Beramal Sambil Promosi Diri

August 21, 2011 — Penulis:

Kategori: Komunikasi

Bulan Ramadan adalah bulan terbaik untuk beramal. Ganjarannya berlipat kali ganda dari bulan-bulan biasa. Bulan ini juga adalah bulan terbaik untuk menjalinkan persahabatan dengan media.

Majlis berbuka puasa

Bagaimana caranya? Antara teknik-teknik yang diguna pakai ketika bulan yang mulia ini adalah mengadakan majlis berbuka puasa dengan media, majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan program pemberian bubur lambuk kepada orang ramai. Setiap tahun, program-program ini begitu sinonim dengan bulan Ramadan.

Pelbagai manfaat tersembunyi di sebalik penganjuran majlis ini. Pertama, anda bakal mendapat pahala meraikan orang berbuka puasa. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda,

Siapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga.”

Peluang Untuk Membina Hubungan Dengan Media

Malah, program-program inilah menjadi “jambatan” bagi membina atau mengeratkan hubungan dengan warga media. Sekiranya anda / syarikat tidak mempunyai apa-apa program untuk diketengahkan, majlis yang penulis nyatakan di atas mampu menjadi pengganti agar hubungan anda dengan media sentiasa terjalin kukuh.

Di samping itu, peluang anda / syarikat anda muncul di media lebih tinggi berbanding dengan mereka yang tidak pernah menjemput media untuk apa-apa majlis.

Majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri Malaysia

Ada sesetengah media turut memberikan ruang kepada penganjur majlis berbuka puasa untuk muncul di akhbar / majalah / televisyen / radio sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerana menjemput mereka.

Di Malaysia, ada beberapa ahli politik turut meraikan media dalam majlis berbuka puasa. Rakan-rakan penulis yang bekerja sebagai wartawan dan jurukamera menyatakan, mereka bukan sahaja dapat makan secara percuma, mereka juga dapat berjimat dan mendapat duit raya.

Duit raya? Ya, memang betul. Mereka mendapat duit raya. Menjelang Tahun Baru Cina, ada juga rakan-rakan media yang bertuah mendapat “angpow”.

Nilai Kecil Membawa Pulangan Besar

Mungkin nilai untuk membuat majlis dan memberi duit raya atau angpow tidaklah sebesar seperti membeli iklan di media, namun nilainya amat tinggi untuk jangka masa panjang.

Memang benar wang membenarkan kita untuk membeli ruang promosi di media. Namun apabila telah tamat tempoh promosi, anda perlu mengeluarkan wang lagi bagi menyambung promosi di saluran media berkenaan.

Nilai kecil pulangan besar

Sekiranya anda tahu bagaimana untuk memenangi hati pihak media tanpa membelanjakan satu sen pun duit anda, anda bakal mendapat promosi yang berpanjangan dan pada kos yang minimum.

Ternyata, wang tidak boleh membeli segala-galanya. Ayuh! Sambil kita mempertingkatkan amalan ibadat di bulan yang mulia ini, kita terus mengukuhkan lagi hubungan dengan media.

Kredit gambar yang diambil dari Flickr (najibrazakmsharq82jesse_ville)


Tags: , , , , , ,

Pendapat anda?