baik juga bukan setakat diri kita sahaja malah kepada prospek/pelanggan yang kita temui sekali.

Apabila kemesraan dapat di wujudkan, komunikasi akan berjalan lancar dan keghairahan kita melakukan jualan akan lebih terserlah lagi. Pasti tuah yang kita harapkan akan menjelma sekali bersama dengan usaha yang telah kita lakukan secara bersungguh-sungguh. Kita juga akan menjadi lebih bersyukur.

5. Segala Urusan Anda Dipermudahkan!

Jiwa yang tenang serta hati yang bersih pasti dapat memberikan semangat untuk bertemu prospek/pelanggan dengan cara tugasan yang cukup disenangi kepada sesiapapun yang kita temui. Berbaik sangka dengan permulaan salam dan senyuman yang manis pasti memikat sesiapapun juga yang kita hampiri.

Bila hati dan jiwa kita semakin tenang serta ceria, pasti jualan yang kita bakal lakukan ini boleh dikendalikan, kemudikan dengan baik dan menjadi sesempurna yang termampu untuk memikat hati dan perasaan prospek/pelanggan menerima tawaran yang ditawarkan.

Firman Allah S.W.T. bermaksud

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhi kebanyakan prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain. Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Apakah salah seorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Tentu kamu tidak menyukainya. Dan bertakwalah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani” (Surah Al-Hujurat ayat 12).

Pasti ada hikmahnya jika dalam ayat Al-Quran turut menyeru kita supaya tidak mudah berprasangka buruk, menghakimi orang lain serta membuat andaian yang bukan-bukan ataupun mengarut sebelum mengetahui perkara tersebut dengan lebih mendalam.

Kita yang ingin melakukan jualan amatlah memerlukan sikap yang positif serta berprasangka baik terhadap orang lain yang kita temui. Sikap tenang dan sabar sentiasa akan membawa kepada kunci sebuah kejayaan yang gemilang dalam apa jua yang anda usahakan.

Berbaik sangkalah sesama manusia yang lain, nescaya hidup anda akan menjadi lebih tenang, lebih ceria, lebih bahagia serta dimurahkan rezeki disamping segala urusan anda akan sentiasa dipermudahkan.

 

(Kredit gambar: Supremacii &map)


Tags: , ,

Komen (1)

Pendapat anda?