5 Tip Buat Peserta ‘Wow’ – Seminar Pemasaran Online

July 17, 2012 — Penulis:

Kategori: Komunikasi

Pada hari Sabtu (14 Julai 2012), tim Majalah Niaga yang terdiri daripada Tuan Hasbul Ariff, Aqif Azizan dan Hasbul ‘Aqill telah menganjurkan Seminar Pemasaran Online.

Seminar Pemasaran Online - Majalah Niaga

Dalam seminar ini, para peserta ditunjukkan dengan teknik-teknik pemasaran online yang terbukti dapat membantu mereka meningkatkan keuntungan menerusi Internet.

Sepanjang 8 jam mengendalikan seminar ini, pihak kami mendapati beberapa perkara penting yang dapat dikongsikan mengenai tip-tip mengendalikan seminar yang efektif.

Di kesempatan ini juga, tim Majalah Niaga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua peserta yang telah hadir ke majlis ilmu.

5 Tip Buat Peserta ‘Wow!’

Wow #1 – Bina Reputasi Dengan Senyuman

Praktis untuk sentiasa memberikan senyuman kepada para peserta. Buat mereka rasa seronok untuk berada di seminar selama 8 jam. Apabila para peserta selesa dengan penceramah, maka lebih mudah untuk kita mendapatkan respon daripada mereka.

Senyum

Cara mudah untuk membina senyuman sepanjang berlangsungnya seminar adalah menyebut perkataan ‘tiga’. Perkataan ini mendorong pembentukan senyuman secara automatik.

Wow #2 – Buat Mereka Bertindak

Setiap peserta yang menghadiri seminar terdiri daripada pelbagai jenis latar belakang. Cara terbaik untuk memahami mereka adalah bertanyakan soalan-soalan yang umum. Fungsi bertanya adalah untuk mendapatkan respon dan secara tidak langsung mewujudkan komunikasi dua hala.

Soalan-soalan yang boleh ditanyakan kepada para peserta adalah seperti berikut:

  • Siapa yang faham apa yang saya terangkan?
  • Berapa ramai yang mahu tahu teknik ini?
  • Siapa di sini yang mahu belajar tentang teknik ini?

Soalan-soalan umum tidak mencederakan emosi peserta. Justeru itu, gunakan cara pertanyaan ini untuk membangkitkan rasa suka peserta terhadap diri kita.

Wow #3 –  Ghaibkan Rasa Mengantuk

Dalam seminar, rasa mengantuk adalah sukar untuk dielakkan. Situasi ini terdorong daripada beberapa faktor. Antaranya adalah penceramah itu sendiri membosankan. Selain daripada itu, faktor cuaca, suhu bilik dan cara pembentangan juga memainkan peranan.

Rasa Mengantuk Dalam Seminar

Jalan penyelesaian yang mudah untuk menghaibkan rasa mengantuk terhadap para peserta adalah melakukan aktiviti. Fikirkan jenis aktiviti yang mudah dilakukan. Selain membuang rasa mengantuk, aktiviti juga dapat meningkatkan daya pemahaman para peserta tentang subjek yang dibentangkan.

Wow #4 – Bangkitkan Klimaks

Klimaks bermaksud membangkitkan perasaan teruja dalam diri peserta. Cara ini boleh dilakukan menerusi pertanyaan soalan-soalan yang membuatkan mereka ingin tahu. Sebagai contoh:

  • Mahukah tuan dan cikpuan, jika saya tunjukkan teknik untuk buat duit dari Facebook dalam masa kurang 24 jam?
  • Mahukan tuan dan cikpuan sekiranya saya berikan 3 poin kritikal supaya pembaca terpikat sebaik sahaja membaca ulasan produk kalian?

Wow #5 – Hargai Peserta

Pamerkan penghargaan kita terhadap para peserta sebelum mengakhiri sesi pembentangan. Dialog yang boleh digunakan adalah seperti berikut:

“Terima kasih tuan puan kerana sudi meluangkan masa bersama saya untuk mendapatkan ilmu pemasaran online. Semoga Allah mengurniakan kemudahan kepada kalian untuk bertindak sebaik sahaja mempelajari ilmu ini.”

Ucapan seperti di atas menunjukkan bahawa kita menghargai usaha para peserta yang sanggup melaburkan masa untuk mendapatkan ilmu daripada penceramah, sepanjang berlangsungnya seminar.

Anda Ada Pengalaman? Kongsikan

5 tip yang dikongsikan ini adalah pengalaman cetek yang dialami oleh penulis sebagai penceramah untuk Seminar Pemasaran Online anjuran Majalah Niaga. Bagi tuan dan cikpuan yang sudah mempunyai pengalaman lebih daripada 5 tahun, kongsikan tip-tip kalian dalam ruangan komen di bawah.

Setiap satu tip yang kalian kongsikan akan dihimpun dalam tip pengucapan awam di Majalah Niaga.

Kredit: Prince Uphoria, My Cat I Shot,


Tags: , ,

Komen (3)

  1. abangensem
    July 17, 2012

    Tips bagi menarik perhatian para peserta yang telah ‘tersasar’ – Diam selama beberapa minit agar para peserta tertanya-tanya dan mula mengalihkan pandangan kepada speaker di depan.

Pendapat anda?