Enjin Carian – Lautan Prospek Yang Dipandang Sepi

July 31, 2013 — Penulis:

Kategori: Pemasaran / Strategi Online & Offline

Assalamualaikum & salam sejahtera.

Ini adalah artikel pertama saya di MajalahNiaga.com. Sebelum kita pergi lebih mendalam, izinkan saya memperkenalkan diri terlebih dahulu.

Saya dikenali di Internet sebagai Amirul Faisyal, itu nama pena dan juga nama sebenar saya. Masuk tahun 2013 ini genap sudah 7 tahun saya berkecimpung di dalam aktiviti pemasaran digital ini.

Dan buat masa sekarang, selain bertugas sebagai SEM Specialist untuk sebuah syarikat pelancongan online terbesar di dunia, saya juga menjadi pengasas serta penulis di ProspekDigital.com, sebuah laman web yang memfokuskan kepada ilmu pemasaran enjin carian (SEO & SEM).

Alhamdulillah, pada tahun 2013 ini, industri perniagaan dalam talian (atau perniagaan Internet) ini sudah semakin maju dan berkembang.

Berbeza dengan 7 tahun sebelumnya, rakyat Malaysia kini lebih yakin untuk melakukan pembelian dalam talian sekaligus ianya menjadi penyumbang utama berkembangnya industri perniagaan Internet ini.

Potensi Enjin Carian Sebagai Medium Mendapatkan Prospek

Bagi pemilik bisnes & peniaga online, saluran media sosial (terutamanya Facebook) menjadi salah satu medium utama untuk mereka mendapatkan prospek dan pelanggan untuk produk ย atau perkhidmatan mereka.

Sama ada percuma atau berbayar, Facebook dilihat sebagai platform yang terbaik untuk menghasilkan jualan serta mendapatkan prospek untuk apa jua produk yang diniagakan tidak kiralah produk kesihatan atau sebagainya.

Namun, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa selain daripada media sosial ini, terdapat juga satu lagi medium pemasaran online yang mampu memberikan pulangan yang besar jika benar-benar dilakukan dengan betul.

Medium yang dimaksudkan adalah enjin carian.

115 Billion Carian Dibuat di Google Pada Bulan Disember 2012

Statistik ini mungkin agak ‘outdated’, tetapi angka ini menunjukkan betapa besarnya potensi sedia ada di enjin carian.

jumlah carian disember 2012

Kredit:ย Statista.com

Secara umumnya, carian yang dibuat di enjin carian adalah menjurus kepada pencarian berkenaan sesuatu maklumat untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Terdapat beberapa kategori carian yang dibuat di enjin carian, saya akan sentuh lebih mendalam mengenainya pada artikel akan datang.

Enjin Carian Adalah “Jambatan” Antara Masalah & Solusinya

Jika anda demam, perkara pertama yang anda buat adalah berjumpa dengan doktor dan anda akan diberikan ubat-ubatan dengan harapan ia akan menyembuhkan demam anda (dengan izin Allah S.W.T).

Analogi enjin carian pula ialah, anda (pesakit) adalah prospek yang menggunakan enjin carian (doktor) untuk mendapatkan penyelesaian kepada masalah anda (ubat). Ini adalah analogi yang paling ringkas untuk menggambarkan peranan enjin carian di dalam situasi seharian kita.

Perlu Rajin Bertanya Kepada “Pakcik Google”

Terma ‘pakcik Google’ ini pertama kali saya dengar adalah pada tahun 2006, dimana ia digunakan untuk menggambarkan enjin carian Google sebagai seorang ‘pakcik serba tahu’, sehingga ia boleh menyelesaikan apa jua masalah yang hadir dalam hidup kita.

“Ada masalah dengan perisian di dalam laptop? Tanyalah pakcik Google!”

Itu adalah contoh jawapan yang akan keluar dari mulut rakan-rakan bila kita bertanyakan sesuatu soalan kepada mereka (lebih-lebih lagi di forum Internet).

Oleh sebab itulah, enjin carian semakin hari menjadi saluran utama bagi rujukan untuk mendapatkan jawapan kepada sesuatu persoalan, saluran yang terbukti telah mampu memberi penyelesaian kepada 1001 masalah (lebih tepat, billion!) yang telah ditaip di laman mereka.

Enjin Carian – Lautan Prospek Yang Dipandang Sepi

Hakikatnya, di Malaysia, lebih-lebih lagi di dalam pasaran berbahasa Melayu, enjin carian ini masih tidak mendapat perhatian yang secukupnya oleh pemilik bisnes serta peniaga online untuk menjadikannya sebagai salah satu medium pemasaran produk mereka.

Salah satu faktor yang saya lihat adalah kurangnya maklumat bagi memberi kesedaran akan potensi enjin carian ini.

Maka oleh yang demikian, lahirlah artikel pertama ini, dan insyaAllah ia akan menjadi batu loncatan untuk saya terus menulis serta berkongsi maklumat berkenaan pemasaran enjin carian ini, supaya satu hari nanti tuan puan akan menjadikan medium ini sebagai saluran utama untuk mendapatkan prospek dan pelanggan bagi bisnes tuan puan.

InsyaAllah pada artikel-artikel yang seterusnya, kita akan pergi lebih mendalam mengenai enjin carian dan bagaimana anda boleh memanfaatkan peluang-peluang yang terhidang darinya untuk mendapatkan prospek berkualiti kepada bisnes anda.


Tags: , , , , , , , , , , ,

Komen (16)

  1. Kuasa enjin carian semakin mendapat tempat. Lihat sahaja orang-orang disekeliling kita. Apabila mahu mencari sesuatu, Google menjadi pilihan. Begitu juga apabila mahu mencari maklumat dan membeli produk, pasti akan bertanya kepada ‘Pakcik Google’ ini untuk mendapatkan ‘best recommendation’ sebelum membeli sesuatu.

    Tahniah tuan di atas artikel ini. Kami menanti artikel seterusnya daripada tuan!

    1. Setuju tuan Zulhilmi, enjin carian, lebih-lebih lagi Google memang ada dimana-mana, samada di platform laptop/desktop mahupun telefon pintar. Jadi segalanya menjadi mudah, nak tahu apa saja, buat saja carian di Google.

      Terima kasih tuan, insyaAllah lepas ni akan tiba lagi artikel-artikel dari saya. ๐Ÿ™‚

      1. Tuan Amirul Faisyal… saya tunggu artikel dan tips tuan tentang SEO. Banyak benda yang saya telah buat berkaitan SEO ni tapi nampak macam tak menjadi, kalau adapun mungkin secara kebetulan. Banyak saya baca tetang SEO ni sehinggakan jumlah keywords, kepadatan keywords, susunan keywords dan kedudukan keywords pada website kitapun diambil kira. Entah betul ke atau tidak, sayapun tak pasti.

        1. Tuan Ajik, SEO bukan hanya berkaitan dengan kepadatan keywords, susunan keywords.

          SEO juga berkait dengan ‘user satisfaction’. Di akhirnya, pelawat atau prospek yang melawat laman web kita perlu ditukar menjadi pelanggan.

          Cuba tuan kaji balik strategi & taktik SEO yang tuan buat, adakah ianya bertujuan untuk membuatkan Google suka, atau membuatkan prospek/pelawat laman web tuan suka?

  2. saya salah seorang yg baru menceburkan diri utk belajar SEO ni. Tapi masih lagi belum dapat ranking. Mungkin ini juga punca ramai give up. Tapi saya percaya dgn mentor yg betul kita boleh berjaya. Cuma cepat atau lambat sahaja lah.

    1. Tuan Zen,

      SEO adalah ‘long term game’, ramai give up sebab mindset nak cepat dapat hasil digunapakai dalam melakukan aktiviti SEO.

      Kalau tuan nak yang cepat, boleh guna AdWords, sebab dari AdWords kita boleh dapatkan katakunci (keywords) yang betul-betul membawa sales atau conversion kepada produk atau servis yang kita jual.

      1. betul… semalam baru saya belajar pasal SEO.. tapi hari ni dah nk give up sebab sy tak nampak hasil.. mungkin kerana saya expect terlalu cepat..

        terima kasih tuan kerana memberi ilmu melalui article ni.. baru saya tau SEO ni adalah long term investment..

        1. Tuan Aidil, memang benar, SEO ni kalau pertama kali belajar, memang rasa nak cepat give up, sebab nampak banyak benda nak kena buat.

          Tapi SEO ini bukanlah jenis buat sekali hasil berkali-kali (melainkan di dalam industri yang masih tidak kompetitif), SEO perlukan aktiviti optimasi yang konsisten, sama seperti pemasaran yang lain.

  3. Setuju dengan penulis. Zaman sudah berubah, sekarang ramai yang lebih suka membeli-belah secara online.
    Saya sendiri pun mengutamakan pembelian atas talian berbanding cara konvensional. Ianya lebih menjimatkan masa & wang kita.
    Setiap kali nak membeli, saya akan buat kajian mengenai produk dulu… caranya: tanya Pak Cik Google!

Pendapat anda?