APEC YES 2011 – 21 Buah Negara, 21 Idea Membangunkan Ekonomi Dunia

October 25, 2011 — Penulis:

Kategori: Berita Bisnes

Pada 18 Oktober 2011, tim Majalah Niaga mengambil kesempatan untuk menghadiri sebuah program keusahawanan bertaraf global, iaitu APEC YES 2011, yang dianjurkan di Berjaya Convention Centre, Kuala Lumpur.

apec yes 2011

Berdasarkan maklumat yang disertakan dalam brosur, program APEC YES (Young Entrepreneur Summit) 2011 ini mempunyai barisan panel penceramah, dan peserta dari 21 buah negara. Antaranya adalah Brunei, Kanada, Australia, New Zealand, Jepun, Korea, Taiwan, Hong Kong dan banyak lagi.

Suasana pada hari pertama begitu memberangsangkan, di mana kami berpeluang untuk berkenalan dengan beberapa usahawan hebat dari negara luar, seperti Hafeez Bana. Beliau merupakan pengarah syarikat Deloittes, iaitu syarikat yang bertanggungjawab dalam menginovasikan penggunaan teknologi seperti kad kredit dan sebagainya.

Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai barisan panel yang menyertai APEC YES 2011, boleh klik di sini.

Les’ Copaque dan Tiara Jacquelina Berkongsi Pengalaman Berharga

Antara barisan panel yang menghadiri APEC YES 2011 ini adalah  Tuan Haji Burhanuddin Md. Radzi, Pengarah Urusan syarikat Les’ Copaque Production Sdn Bhd. Perkongsian beliau adalah berkenaan perniagaan berasaskan animasi.

pengurus les  copaque - tuan haji burhanuddin

Antara projek syarikat ini yang mendapat publisiti meluas di seluruh dunia adalah Upin & Ipin. Tuan Haji Burhanuddin juga menjelaskan beberapa elemen penting yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang berminat untuk memulakan perniagaan animasi.

Bagi kami, pengalaman beliau cukup luas dalam dunia perniagaan. Malah setiap perkongsian daripada Tuan Burhanuddin dipenuhi dengan fakta dan angka yang boleh dijadikan sebagai bahan rujukan, untuk peniaga berasaskan industri animasi.

Perkongsian daripada Tiara Jacquelina, seorang aktres popular tanah air dan penerbit filem tempatan menjurus kepada bidang lakonan. Peserta program ini tidak berkesempatan untuk mendengar perkongsian pengalaman beliau secara keseluruhan akibat kesuntukan masa.

Adly Mukhtar – Barisan Panel Termuda, Menginovasikan Perniagaan Internet Tempatan

Dalam program ini, Adly Mukhtar, pengasas syarikat Flarebiz Network juga diberikan peluang untuk bercakap di hadapan peserta yang terdiri daripada 21 buah negara.

tuan adly mukhtar - co founder flarebiz network

Ini merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan, kerana Malaysia mempunyai seorang anak muda yang mencetuskan fenomena perniagaan internet tempatan. Dalam program ini, Adly Mukhtar berkongsi tentang pengalaman beliau menjalankan perniagaan internet selama 5 tahun.

Bermula dengan program Google Adsense pada usia 16 tahun, kini Adly Mukhtar meneruskan visinya dan mengambil keputusan untuk tidak menyambung pelajaran di universiti, bagi membina perniagaan internet dan membantu mencambahkan lagi ekonomi negara.

Kini, syarikat kendaliannya iaitu Flarebiz Network Sdn Bhd sudah berada di prestasi yang membanggakan. Antara produk-produk yang dibangunkan oleh syarikat beliau adalah Mini Niaga, Niagakit, dan Sinar Niaga.

Di mana ia telah membantu ribuan usahawan tempatan untuk menjadikan internet sebagai lubuk emas untuk menjana pendapatan yang lumayan.

Menubuhkan Dua Anak Syarikat Bersama

Selain daripada mencipta fenomena menerusi produk-produk Flarebiz Network, syarikat ini juga telah menubuhkan dua anak syarikat iaitu Educattic Mind dan Inovattic Solution.

Educattic Mind merupakan syarikat penerbitan produk-produk digital seperti ebuku, dan diuruskan oleh Tuan Mohd Zulfadli (Smartzul), individu yang popular dalam industri perniagaan internet tempatan.

Manakala Inovattic Solution pula adalah syarikat yang membangunkan laman web pendidikan, khususnya melibatkan topik-topik keusahawanan. Antara projek yang mendapat liputan meluas media adalah Majalah Niaga dan Komik Niaga.

Kedua-dua anak syarikat ini dibangunkan bersama Flarebiz Network. Sinergi dan gabungan ini telah memperkukuhkan lagi tapak syarikat kendalian Adly Mukhtar dan membantu lebih ramai individu yang ingin berniaga khususnya menerusi internet.

5 Sebab Sertai APEC YES 2012

Sekiranya program keusahawanan ini diteruskan pada tahun 2012, kami berbesar hati untuk menggalakkan para pembaca Majalah Niaga untuk menyertainya. Kerana terdapat 5 sebab yang dapat menguntungkan kita, dari aspek peribadi dan juga bisnes.

kenapa perlu menyertai apec yes

  • Berpeluang untuk berjumpa dengan usahawan hebat dan berjaya.
  • Mempunyai jaringan kenalan dari pelbagai negara (21 buah negara menyertai APEC YES).
  • Memperoleh peluang untuk mempersembahkan bisnes kita bagi mendapatkan suntikan modal dari beberapa buah syarikat.
  • Mewujudkan joint venture (JV) di antara dua buah syarikat yang berbeza.
  • Memotivasi dan menginspirasikan diri untuk membangunkan bisnes sehingga tahap global, dan memacu ekonomi negara, keluarga dan agama.

Harapan Kami

Dengan kewujudan program seperti APEC YES 2011, kami berharap agar ia mendapat publisiti yang lebih meluas dari pelbagai medium seperti blog, media sosial, akhbar, majalah dan sebagainya.

Kerana program seperti ini dapat membantu lebih ramai anak muda tempatan untuk membuka mata, dan menganggap perniagaan itu sebagai kerjaya.

Besar harapan kami agar lebih ramai anak muda menyertai program ini sekiranya ia dilaksanakan pada tahun hadapan. Ini adalah masanya untuk kita bertemu dengan 21 orang usahawan, 21 idea ekonomi yang hebat daripada 21 buah negara.

PS: Sekiranya tuan dan puan ingin bekerjasama dengan kami sebagai wakil media, sila hubungi kami di sini untuk maklumat lanjut. Kami berbesar hati untuk membantu bisnes tempatan dan mana-mana program anjuran dengan meluaskan ruang publisiti kepada 13 ribu pembaca blog ini.

Kredit gambar yang diambil dari Facebook (Adly Flarebiz, Apec Yes 2011)


Tags: , , , , , , , , , , , , , ,

Komen (7)

  1. Tahniah team Flarebiz! Gabungan kalian memang mantap dan hebat! Tahniah buat Adly kerana berjaya berdiri di hadapan wakil-wakil terkemuka dalam dunia perniagaan global. Saya sebagai pembaca setia Majalah Niaga amat berbangga apabila mula melihat foto-foto kalian mula dimuat-naik di laman Facebook sejurus selepas acara tersebut selesai.

    Dalam hati saya terdetik pada ketika itu, Flarebiz mempunyai potensi yang cukup besar untuk terus membina jenama di mata dunia. Doa saya kepada team Flarebiz semua, teruskan berbakti dan berusaha memandaikan bangsa! Saya sentiasa menyokong kalian! 😉

Pendapat anda?