Bisnes & Nikmat Sabar

February 14, 2011 — Penulis:

Kategori: Pembangunan Diri

Assalamualaikum, salam kebahagian buat Tuan Puan pembaca Majalah Niaga yang disayang Tuhan. Semoga sentiasa berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja.

Sabar, Pasti Ada Jalan

Seringkali saya ditemukan dengan orang-orang yang begitu ingin menjalankan bisnes sendiri, namun kurang memiliki sifat sabar yang tinggi. Akhirnya, mereka putus asa kerana hasil yang dikehendaki, tidak berada di tangan dalam jangka waktu yang diinginkan dan terus angkat bendera putih – malah ada yang kembali kerja bermajikan!

Kalau diikutkan hati dan emosi lemah, diterjah pula situasi ekonomi dunia yang tidak menentu, saya sendiri pernah berfikir mahu menutup perniagaan. Apa yang menghalang saya daripada berbuat demikian adalah keinginan bagi mencapai impian kerjaya saya yang terbesar iaitu mengusahakan perniagaan sendiri, dan ketidakinginan untuk kembali bekerja di bawah seorang majikan.. oh tidak!

Apa Yang Membuatkan Saya Bertahan?

Jadi, saya memilih bagi meneruskan perjuangan ini walaupun hanya Tuhan yang tahu betapa dahsyat cabaran bagi mendapatkan job, lebih-lebih lagi dalam zaman ekonomi yang merengsakan. Zaman semua orang berkata, “Kami tidak ada duit!”

Ya. Saya hanya bersandar dengan keyakinan terhadap pilihan yang telah saya ambil. Saya amat percaya bahawa bumi ini luas dan Tuhan menyediakan peluang rezeki itu di mana-mana, pada bila-bila masa.

Saya, dan mungkin ada di antara Tuan Puan juga, memulakan bisnes dengan tiada wang simpanan dalam tangan. Atau simpanan cukup-cukup bagi dibuat modal. Tidak mahu dibebankan dengan pinjaman bisnes, atau tidak layak membuat pinjaman. Jadi, tempoh awal bisnes, adalah tempoh yang paling sukar.

Perlu ikat perut, kerana wang yang ada hanya dapat digunakan bagi tujuan bisnes. Lebih-lebih lagi, bagi yang ada tanggungan keluarga, hutang, dan sebagainya. Jujurnya, saya sendiri pernah ada sebuku roti sahaja untuk dimakan selama seminggu. Namun, baca semula perenggan kedua artikel ini, maka saya bertahan dengan tabah.

Apakah yang diperlukan pada waktu-waktu sesak, terutama apabila bisnes baru sahaja hendak bertapak?

Satu kata, ‘sabar’.

Masih Ingat, Bagaimana Kita Boleh Pandai Berlari?

Selepas lahir, daripada berbaring, kita meniarap. Kemudian, kita mula mengengsot perut. Selepas itu, kita merangkak, bertatih, berjalan, dan akhirnya kita pandai berlari.

Dari Bayi Kita Bermula

Kita bersabar dengan kuat dan bertatih dengan gigih. Bangkit, walau terjatuh berkali-kali. Kita melalui proses itu langkah demi langkah, dengan sabar. Jadi hasilnya hari ini, kita sudah mampu berlari, malah melompat dan memanjat!

Lihat kembali, beberapa pengalaman yang pernah kita sendiri alami. Peristiwa yang terjadi atau keputusan yang terhasil, disebabkan ketidaksabaran dan kegopohan kita dalam melakukan sesuatu dan membuat keputusan.

Apakah yang berlaku kepada perasaan kita pada waktu itu? Adakah kita bermurung, menyesal, dan berfikir… ‘Kalaulah….’?

Contoh. Semasa kecil, ibu meminta kita ke kedai membeli gula. Sebaik ibu memberikan wang, kita terus berdesup keluar kerana sukanya kita pergi ke kedai, walaupun ibu berteriak, “Nanti dulu!”

Tiba di kedai, saat tauke bertanya berapa kilo gula yang mahu dibeli? Kita menggaru kepala, kerana tidak menunggu ibu kita memberitahu maklumat lengkap pembelian gula. Kemudian, kita beli gula sekilo, berdasarkan agakan.

Pulang ke rumah, teruk dileteri ibu kerana dia sebenarnya hendak membuat banyak kuih yang ditempah orang, dan memerlukan tiga kilo gula! Waktu sudah lewat, kedai sudah tutup. Akibat tidak sabar, telinga panas dileteri, dan ibu gagal menyiapkan kuih berdasarkan tempahan.

Kalaulah Begitu & Kalaulah Begini

Hanya disebabkan kita tidak mahu sabar walau sedikit! Lalu kita murung, dan berfikir, “Kalaulah saya menunggu arahan ibu tadi, tentu ibu tidak akan rugi dan dimarahi pelanggannya.”

Guru saya pernah berkata, “Perkataan paling sedih di dunia, bukanlah ‘sedih’, tetapi ‘kalaulah’.”

Budak Yang Merajuk

Kalaulah kita bersabar sedikit. Kalaulah kita tidak gopoh. Kalaulah kita tidak membuat sesuatu keputusan berdasarkan emosi pada waktu itu…, tentu… oh!

Justeru, supaya kekesalan itu tidak berulang, ayuh sama-sama kita tingkatkan tahap kesabaran kita dalam bisnes. Rugi sekarang, tidak bermakna akan rugi selamanya. Tiada job sekarang, mungkin ada job yang lebih baik sedang menanti. Ditipu sekarang, boleh jadi Tuhan sedang menunjukkan kepada kita, siapa kawan dan siapa lawan.

Rujukilah rentetan pengalaman tokoh-tokoh bisnes yang cemerlang di negara kita. Mereka tidak sukses dan kaya raya dalam sekelip mata. Ada antara mereka yang sama seperti kita, mengikat perut bertahun-tahun demi menaikkan bisnes. Kesemua tokoh bisnes ini adalah orang-orang yang sabar, dan hari ini mereka memperoleh nikmatnya!

Berita gembira, apabila kita bersabar. Bukan sahaja Tuhan akan anugerahkan nikmat keuntungan dalam bisnes, malah anugerah pahala bagi mendapatkan nikmat penginapan yang terbaik di syurga!

Tuhan mengikut sangkaan kita. Jika kita bersangka baik kepadaNya, maka baiklah yang akan diberikan kepada kita. Jika kita bersangka buruk kepadaNya, maka buruklah jadinya.

Salam kebahagiaan sampai sorga. Jumpa lagi!

*Kredit gambar yang di ambil dari Flickr (bocavermelha-l.b.Dalla*, Baqir Ali)


Tags: , , , , , , , , , , ,

Komen (29)

  1. Zahari Salleh
    February 14, 2011

    Artikel yang menarik.Ada kalanya saya hilang kesabaran dalam dunia perniagaan ini.Tapi saya berpegang dengan perkataan ‘sabar’.Perkataan inilah yang membakar semangat saya dalam dunia perniagaan.terima kasih

  2. Memang terbaik perkongsian daripada Kak Azzah. Tergelak seorang diri, apabila memikirkan peristiwa yang hampir sama pernah berlaku ketika kecil.

    Sabar… Begitu dalam maknanya… 🙂

  3. Terima kasih Puan Azzah, memang terasa artikel ini 🙂 . Tengah menghadapi saat-saat berTAHAN dan sabar. Jika saya kembali bekerja dengan majikan, bermakna saya akan rugi masa dan wang saya sebelum ini.

    Teringat petikan daripada Billi Lim rasanya – Jika sudah buat pilihan, buat betul-betul. Jika tidak jangan buat pilihan!

  4. Kisah dan perkongsian yang amat menarik.

    Sebuku roti untuk seminggu itu sebenarnya memberi dua pilihan:

    1. Berhenti berniaga dan berputus asa
    2. Gunakan roti itu untuk meneruskan usaha meraih kejayaan

    Yang pasti, Cik Azzah telah mengambil pilihan kedua yang membawa ke tahap sekarang.

    Seperti kata Cik Azzah dalam bukunya, kita ada PILIHAN.

  5. saya adalah salah seorang yang banyak ber’kalau’ tu.. sekarang baru nak bergerak ke era bisnes kraftangan secara part time.. insyallah kejayaan tu pasti ada kalau kita berusaha. trimas dengan entri yang sungguh mencengkam jiwa n

  6. Terima kasih di atas informasi yang diberikan..
    Bila baca entri ni teringat balik bagaimana saya mula mendesak abang saya untuk berniaga setelah di berhentikan kerja akibat kilang tempat beliau bekerja jatuh Bankrup..

    Masa tu saya pun baru sahaja masuk kerja kerajaan dan ingin mendirikan rumah tangga.. Jadi saya buat personal loan untuk majlis perkahwinan saya dan untuk memberi modal bagi abang saya memulakan perniagaan pasar malam.. Sekarang

    Alhamdulillah pada hari ini, abang saya dah jadi peniaga pasar malam secara part time dan dalam masa yang sama bekerja sebagai juruteknik.. 2 income..

    Melihat kejayaan abang saya, saya juga mula mencari peluang perniagaan.. Tetapi disebabkan rutin kehidupan harian yang agak sibuk, saya cuba untuk berniaga melalui internet sahaja..

    Masa peringkat awal nak memulakan perniagaan part time ini kena keluar modal.. Jadi saya telah terguna gaji saya selama sebulan untuk membeli barang dagangan..Maklumlah nak berniaga barangan fizikal..

    Mengamuk isteri saya apabila melihat barang dagangan yang sampai ke rumah.. dan pada bulan tersebut, kami terpaksa mengorek duit tabung dan simpanan untuk menggantikan gaji saya.. 😉

    Lama juga nak cover balik duit modal, disebabkan barang yang saya jual tidak berjaya dijual dengan serta merta.. Walaubagaimanapun sabar.. Saya berpegang kepada prinsip Rezeki tuhan yang beri.. Cuma mungkin cepat atau lambat..

    Barangan yang saya jual akhirnya ada juga pembeli.. Tapi sedikit demi sedikit.. Sampai sekarang pun masih ada lagi stok..

    Walaubagaimanapun syukur alhamdulillah.. sedikit sebanyak barang dagangan saya telah terjual.. Dan dapatlah menampung kembali modal yang telah saya gunakan untuk memulakan perniagaan..

    Tapi kata orang.. Bila dah berjiwa usahawan ni, takkan ada perasaan serik dengan kegagalan yang pernah dilalui.. Nak cuba dan terus mencuba di lain kali begitu membara di sanubari.. Tanpa pengetahuan isteri saya, ada sahaja barangan yang sedang saya aim untuk dibeli dan dijual semula di internet…huhuhu..

  7. berkobar2 ..baca artikel ni… sekarang tgh bertatih menjual di pasar tani… terima kasih atas artikel diatas..

    1. Terima kasih kembali, Tuan bfc1712. Syabas kerana berani berniaga di pasar tani! Saya percaya, bermula dengan berniaga di pasar tani, memberi ekstra pengalaman dalam mempelajari kelakuan pelanggan yang pelbagai 🙂

  8. Artikel yang benar… kalau tak sabar dalam apa saja urusan kita akan mengalami kegagalan… Saya dah merasai betapa peritnya gagal dalam bisnes ni… sekarang saya bekerja dengan majikan dan dengan adanya infomasi melalui laman ni saya berminat untuk kembali berniaga. Ada nikmat yang tersembunyi apabila kita bergelar usahawan… Terimakasih kerana berkongsi pengalaman dan mencetuskan semangat untuk terus sukses…

  9. Tahniah di atas perkongsian menarik Cik Azzah!

    Benar sekali dalam dunia perniagaan, jika kita tidak meletakkan nilai sabar di awalan nescaya kita tidak akan kemana-mana. Sabar dituntut dari segenap sudut terutamanya dalam perniagaan. Moga terus berkongsi ilmu dan pengalaman berharga.

    Selamat Maju Jaya! 🙂

  10. saya baru berjinak2 dalam perniagaan..sememangnya sabar itu adlah salah satu jalan menuju kejayaan..saya yakin rezeki dari Allah .. 🙂

  11. saya sudah 5 bulan berhenti kerja…membuka laman2 web untuk mencari pengalaman2 mereka yang
    telah berjaya dalam bidang perniagaan.Kini masuk 2 bulan saya membuka perniagaan barangan elektrik
    dan perabot rumah.Baru bermula terlalu banyak rintangan yang saya hadapi.Betul2 menduga hati dan
    fikiran.Ramai rakan2 yang asingkan saya…saya tercari cari apa punca sehingga mereka berbuat demikian.
    Tapi saya bersyukur mungkin kerana kehidupan saya selalu saja susah itu jua la yang menguatkan semangat saya,Blog ini mencuri perhatian saya kerana memberi kata semangat yang bernas untuk pembaca seperti saya.Alhamdulillah

Leave a Reply to bfc1712 Batal (Cancel)