Facebook Group – Alat Yakinkan Pelanggan Laju-laju

October 24, 2012 — Penulis:

Kategori: Pemasaran / Penjenamaan

Facebook adalah medium yang membuatkan rezeki orang bisnes di Malaysia mencanak-canak naiknya. Satu daripada alat efektif laman sosial ini yang dapat digunakan untuk merapatkan hubungan dengan pelanggan adalah Facebook Group.

Facebook Group Untuk Bisnes

Dalam perniagaan, bantuan sokongan adalah elemen yang dapat membuatkan para pelanggan menghebahkan bisnes kita secara sukarela. Ini yang menyebabkan syarikat gergasi seperti Virgin (miliki Richard Branson) menguatkan pasukan bantuan pelanggan mereka.

Kerana beliau percaya, apabila pelanggan berpuas hati, mereka bukan sahaja akan terus membeli. Malah mereka akan menceritakan kebaikan berurusan dengan bisnes kita kepada kaum kenalannya.

Realiti Facebook Group Untuk Usahawan

Satu cara untuk merealisasikannya dengan kos yang rendah adalah menerusi ruangan Facebook Group.

Medium ini dapat dijadikan tempat untuk menghimpunkan bakal pelanggan dan pelanggan sedia ada. Tujuan utama adalah memberikan sebarang pertolongan atau bantuan (customer support), sekiranya mereka menghadapi beberapa situasi seperti:

  • Pertanyaan tentang produk.
  • Pertanyaan tentang masalah.
  • Berkongsi pandangan dan citarasa tentang bisnes kita.

Strategi ini sesuai digunakan untuk bisnes yang masih segar. Apabila kita mempunyai Facebook Group privasi khas untuk para pelanggan, kita sebenarnya telah membina satu komuniti berduit yang eksklusif.

Komuniti berduit adalah bulatan kenalan yang sentiasa bersiap sedia untuk membeli sebarang produk atau servis yang ditawarkan oleh bisnes kita. Dalam Facebook Group itu, kita boleh menjual apa sahaja produk dan servis selagi mana ia tidak membuatkan para rakan komuniti meluat.

Caranya adalah seperti berikut:

  • Nama biar berjenama.
  • Kongsi apa manusia suka.
  • Hargai pengorbanan komuniti.

Nama Biar Berjenama

Gunakan nama grup yang mencerminkan kualiti bisnes. Contohnya Abu Bakar Eley (bukan nama sebenar) mempunyai perniagaan menjual pencuci muka untuk wanita. Maka nama Facebook Group yang mempunyai elemen eksklusiviti adalah seperti:

  • ABB Beauty Mall.
  • Cantik Seperti Bidadari.
  • Rahsia Kecantikan Wajah Wanita.

Grup yang menggunakan nama syarikat seperti XYZ Trading Sdn Bhd dan sebagainya kurang sesuai. Di Facebook, kita ingin mewujudkan perbualan, kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan komuniti terlebih dahulu.

Aktiviti membina kredibiliti adalah aktiviti utama dan pertama. Manakala aktiviti jualan adalah aktiviti kedua.

Kongsi Apa Manusia Suka

Jangan sekadar berikan tip yang sudah biasa didengari oleh majoriti masyarakat. Belajar cara untuk mengolah maklumat lama menjadi maklumat baru. Gunakan tajuk yang menyentap dan dekat di hati para rakan komuniti.

Pelanggan Bahagia

Untuk bisnes produk mencuci muka khas untuk wanita, antara olahan maklumat lama kepada maklumat baru adalah seperti berikut:

  • Cara hilangkan jerawat (maklumat lama).
  • Rahsia ghaibkan bintik merah di muka (maklumat baru).

Psikologi manusia memang suka pada maklumat-maklumat baru walaupun mesejnya tetap kekal sama.

Hargai Pengorbanan Komuniti

Berusaha untuk jawab setiap soalan yang diajukan. Berikan respon pada rakan komuniti di Facebook Group seberapa pantas yang mungkin. Jika kita mempunyai sedikit modal, berikan hadiah kepada mereka.

Buat mereka suka dan obses dengan grup kita. Kelak itu yang akan mendorong kepada magnet tarikan pelanggan yang lebih ramai secara natural. Antara cara untuk menghargai rakan komuniti adalah seperti berikut:

  • Berikan produk percuma (sampel) untuk beberapa orang sahaja.
  • Adakan aktiviti di dalam grup atau di luar grup secara konsisten.
  • Buat sesi Q&A (Question & Answer). Di mana kita menjawab pertanyaan tertentu daripada rakan komuniti.

Facebook Group sebenarnya bukan medium murahan. Ia adalah aset bernilai jutaan ringgit dari sudut bisnes apabila digunakan dengan cara yang optimum. Jadikan Facebook Group sebagai medan untuk membina hubungan yang akrab dengan pelanggan kita.

Kredit: Frankjkenny, VIPDesk.


Komen (1)

Pendapat anda?