Bisnes: Fardhu Kifayah Yang Belum Sempurna

September 11, 2013 — Penulis:

Kategori: Kepimpinan / Motivasi

Tajuk di atas iaitu ‘Bisnes Sebagai Fardhu Kifayah’ saya ambil daripada motto Konvensyen Usahawan Muslim 2013 yang saya hadiri pada 7 September lalu. Konvensyen ini menampilkan 6 tokoh usahawan Muslim berjaya dan tersohor dalam bidang masing-masing.

Pada pandangan saya, dalam situasi ekonomi umat Islam hari ini, kewajipan ‘Bisnes Sebagai Fardhu Kifayah’ masih belum dilaksanakan sepenuhnya. Bermakna, umat Islam masih berdosa kerana belum menguasai ekonomi hari ini, dan ia termasuk saya sendiri.

Kenapa saya katakan fardhu kifayah ini masih belum sempurna sepenuhnya?

Lihat sahaja industri bisnes makanan, 90% produk makanan halal dikuasai oleh orang-orang bukan Muslim.

Dalam konvensyen tempoh hari, Dato’ Dr Chef Li, Mentor Jutawan Senyap, memberi contoh dalam bisnes pembuatan taugeh. Taugeh merupakan sayuran yang menjadi bahan utama masakan orang Melayu dan India. Dianggarkan 90% pengguna taugeh dalam masakan adalah orang Melayu dan orang India berbanding orang Cina yang hanya 10%, tapi 90% taugeh di pasaran dikeluarkan oleh ahli perniagaan Cina. Itu baru taugeh, sayur kecil yang dilihat remeh dan sebenarnya dalam perkara-perkara remeh pun kita tewas, apatah lagi yang besar-besar.

Apabila disebut fardhu kifayah, ia bukan sahaja kepada peniaga malah juga kepada pengguna. Sebagai pengguna, menjadi satu fardhu kifayah untuk kita memilih produk-produk Muslim. Menjadi satu kejanggalan apabila orang Islam sendiri membeli dari orang bukan Islam, sedangkan dalam masa sama ada pilihan produk Muslim yang lebih baik atau sekurang-kurangnya setaraf.

Perkara ini turut disuarakan oleh Datuk Wira Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan Mydin Holdings Berhad. Beliau apabila melahirkan rasa kecewa apabila orang Islam sendiri lebih mengutamakan Pasaraya Giant berbanding pasaraya milik orang Islam yang bersebelahan. Beliau mengambil contoh di Mydin Subang Jaya.

Walhal, kata beliau, dalam satu kajian oleh sebuah badan bebas yang membuat kajian harga-harga barang ke atas 9 pasaraya, apabila disusun senarai pasar raya paling mahal hingga ke paling murah, Giant berada di ranking nombor 1 yang paling mahal, diikuti Tesco dan Aeon Big (dahulu Carrefour), manakala Mydin di ranking no 7, diikuti Econsave dan Family Store.

Tanggungjawab fardhu kifayah yang masih belum sempurna ini tertanggung ke atas semua umat Islam, sama ada usahawan atau pengguna. Kepada usahawan, kefardhuannya ialah dengan menyediakan produk dan perkhidmatan terbaik. Manakala bagi pengguna pula kefardhuannya ialah memilih dan menggunakan produk Muslim yang diusahakan.

Produk Muslim Mahal: Dilema Pengguna

Ketika sesi soal jawab bersama Datuk Nadzmi Johan, pengasas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), satu soalan diajukan oleh salah seorang peserta yang bertanyakan tentang dilema pengguna muslim yang terpaksa memilih produk keluaran Muslim yang mahal dengan produk keluaran non-Muslim yang murah.

perniagaan-muslim

Perkara sama juga turut ditimbulkan ketika sesi oleh Ustaz Pahrol Juoi, Pengarah Urusan Fitrah Perkasa. Beliau berkongsi dari sudut yang sedikit berbeza; kisah seorang eksekutif dari bank konvensional yang berhijrah kepada perbankan Islam.

Apabila ditanya kepada eksekutif bank berkenaan tentang pandangan jujurnya mengenai prestasi kedua-dua tempat kerja. Katanya bank Islam di tempat beliau bekerja sekarang ketinggalan jauh 10 tahun di belakang berbanding bank konvensional yang beliau tinggalkan.

Saya sendiri selaku usahawan turut mengalami perkara yang sama dalam bisnes perundingan kewangan yang saya jalankan. Kadang-kadang agak menghairankan apabila ada segelintir masyarakat yang masih meremeh-remehkan produk-produk perbankan Islam dan takaful yang patuh syariah dan masih utamakan produk kewangan, perbankan, dan insurans konvensional.

Dalam hal ini, pada saya menjadi tanggungjawab besar sebagai usahawan Muslim untuk merubah stigma ini kepada paradigma yang baru. Kita sebagai usahawan Muslim perlu menunjukkan kepada masyarakat bahawa kita mempunyai produk yang setanding malah lebih hebat berbanding produk-produk keluaran bukan Muslim.

Satu cerita yang agak ‘terpukul’ dikongsikan oleh Dato’ Chef Li, iaitu kisah salah seorang pelajarnya yang berniaga kuih pau. Pelajarnya menangis menelefonnya apabila hari pertama dia berniaga pau di luar masjid, dia dicemuh oleh seorang jemaah masjid yang membandingkan pau buatannya dengan Pau Ahmad, pau keluaran sebuah syarikat Cina.

Saya mengharapkan ia hanyalah kisah terpencil, walau hakikat hati kecil ini terpaksa mengakui kebenaran realiti sebenar masyarakat kita orang Melayu Muslim.

Jika bukan kita, siapa lagi?

Dalam kisah eksekutif bank Islam yang berhijrah tadi, ia merupakan satu pengorbanan yang besar. Atas dasar Islam dan kewajipan, beliau memberi sokongan kepada bank Islam tersebut untuk sama-sama dibangunkan. Yang lebih mengejutkan, gajinya di tempat baru lebih rendah berbanding tempat kerja lama. Kata Ustaz Pahrol, ini adalah satu mujahadah dan wajib dicontohi oleh kita semua.

mydin

Perkara sama yang diutarakan Datuk Wira Ameer Ali Mydin apabila berkongsi pengalaman membangunkan satu-satunya pasaraya besar milik orang Islam dalam bersaing dengan pasaraya-pasaraya gergasi milik orang bukan Islam dan juga dari luar negara seperti Giant, Carefour, Tesco dan lain-lain.

Dato’ Chef Li tempoh hari bertanya satu soalan yang menjentik pemikiran peserta konvensyen. Tanya beliau,” Pernah atau tidak kita lihat kedai emas orang Melayu yang mana pengawal keselamatannya orang Cina? Tidak pernah bukan? Tapi, jika ditanya pernah nampak atau tidak kedai emas Cina tetapi pengawal keselamatannya dijaga Melayu? Berlambak-lambak!”

Dalam tulisan saya sebelum ini iaitu Kembara China: Bamboo Network vs Ukhuwah Islam, saya membangkitkan isu ini;

“Lihat sahaja di tanah air kita, kedai-kedai orang Cina boleh hidup subur di dalam kawasan penempatan orang Melayu. Malah di ceruk-ceruk kawasan perkampungan orang Melayu pun, tauke-tauke Cina boleh memiliki kedai dan bisnes yang maju.

Pengalaman peribadi saya, di kampung ibu saya di Kampung Batu 38, Sabak Bernam, Selangor yang 95% masyarakat jawa Melayu, sebuah kedai malah kilang pengumpulan koko dimiliki oleh seorang tauke Cina dan orang kampung menghantar koko-koko yang ditanam mereka kepada tauke berkenaan untuk dijual.

Begitu juga di pekan kecil Jertih, Besut Terengganu, kampung sebelah ayah saya, kedai-kedai Cina boleh hidup subur dengan baik di dalam kawasan majoriti 99% adalah orang Melayu”

Hampir keseluruhan pembentang konvensyen memperkatakan persoalan yang sama iaitu orang Muslim wajib bekerjasama menyokong sesama muslim dalam membangunkan usahawan-usahawan Muslim.

Ia bukan soal bangsa Melayu semata-mata, kerana Muslim bukan sekadar Melayu. Malah dalam konvensyen tempoh hari, turut menampilkan tokoh usahawan Muslim yang bukan Melayu, iaitu Datuk Wira Ameer Ali Mydin.

Selaku Muslim, kita wajib berbangga kerana kita Muslim. Ini juga ditegaskan oleh Saidina Umar Al-Khatab lebih 1400 tahun dahulu; “Kitalah bangsa yang dimuliakan oleh Allah kerana Islam!”, yang diucapkan oleh Khalifah Islam kedua ini selepas pembukaan Kota Baitul Maqdis.

Dato’ Sri Hj Zainal Abidin, bekas CEO Proton berkongsi kisah beliau ketika zaman “jahiliyah” apabila beliau bermesyuarat di luar negara. Apabila tiba waktu solat, beliau takut-takut untuk meminta izin keluar mesyuarat bagi menunaikan solat.

Tapi itu dahulu. Selepas berhijrah, beliau tidak segan-segan memaklumkan untuk meninggalkan sebentar mesyuarat bagi menunaikan solat. Malah, ahli mesyuarat lain lebih menghormatinya. Kadang-kadang apabila tiba waktu solat, mereka terlebih dahulu bertanyakan beliau.

Ternyata, orang bukan Islam akan lebih menghormati kita sebagai umat Islam apabila kita berpegang teguh kepada prinsip Islam.

Ayuh, kembali kepada Islam!

Dalam lipatan sejarah, nenek moyang kita adalah bangsa yang gigih berniaga. Buktinya ialah pada zaman Kesultanan Melayu Melaka atau lebih tepat Kerajaan Islam Melayu Melaka yang pernah menjadi pusat dagangan dunia. Kerajaan Islam Melaka pernah menjadi pusat tumpuan para pedagang dunia dari Timur hingga Barat, dan itu semua hanya tinggal sejarah.

perniagaan-itu-fardu-kifayah

Apa jadi hari ini? Anak bangsa merempat di bumi sendiri, umpama anak ayam kebuluran di jerami padi. Hampir segenap perkara, bangsa Melayu Islam terpaksa bergantung kepada syarikat-syarikat bukan Muslim.

Bak kata Datuk Nadzmi (PPIM),”Umat Islam di Malaysia ibarat helang yang terkurung 500 tahun di dalam sangkar. Apabila dibebaskan, mereka sudah tidak pandai lagi hendak terbang.”

Itulah ibarat bangsa kita hari ini, yang suatu masa dahulu menjadi pemimpin terulung. Namun, selepas 500 tahun terjajah, kita menjadi bangsa pengemis di bumi sendiri.

Tidak dinafikan ada di kalangan bangsa kita yang kaya, namun jumlahnya boleh dibilang dengan jari dalam masa sama jurang perbezaan kaya dengan miskin terlalu jauh. Yang kaya hanyalah kroni-kroni yang tamakkan kuasa dan harta, melaungkan ‘Hidup Melayu’ yang sudah hampir mati.

Tanpa berniat untuk mengapi-apikan sentimen perkauman, seruan menguatkan ekonomi ummah harus bermula dari rumah dengan menyokong produk-produk keluaran Muslim. Produk-produk ini bukan terhad kepada sektor makanan malah meliputi sektor perkhidmatan, kewangan, pelancongan, perindustrian, pembuatan dan lain-lain.

Muslim bukan sekadar Melayu. Ia merangkumi India Muslim, Cina Muslim, Bangla Muslim, Indon Muslim dan lain-lain bangsa Muslim di Malaysia. Orang Melayu perlu belajar ilmu keusahawanan daripada bangsa lain yang sudah lama berjaya di dalam bidang keusahawanan.

Ikon Usahawan Muslim

Untuk berjaya dalam bisnes, sebenarnya kita umat Islam tidak perlu melihat jauh. Kita mempunyai ikon paling unggul untuk kita contohi iaitu tidak lain tidak bukan, junjungan besar Nabi Muhammad SAW (selawat ke atas baginda).

rasulullah-sebagai-ikon-usahawan

Baginda Nabi bukan sahaja tokoh ulung pendakwah, malah juga pemimpin kerajaan yang menguasai dua per tiga dunia. Selain itu, baginda juga merupakan panglima batalion armada perang di dalam berpuluh-puluh perang kecil dan besar. Tidak lupa juga beliau merupakan tokoh korporat usahawan yang berjaya!

Mahu tidak mahu, sifat-sifat Nabi iaitu Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fattonah perlu dijadikan iktibar dan panduan bagi seluruh usahawan Muslim. Memang tidak dinafikan, orang kita memang cukup terkenal dengan sifat baik dan amanah. Namun, itu sebenarnya masih belum cukup untuk berjaya kerana kita perlu menjadi bijak dan celik dalam berniaga.

Bak kata Ustaz Pahrol Mohd Juoi, jika kita bijak tetapi tidak amanah, maka jadilah ahli perniagaan yang suka menipu. Sebaliknya jika kita amanah tetapi tidak bijak, kita pula yang kena tipu. Maka, kombinasi bijak dan amanah perlu ada sebagaimana Nabi Muhammad yang berniaga tidak pernah gagal dalam bisnesnya. Barang dagangannya juga sentiasa laku keras!

Titik pangkalnya, orang Muslim di Malaysia perlu kembali kepada Quran dan jadikan Rasulullah sebagai ikutan sepenuhnya, untuk mengembalikan zaman kegemilangan nenek moyang kita.

Di Malaysia, kita boleh jadikan Al-Ikhsan Sport Sdn Bhd sebagai contoh ikon usahawan sebuah syarikat Melayu Muslim yang berjaya menempa nama di peringkat dunia dengan hanya kembali kepada Quran dan Sunnah.

Al-Ikhsan berada di ranking 80 dunia sebagai pemasar produk-produk jenama sukan antarabangsa, di belakang 79 jenama lain yang semuanya adalah syarikat bukan Islam dari serata dunia. Satu pencapaian yang membanggakan buat anak Malaysia di persada dunia.

Konvensyen semalam turut mendedahkan rahsia Tn Hj Ali Hassan Mohammad Hassan, Pengarah Urusan al-Ikhsan yang juga pengasas syarikat konglomerat berkenaan. Ia cukup mudah untuk kita amalkan selaku Muslim;

#1 – Solat dan Fardhu Ain
#2 – Sedekah dan zakat
#3 – Menghormati ibu bapa.

Cukup mudah, bukan?

Itulah rahsia utama kekuatan al-Ikhsan yang dipelopori oleh Tuan Hj Ali Hassan sejak dari mengasaskan al-Ikhsan sehingga sekarang. Pendedahan yang diceritakan oleh wakil al-Ikhsan agak mengejutkan. Antaranya, semua staff di seluruh cawangan al-Ikhsan di seluruh dunia akan dipastikan menunaikan solat dan diajar fardhu ain.

Kelas-kelas fardhu ain dan kelas-kelas ilmu pengajian dijadikan rutin. Malah terdapat jawatan pegawai agama untuk memantau perkara ini. Bayangkan, sebuah syarikat barangan sukan mempunyai pegawai agama tersendiri?

Subhanallah! Tidak hairanlah Allah berikan keuntungan berganda-ganda kepada beliau dan syarikat.

Bak kata Ustaz Fathuri, penulis buku “Mudahnya Menjemput Rezeki” di dalam sesi tazkirah di awal sesi konvensyen, rezeki ini ibarat semut. Beliau mengambil contoh di tempat yang tiada semut, agak sukar untuk mencari semut.

Tapi, jika diletak gula yang menjadi kegemaran semut, maka dengan mudahnya semut akan tertarik kepada gula. Begitu juga rezeki, jika kita mahukan rezeki dimurahkan ke atas kita, maka kita perlu lakukan perkara yang disukai Allah, maka dengan mudahnya rezeki akan sampai kepada kita.

Satu lagi perkara menarik di syarikat al-Ikhsan, setiap kali pembukaan cawangan baru, beliau tidak menjemput sebarang VIP, wakil rakyat atau menteri untuk merasmikannya. Beliau menjemput ibunya sendiri sebagai VVIP majlis berkenaan.

Tip yang sama dikongsikan oleh Tn Hj Ameer Ali Mydin ketika berkongsi kejayaan Mydin. Beliau menceritakan kisah ayahnya yang menjadi pengasas legasi Mydin dari sebuah kedai kecil di Jln Tok Hakim, Kota Bharu Kelantan sehingga ke hari ini. Setiap nasihat ayahnya akan menjadi bekalan dan panduan hidupnya dalam meneruskan kelangsungan bisnes tersebut.

Nota: Penulisan artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis hasil rumusan sepanjang menghadiri Konvensyen Usahawan Muslim 2013.

 

(Sumber gambar: galibert, NR WORLD,mydinnoor.hilmi, fuh.my)


Tags: , , , , , , , , , , , , , , , ,

Komen (19)

  1. Saya tidak dapat hadir ke KUM2013 tempoh hari. Alhamdulillah, artikel tuan sudah memberi sedikit sebanyak input kepada saya.

    Tertarik dengan 3 prinsip mudah CEO al-Ikhsan. Juga tips ketika membuka cawangan baru yang dirasmikan oleh ibunya itu.

  2. SHAARI BIN KARIM
    September 13, 2013

    Assallam!
    Kebanyakan kursus2 keusahawanan anjuran agensi2 kerajaan 20tahun yang lalu gagal melahirkan usahawan muslim seperti yang diharapkan dan tidak mencapai kepada D.E.B?
    Saya salah seorang usahawan yang gagal mencapai matlamat dan telah melalui berbagai cabaran tapi masih mengharapkan USAHAWAN MUSLIM yang GLOBAL dan bukan lagi mengikut bangsa seperti melayu…sahaja! Praktikal sebagai usahawan islam wajib mengamalkan amalan2 cara sunah berniaga ikut model Rasulullah!!!saya yakin dahulukan ISLAM dalam semua perkara kehidupan…insyaallah akan berjaya membangun bersama ISLAM dengan politik islam
    dan ekonomi islam!

  3. “CERITA LAMA YANG DIRIUHKAN SEMULA”..jangan salahkan pembeli bila perniagaan orang islam tak maju.salahkan diri sendiri tak guna menyalak sedangkan mutu,produk muslim tidak dapat menandingi produk lain dari ssemua aspek termasuk strategi pemasaran

  4. Terima kasih Tuan dengan article ini.
    Semoga mentaliti saudara muslim kita terbuka untuk tidak memandang rendah pada kuality produk muslim.
    Terima kasih sekali lagi.

  5. Assalamualaikum…

    Masalah orang Islam kini, khususnya orang bangsa Melayu adalah lebih mengutamakan sesuatu yang datang dari luar. Bangsa Melayu kini hanya mahu menerima sahaja tidak tahu “memberi” atau bersedekah kepada bangsa sendiri dan yang lebih utama kepada perkembangan ekonomi umat Islam.

    Penjual/peniaga/usahawan dari kalangan umat Islam dan pembeli/pelanggan dari umat Islam perlu ada satu jalinan yang utuh dalam mengembangkan penguasaan ekonomi umat Islam. Tiap dari mereka mempunyai peranan masing-masing dalam menentukan hala tuju ekonomi umat Islam.

    Saya sendiri pernah melihat keadaan iaitu jika ada sedikit kesilapan atau penipuan dari kalangan peniaga bangsa BUKAN Melayu, orang Melayu sendiri seperti tidak kisah sangat tetapi jika ada peniaga yang terbuat siliap sedikit, habis diriuhkan sekampung, sepekan dan sebandar.

    Pada bahagian peniaga atau usahawan Muslim/Melayu sendiri, masih ada yang berniaga secara jujur dan mengikut panduan yang ada dalam Islam. Namun tidak dinafikan ada sebilangan peniaga muslim / Melayu yang tamak dan berniaga dengan etika yang tidak sihat. Golongan sebegini hanya fikir nak untung cepat lantas mengabaikan keberkatan dalam perniagaan mereka. Ada yang sudah untung banyak dan layak membayar zakat tetapi mengabaikan tanggungjawab itu.

    Berniaga ini diibaratkan sebelah kaki sudah melangkah ke syurga andainya ia dijalankan secara benar mengikut syariat Islam. Nabi Muhammmad SAW juga merupakan peniaga serta usahawan yang terulung dan perlu dijadikan contoh paling utama untuk dicontohi. Jika kita ingin berniaga, berfikirlah sedalam-dalamnya ke manakah matlamat kita jika ingin berniaga. Untuk keuntungan dunia semata-mata atau untuk kemakmuran dalam kehidupan di akhirat kelak. Kajilah konsep “cari rezeki” dan perbezaannya dengan konsep “cari duit”.

  6. Terima kasih atas perkongsian yang berharga.
    Semoga umat Islam dapat memenuhi fardu kifayah dan dapat dinikmati dengan lebih mudah di Malaysia

  7. muhammad rahmat in baharan
    September 17, 2013

    Terima kasih di atas perkongsian , kewajipan ‘Bisnes Sebagai Fardhu Kifayah’ masih belum dilaksanakan sepenuhnya. Moga dicapai di dalam semua elemen urusan bisnes, Amin..

  8. Saya tertarik dgn tajuk Fardu Kifayah yang belum sempurna. Pokoknya masyarakat kita masih suka bekerja makan gaji dari berniaga. Kalau kita juga suka berniaga tidak mustahil kita juga bole buat lebih baik dari masyarakat Cina. Tentang preference brand tu kita tak bole nafikan jika pilihan kita tak berapa banyak di pasaran. Pendidikan perniagaan juga memainkan peranan juga diperingkat awal.

  9. Shafiq Ramli
    March 9, 2014

    Mudah sahaja penyelesaian masalah Melayu ni. Tekankan kepada persaudaraan sesama Muslim.

    Jika betul bersaudara, tiada dengkinya.
    Jika betul bersaudara, tiada hasadnya.
    Jika betul bersaudara, saling bertolongan sesamanya.

    Insyaallah.

  10. Amirol Mat Rofi
    November 12, 2016

    Al-Arqam dengan model bisnes secara korporatnya dulu pun tenggelam kerana tangan-tangan jahat manusia..

Pendapat anda?