Tip Murah Rezeki Dengan Solat Dhuha

November 06, 2013 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Motivasi / Pembangunan Diri

Dalam dunia serba moden ini kita tidak terlepas daripada hidup bermasyarakat. Setiap saat dan ketika kita akan berjumpa dengan rakan mahupun kenalan baru. Penulis ingin berkongsi cebisan cabang ilmu yang berlaku di sekeliling kita sama ada kita sedar mahupun tidak.

Ilmu perniagaan telah lama wujud sejak zaman Nabi Adam sehinggalah zaman keemasan pemerintah Islam yang menggariskan tentang halal haram sesuatu perniagaan di dalam khazanah ilmu yang terdapat di dalam kitab-kitab semasa zaman Abbasiah.

Hatta jika di sorot dengan tinta emas sejarah Islam sekalipun kebanyakan nabi-nabi, para sahabat, ulama muktabar menjadikan berniaga sebagai salah satu cara hidup yang mana bukan sahaja untuk mendapat keuntungan semata-mata akan tetapi sebagai cara untuk belajar cara memperoleh rezeki yang halal tanpa kita meminta sedekah atau melakukan jenayah seperti mencuri, merompak atau sebagainya.

Pada zaman milenium atau zaman gajet canggih ini kita telah hilang ‘aura’ untuk berniaga hanya kerana kita sering dimomokkan yang berniaga ini hanya untuk mereka yang terdesak untuk dapatkan kewangan atau sesuai untuk mereka yang sudah pencen kerja kerajaan bagi memenuhi masa terluang yang ada. Pemikiran seperti ini menjadi virus minda yang perlu dijauhi kerana kadang kala ia boleh merosakkan minat atau usaha untuk berdikari.

Marilah kita belajar cara orang Cina berniaga, mungkin ada yang tidak setuju dengan apa yang penulis syorkan namun sebagai manusia yang berakal, tiada istilah malu untuk belajar sesuatu perkara yang baru. Semangat yang ada pada orang Cina harus kita contohi kerana di situ terdapat perkara yang dapat kita sematkan dalam diri kita. Di sini suka penulis gariskan beberapa poin kecil sebagai pencerah minda untuk pembaca yang budiman.

1) Persepsi Terhadap Perniagaan

Ini merupakan kunci utama yang harus kita ketahui dan persoalan yang harus difikirkan. Fikirkan tujuan kita menceburkan diri dalam perniagaan, apa matlamat utama yang harus dikejar dalam berniaga, adakah berniaga ini memberi jaminan hidup kepada masa depan kita? Paling utama ialah daya tahan kita dalam persaingan perniagaan yang memerlukan kreativiti, semangat bekerjasama serta tidak tamak atas laba di depan mata.

Dalam hal sedemikian, penulis melihat orang Cina ada sikap yang disebutkan. Mereka melihat objektif utama setiap perniagaan yang diceburi. Mereka menjadikan sektor perniagaan sebagai pekerjaan utama dan mereka telah mendidik anak-anak mereka tentang ilmu berniaga walaupun di bangku sekolah lagi. Tidak hairanlah sekiranya masyarakat kita khususnya yang beragama Islam ‘layu’ apabila melihat orang Cina menguasai perniagaan hanya kerana kita takut untuk bersaing secara sihat. Stigma ini yang harus diubah.

2) Kekuatan Usaha

Usaha yang berterusan, tidak mudah putus asa, belajar daripada kesilapan. Tiga elemen ini merupakan ubat yang perlu ada bagi setiap individu mahupun masyarakat dalam berniaga. Penulis ada satu kisah yang ingin dikongsi ketika penulis belajar di Timur Tengah, negara yang mendapat jolokan kiblat ilmu iaitu negara Mesir.

Bagaimana usaha dan sikap ingin memajukan perniagaan terdapat dalam diri pelajar-pelajar dari negara China yang belajar di sana, mereka mengetepikan sikap malu dan mereka menebalkan muka di tengah-tengah kota Kaherah.

Dihimpit dengan masyarakat Arab yang pelbagai warna-warni kehidupan, pelajar-pelajar dari China ini menjual kad isi semula prabayar dan telefon bimbit. Lihatlah bagaimana mereka menembus ekonomi negara yang asing bagi mereka dari sudut bahasa, budaya, akidah, mahu pun sosioekonomi.

Mereka ‘berhijrah’ dari negara Tembok Besar China ke negara piramid Giza, kedua-duanya termasuk dalam 7 keajaiban dunia. Lihat kepada usaha dan kecekalan orang Cina dalam memajukan usaha untuk berniaga tidak kira walau di mana mereka berada.

3) Berani Keluar Dari Zon Selesa

Setiap penat lelah kita, pengorbanan masa, pengorbanan wang ringgit akan lebih berbaloi andai segala usaha kita menghasilkan kejayaan dan secara tak langsung memberi kepuasan pada diri kita sendiri. Ini merupakan hadiah buat diri kita setelah 24 jam menghabiskan masa untuk memajukan perniagaan.

Apa yang dapat penulis perhatikan ialah sikap berpuas hati atau bahasa lunaknya zon selesa boleh jadi madu buat kita atau sebaliknya. Ini kerana setiap hari aliran modal atau tunai mengalir, permintaan dan penawaran barang boleh jadi naik atau sebaliknya dan yang utama–membayar hutang pinjaman perniagaan.

Dalam hal ini masyarakat cina ada menubuhkan dewan perniagaan mereka sendiri, mereka ada sistem jaringan perniagaan yang rapat, mereka ada sikap ingin membantu bangsa mereka sendiri tanpa prejudis politik, taraf keturunan, bagaimanakah hal ini terjadi? Ini kerana mereka tidak ada sikap PHD (perasaan hasad dengki) kerana mereka jelas dan tahu bahawa matlamat dan tujuan berniaga, oleh itu mereka saling membantu sesama bangsa mereka.

4) Rezeki Itu Ada

Perkataan rezeki berasal daripada bahasa Arab yang mana ada disebut dalam nama-nama Allah (Asmaul Husna). Di sinilah terdapat keadilan Allah dalam membahagikan rezeki kepada hamba-Nya di muka bumi, sesiapa yang berusaha dia akan dapat habuannya.

Kita jangan marah sekiranya kita tidak berjaya dalam perniagaan. Kita jangan kecewa andai usaha kita gagal dalam perniagaan. Ini kerana kebanyakan mereka yang telah berjaya dalam perniagaan ialah mereka yang pernah gagal dalam perniagaan, yang pernah ditipu dalam berniaga.

Terima ia sebagai ramuan untuk kita menghadamkan segala ‘rencah’ untuk kita bersedia dalam selok-belok perniagaan. Ini adat dunia perniagaan yang perlu dihadapi tanpa mengira status, bangsa dan latar belakang peniaga.

Daripada apa yang penulis huraikan serba ringkas tentang hubung kait solat sunat Dhuha dengan perniagaan Cina, kita sebagai orang Islam patut berbangga kerana kita ada kunci ilmu tentang berniaga yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w 1434 hijrah yang lepas.

WaktuDhuhaBerniaga

Dalam amalan sunat yang kita kerjakan setiap hari, kita mungkin terlepas pandang tentang amalan solat sunat Dhuha yang mana menjadi sunnah Rasulullah s.a.w. Amalan ini merupakan ‘modul’ wajib bagi setiap ahli perniagaan atau usahawan supaya rajin sujud kepada pencipta sekalian alam agar kita rajin untuk berdoa meminta kepada Allah SWT.

Mengapa hal ini patut menjadi ‘modul’?  Tidak cukupkah dengan kursus yang dianjurkan oleh agensi kerajaan, agensi swasta, nasihat pakar ekonomi, kawan-kawan sekeliling?

Semua yang disebutkan itu lebih daripada mencukupi cuma tidak cukup ‘garam’ untuk melazatkan makanan yang ada. Begitulah fungsi solat sunat Dhuha-ia sebagai garam untuk memasinkan makanan setelah cukup bahan masakan seperti kursus berniaga, nasihat dan sebagainya. Itulah keajaiban yang ada dalam hukum syarak sesungguhnya Dia tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Tip Mahal Tersedia Percuma

Tidak lupa juga tentang kelebihan surah Al-Waqiah. Surah yang mengandungi 96 ayat dan diturunkan di Mekah. Sehingga surah ini menjadi wasiat kepada anak-anak Sayidina ibnu Mas’ud ketika beliau hampir meninggal dunia supaya membaca surah ini.

Inilah khazanah ilmu yang harus digali dan dikaji mengapa hukum syarak menyuruh kita melaksanakan amalan sunat yang dua ini. Kedua-dua amalan ini tersedia dalam kitab panduan Al-Quran. Tidak perlu bayaran untuk mendapatkannya.

Kelebihan Amalan Solat Sunat Dhuha dan Surah Al-Waqiah:

  • Dimurahkan rezeki
  • Tidak akan miskin selamanya
  • Diampunkan dosa biarpun banyak seperti buih di lautan
  • Di akhirat kelak akan diseru oleh malaikat untuk mereka yang solat Dhuha
  • Di khususkan untuk mereka sebuah pintu yang bernama ‘Dhuha’ (Maksud hadis Rasullah s.a.w – Riwayat At-Tabrani)

Impak Luar Biasa

Apa yang penulis dapat simpulkan ialah ilmu perniagaan ini merupakan cabang rezeki yang menjadi sunnah Nabi. Lihatlah kisah Rasullah s.a.w yang berniaga di bumi Syam dengan menjual barang niaga Saiditina Khatijah yang membawa kepada keuntungan yang berlipat ganda.

Lihat bagaimana dengan mengamalkan sunah-sunah perniagaan gaya Rasulullah s.a.w dan meletakkan sepenuh tawakal kepada Allah SWT, impak luar biasa ‘hinggap’ pada perniagaan yang di usahakan, insya’Allah.

Jadikan perniagaan sebagai satu cabang rezeki, kerana 9/10 rezeki itu datang daripada perniagaan. Elak meletakkan andaian bahawa berniaga ini untuk kaum tertentu, untuk golongan bijak pandai, untuk memenuhi keperluan pasaran semata-mata. Jadi seorang individu yang bermatlamat supaya kita tidak rugi pada masa hadapan.

Hikmah itu ialah barang yang tercicir, barang siapa yang mendapat akan ia maka akan menjadi hak atau kepunyaan dia (orang Islam).

Kredit foto: aishahrazak44762522 


Tags: , , , , , , , , , , , ,

Komen (10)

  1. Perniagaan mendekatkan diri kepada Maha Pencipta. Sholat Dhuha salah satu medium mendekatkan diri pada Dia, bilamana kita begitu berharap pada Dia.
    Bila kita dekat pada Allah, maka rezki juga mudah dekat pada kita.

Pendapat anda?