ISI KANDUNGAN
Mungkin benar bahawa kebanyakan pekerja tidak akan mengambil berat tentang syarikat atau tanggungjawab di syarikat dengan bersungguh-sungguh seperti mana yang majikan lakukan untuk membina perniagaan.
Namun banyak yang boleh dilakukan untuk meningkatkan tahap komitmen pekerja dan memberi inspirasi kepada mereka untuk mencapai kecemerlangan. Anda boleh menetapkan pelbagai peraturan seperti hadir tepat pada waktunya, menuntut pekerja melakukan tugasan lebih masa dan meminta mereka melakukan perkara-perkara yang mampu merangsang motivasi kerja mereka.
Namun, komitmen sebenar tidak hadir daripada rasa ‘terpaksa’ dan ‘perlu’ mengikut peraturan di atas kertas. Komitmen yang cemerlang datang dengan sendiri tanpa dipaksa. Dalam situasi ini, dua ikon yang layak di jadikan contoh ialah mendiang John F. Kennedy, pemimpin dan presiden hebat Amerika Syarikat yang ke-35 dan Lee Iacocca, CEO dan presiden kepada syarikat permotoran unggul, Chrysler Corporation.
Contohi Pemimpin Berwibawa
Bagaimana pemimpin yang hebat seperti ini memberi inspirasi kepada orang lain untuk mencapai matlamat mereka? Mereka bukan sahaja memiliki personaliti yang berkarisma. Apa yang mereka lakukan ialah menyampaikan wawasan mereka dengan tegas sehingga orang lain turut merasa tempias lalu menerimanya sebagai wawasan mereka sendiri.
Sebagai contoh, pada awal tahun 60-an, Presiden Kennedy menetapkan matlamat beliau untuk menghantar manusia pertama ke bulan dan dengan yakin memberitahu rakyat Amerika, “Kita boleh melakukannya!”
Apabila di wawancara dan ditanya mengenai keyakinan beliau yang terlalu tinggi itu, beliau menyatakan bahawa apabila seorang pemimpin yakin dan tegas dengan apa yang mahu dilakukan, maka ramai orang akan mempercayai bahawa satu-satu matlamat itu tidak mustahil dan mampu di capai.
Justeru, mereka mula memberi komitmen dan melakukan perkara yang menjurus ke arah mencapai matlamat tersebut. Oleh sebab itu lah Amerika Syarikat berjaya menghantar angkasawan mereka ke bulan sekaligus mencipta sejarah sebagai negara pertama yang berbuat demikian.
Syarikat Bermasalah; Selesaikan atau Menambah Masalah?
Lee Iaccoca pula melangkah ke syarikat Chrysler Corporation yang bermasalah dan berkata, “Kami akan menjadikan syarikat ini berbeza 100% dengan yang ada sekarang!”
Dengan matlamat yang jelas beserta pelan tindakan, keyakinan serta usaha yang kuat, beliau berjaya mempengaruhi Kongres A.S untuk memberi pinjaman dengan jumlah paling besar yang pernah dipinjamkan kepada sebuah syarikat swasta.
Setelah itu, beliau mula mengatur langkah merancang dan memberi motivasi kepada para pekerja untuk sama-sama bekerja keras dengan beliau agar pinjaman tersebut dapat dilunaskan. Akhirnya, Chrysler Corporation berjaya membayar semula pinjaman tersebut lebih awal daripada yang dijadualkan!
Formula Memotivasi Pekerja
Inilah formula untuk mana-mana pemimpin/majikan untuk memberi inspirasi kepada komitmen pekerja – matlamat yang jelas, pelan tindakan, keyakinan yang kukuh serta berganding bahu dengan para pekerja.
Jika majikan mempunyai komunikasi dua hala yang baik dan sihat dengan para pekerja serta menunjukkan kesediaan untuk sama-sama melakukan kerja dan menyelesaikan isu-isu berbangkit di syarikat, ketahuilah bahawa ia satu motivasi yang lebih baik daripada menjanjikan bonus 3 bulan gaji kepada para pekerja.
Majikan mungkin terpaksa melupuskan peraturan hitam putih terhadap pekerja apabila pekerja menunjukkan komitmen dan kerjasama yang tidak berbelah bagi kepada majikan dan syarikat. Ia tidak mustahil untuk dilaksanakan. Ambillah teladan daripada kisah-kisah kejayaan pemimpin hebat tetapi masih merendah diri serta dekat dengan pekerja dan masyarakat.
“Ask not what your country can do for you, ask what you can do for your country.” – John F. Kennedy
Salam kejayaan!
terima kasih..
teruja saya bila membaca info di atas,aura positif akan terlekat pada org di sekeliling kita ,terima kasih info
Pemimpin harus menjadi tauladan bagi yang dipimpin