Bisnes & Nikmat Bersyukur

October 16, 2011 — Penulis:

Kategori: Pembangunan Diri

Assalamualaikum, salam kebahagiaan kepada tuan puan usahawan yang dimuliakan.

Al Quran

“Maka, nikmat Tuhan yang mana hendak kamu dustakan?”

Ayat ini diulang-ulang dalam surah ar-Rahman (55) sebanyak 31 kali. Pelbagai nikmat disenaraikan oleh Tuhan dalam surah yang hebat ini. Dari nikmat cakerawala, sehinggalah nikmat di dasar lautan.

Setiap yang berlaku dalam hidup, termasuklah yang berlaku dalam perjalanan bisnes kita, adalah perancangan-Nya. Tidak ada satu pun yang kebetulan, melainkan semuanya sudah disusun dengan indah oleh Dia yang Maha Kuasa.

Izinkan saya berkongsi kisah mula saya terjun ke dalam dunia bisnes. Seperti yang pernah saya ceritakan dalam artikel sebelum ini, saya nekad berhenti kerja pada akhir tahun 2007.

jurulatih-PLKN

Berhenti daripada kerjaya yang saya suka iaitu jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Antara bidang yang saya mula berjinak-jinak selepas berhenti kerja adalah internet marketing.

Saya mula menyertai forum-forum internet marketing, dan aktif dalam WangCyber.com pada waktu itu. Di situ saya mengenali beberapa nama besar dalam industri IM negara, seperti Shuth, Labanon, Norizam Shah, Zamri Nanyan dan lain-lain.

Hanya saya mengenali mereka, mereka tidakpun mengenali saya.

Bermula Daripada Rasa Nekad Untuk Berbisnes

Kemudian, WangCyber.com pertama kali menganjurkan gathering pada bulan Ogos 2008 di Bukit Jalil Golf & Country Resort. Saya, dengan tidak mengenali secara rapat sesiapapun yang ada dalam forum itu, nekad membayar yuran dan menyertainya.

Saya sedar, tidak ramai IM perempuan, dan saya pula seorang yang berat mulut apabila bertemu dengan orang yang tidak dikenali. Namun, disebabkan nekad berubah dan saya sedar bisnes tidak memerlukan orang berat mulut, saya pergi juga dengan mengajak sahabat karib saya, Ogy Abd Aziz.

kartunis ubi

Saya bertuah kerana Ogy adalah seorang yang peramah. Melalui keramahannya, saya menumpang mendapat kawan. Di sana kami berkenalan dengan IM-IM perempuan lain seperti Kak Galadriel, Catzer, Kak Aza dan Waida KMY yang kini menjadi sahabat karib saya.

Di situ juga saya mula berkenalan lebih dekat dengan Adly Labanon, Kartunis Ubi, Tuan Osman Affan, dan ramai lagi.

Selepas itu, selangkah demi selangkah saya mengenali lebih ramai orang dalam dunia IM yang rupa-rupanya bukan sekadar IM, malah lebih daripada itu. Kemudian, Kak Aza memperkenalkan saya dengan bengkel penulisan percuma yang dikendalikan oleh Puan Ainon Mohd., yang sekarang menjadi sifu dan mentor penulisan, bisnes dan training saya.

Saya mula mengenali PTS – yang rupa-rupanya selama ini saya memang rajin melepak di booth-nya setiap kali pesta buku antarabangsa diadakan, dan banyak buku-bukunya di rumah saya.

Dari Internet Marketing Ke Dunia Penulisan

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tahun 2009 menambahkan lagi kenalan-kenalan saya dalam dunia penulisan, training dan bisnes.

Di situ saya bertemu sekali lagi dengan Tuan Osman Affan, yang merupakan exco Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN) dan membawa saya menyertai Iftar TAMRIN yang pertama pada tahun 2009. Saya juga tidak pernah ketinggalan menyertai setiap bengkel penulisan Puan Ainon sepanjang tahun yang sama.

puan ainon pts

Saya kembali mengaktifkan diri di Facebook sehingga mendapat ramai rakan-rakan berkualiti sehingga ke hari ini. Jika tuan puan melihat di Facebook saya ada sekumpulan besar nama-nama ‘orang hebat’, bukanlah bermakna saya sebaris dengan mereka.

Saya hanya orang kecil yang berada di kalangan mereka, dan saya bersungguh-sungguh mahu mendapatkan percikan ‘minyak wangi’ mereka.

Adakah ini semua kebetulan? Saya berhenti kerja pada tahun 2007 – menyertai gathering pertama WangCyber.com pada tahun 2008 – bengkel penulisan dan Iftar TAMRIN pada tahun 2009 – mendapat ramai kawan di kalangan ‘orang besar’ di Facebook – dan seterusnya… adakah ini kebetulan?

Sesungguhnya semua ini adalah aturan Tuhan yang cukup-cukup indah. Dia yang menentukan perjalanan bisnes dan hidup saya, sehingga saya berada di tempat sekarang. Sudah pasti ketentuan-Nya itu adalah kerana meredhai setiap usaha yang saya lakukan.

Maka dari itu, saya bersyukur.

Kenapa Mesti Ada Dugaan dan Cabaran?

Baik, ini adalah gambaran perjalanan yang indah-indah sahaja. Bagaimana pula dengan dugaan, cabaran dan ujian yang ditempuhi? Mengapa Tuhan memberikan semua itu? Bagaimana mahu mensyukuri kerugian, fitnah, penipuan, kerosakan dan keburukan yang diperolehi?

Saya percaya tuan puan semua maklum, cabaran dalam bisnes adalah umpama warna. Bayangkan bisnes dan hidup kita seperti televisyen monokrom – hanya paparan hitam dan putih sahaja. Sudah tentu ia bosan ditonton.

Justeru, warna-warna yang pelbagai adalah diperlukan bagi menjadikan perjalanan hidup kita ceria dan lebih sempurna.

kenapa mesti ada cabaran dan dugaan

Sesekali, ambil masa rehat, duduk dan berfikir semula berkenaan perjalanan bisnes yang sudah kita lalui. Dari awal kita mula berniaga secara kecil-kecilan, ataupun mungkin terus berniaga besar-besaran, sehinggalah perniagaan yang kita ada sekarang.

Saya sendiri pernah membuka perniagaan, dan gagal memasarkannya. Lalu saya tutup dan mulakan perniagaan baru. Beberapa kali saya tersilap mengatur strategi perniagaan hingga mengalami kerugian dalam jumlah yang banyak.

Belum lagi cerita kecil-kecilan seperti dipersendakan pelanggan disebabkan usia yang muda, ditipu staf, ditekan oleh pelanggan, ditipu pengedar dan sebagainya.

Tuan puan, saya bukanlah dilahirkan dalam keluarga usahawan.

Dalam keluarga, hanya saya seorang yang menceburi bidang bisnes. Jadi, mentor saya bukan ibu bapa saya sendiri, saya berusaha keras mencari mentor lain. Dalam proses pencarian itulah begitu banyak kesilapan besar yang berlaku.

Tuhan Itu Maha Penyayang

Namun, adakah Tuhan itu kejam? Dengan sengaja Dia menimpakan begitu banyak perkara malang kepada kita? Sedangkan kita tahu Dia Maha Penyayang.

Justeru, cara saya memujuk hati adalah dengan berpegang kuat terhadap kasih sayang Tuhan, dan kepercayaan bahawa ‘setiap sesuatu adalah hikmah kepada sesuatu’. Saya ditipu oleh staf, kerana Tuhan mahu saya belajar teknik mendidik staf dengan lebih baik.

allah maha penyayang - yakin kejayaan milik kita

Saya ditekan oleh pelanggan, kerana Tuhan mahu saya lebih yakin dengan produk dan servis saya sendiri. Saya ditipu pengedar, kerana Tuhan mahu beritahu saya bahawa manusia ada pelbagai dan supaya saya jauh lebih teliti dalam membuat penilaian.

Kerugian adalah pelaburan bagi mendapatkan hasil yang lebih baik, dengan syarat kita mahu mengambil iktibarnya.

Nah, daripada kesilapan-kesilapan inilah maka saya dapat belajar dan memperbaiki diri, bisnes dan hidup dari hari ke hari. Tidak dapat saya bayangkan sekiranya Tuhan hanya membiarkan sahaja saya menjalani hidup tanpa belajar apa-apa.

Kosong, langsung tidak bermakna. Daripada itu, saya bersyukur dengan sesungguhnya. Cabaran super hebat, adalah petanda paling besar bahawa Dia sentiasa ingat kepada saya, menyayangi saya dan mengambil berat mengenai saya.

Dan saya percaya apabila kita patuh kepada perintah-Nya, kita redha dengan ujian dari-Nya, kita kosongkan hati daripada dendam dan buruk sangka, maka akan lebih banyak pintu-pintu kebaikan yang akan terbuka untuk kita.

Dan ketika Tuhan kamu memberitahu, “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmatKu kepada kamu….” [QS Ibrahim 14:7]

Setiap detik adalah bagi disyukuri. Setiap sesuatu adalah hikmah kepada sesuatu.

Kredit imej yang diambil dari Flickr (chentaislovelulotruizretro_paki), KartunisUbi.com, PTS.com.my)


Tags: , , , , , ,

Komen (17)

  1. Terasa membaca artikel ini di depan cermin. Jalan permulaan kita mungkin sedikit berbeza puan, namun ada banyak persamaan dalam laluan itu. Semoga puan terus berjaya. Amin.

  2. Saya sebagai editor artikel ini berulang-ulang kali membaca setiap patah perkataan yang ditulis oleh Cikpuan Azzah.

    Padat, mudah difahami, melekat!

    Terima kasih cikpuan kerana terus sudi untuk terus berjuang dengan kami. 🙂

  3. Saya suka baca kisah-kisah seperti ini. Cerita mengenai orang yang gagal setelah berusaha kemudian berjaya. Benar seperti yang diceritakan, siapa berusaha dia berjaya.

  4. Melihat semula perjalanan hidupku penuh dengan rempah-ratus. Sebelum ini selalu bersyukur ketika senang, tetapi kena bersyukur ketika susah (ujian), supaya beringat.

  5. Memang satu kisah yang memberi motivasi kepada saya yang baru membuka langkah menjadi niagawan. Terima kasih atas perkongsian ini cikpuan Azzah. Skrg dah tidak dalam dilema lagi.
    \(^-^)/

  6. Setiap bulan, pasti saya akan bertanya kepada Aqif ‘Qif, cik puan Azzah ada hantar tak artikel untuk bulan ini?’. Jika Aqif berkata ya, saya tersenyum sendirian dan saya akan menyuruh Aqif untuk menghantar ke emel saya supaya saya dapat membacanya lebih awal sebelum disiarkan di blog Majalah Niaga. Terima kasih atas perkongsian cik puan & good luck! 🙂

  7. Assalammualaikum..

    Cikpuan azah,

    Saya selalu mengikuti tulisan-tulisan cikpuan fi facebook. Dan saya mengagumi setiap apa yang cikpuan cuba sampaikan.

    Terima kasih dan teruskanlah menulis untul sentiasa mengingatkan hati yang terleka.

    Saya mendoakan limpahan rahmat kasih syg Allah sentiasa mengiringi cikpuan di mana sahaja cikpuan berada. Insya Allah. Ameen

Leave a Reply to blograidah.com Batal (Cancel)