Istidraj Dalam Perniagaan

March 05, 2014 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Konvensional / Perniagaan

Kehidupan bermula sebaik saja kita celik mata dari tidur, kita diperintah menunaikan kewajiban pertama iaitu solat Subuh yang wajib kita laksanakan kerana ia sebahagian daripada rukun Islam. Seterusnya bermulalah aktiviti mencari rezeki sebagaimana yang dituntut oleh syariat.

Seringkali kita mendengar kisah hidup individu-individu yang berjaya. Kita turut berusaha sedaya upaya untuk mengikuti langkah dan pantang larang kerana ingin berjaya seperti mereka di luar sana. Ini merupakan motivasi dan langkah awal perubahan dalam diri masing-masing.

Namun pernahkah kita mendengar seseorang itu memperolehi laba atau keuntungan melimpah ruah hasil dari perniagaan tetapi dalam masa yang sama melakukan maksiat kepada Allah? Sebaliknya orang yang taat kepada Allah sering menemui kegagalan dalam perniagaan atau apa-apa yang diusahakannya.

Istidraj Harta

Kali ini penulis ingin kongsikan sedikit ilmu sebagai nilai tambah dalam diri kita. Tahukah anda apa itu istidraj? Istidraj ialah kurniaan Allah Taala kepada manusia yang mana pemberian itu sebenarnya tidak diredhai oleh-Nya. Umpama kita memberi sesuatu kepada rakan tetapi kita tidak redha dan benci kepada rakan kita.

Bagi sebahagian daripada kita, perkara ini seolah-olah tidak memberi kesan kepada diri. Ini kerana mentaliti kita mengatakan bahawa segala titik peluh dan keuntungan adalah atas usaha sendiri sedangkan kekayaan hanyalah bersifat sementara.

Mari kita selak lembaran al-Quran surah al-Qasas ayat 76 yang bermaksud;

“Sesungguhnya Qarun termasuk di kalangan kaum Nabi Musa tetapi dia berlaku zalim terhadap mereka dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta dan kunci-kunci yang berat dipikul oleh sejumlah orang-orang yang kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya “Janganlah engkau terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang membanggakan diri.”

Bagaimana pula sikap kita dalam hal ini? Kisah Qarun ini sebagai kayu ukur dalam diri kita supaya bersyukur dan menganggap bahawa harta itu sebagai “pegangan ekuiti sementara” — bila-bila masa boleh ditarik balik.

Inilah dunia dan manusia yang diuji dengan istidraj akan dikurniakan dengan bermacam-macam kenikmatan dunia baik daripada segi pangkat, kekayaan, gelaran, pengiktirafan mahupun sanjungan.

Mereka menyangka Allah memberi mereka segalanya walhal itu adalah pemberian yang mana sebagai ‘denda’ atas keingkaran mereka kepada perintah Allah dan seterusnya mereka terpedaya dengan kesenangan yang diperolehi.

Sabda Rasullah saw yang bermaksud,

“Apabila kamu melihat Allah memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu berbuat maksiat, ketahuilah bahawa orang itu telah menerima istidraj daripada Allah.” (Riwayat Ahmad, at-Tabrani dan Baihaqi)

Inilah intipati khazanah ilmu yang harus dihayati dalam membuat perubahan dalam diri. Semak semula perjalanan pencarian rezeki kita, sama ada menurut tuntutan syariat ataupun sebaliknya.  Tepuk dada, tanyalah iman kita.

Di zaman moden ini, masyarakat kita dihidangkan dengan pelbagai kemudahan teknologi maklumat, disamping perkembangan gaya perniagaan yang menggalakkan pencarian rezeki dengan cara pantas. Tidak salah mencari kekayaan kerana ada di antara para sahabat nabi, ulamak dan tabiin yang kaya raya.

Rumah Mewah

Persoalannya sama ada cara yang di guna pakai itu apakah di redhai Allah atau pun tidak? Bagaimana pula dengan amal ibadah kita? Apakah kita berjaya menunaikan solat 5 waktu pada masanya atau adakah kita berjaya ‘menghadam’ segala ilmu feqah sebagai asas kita dalam menjalani kehidupan yang ada pasang surutnya.

Ramai di kalangan kita berjaya dalam pelbagai aspek kehidupan. Namun, pada masa yang sama melanggar dan mengabaikan segala uang diperintahkan Allah akibat tamak mengejar apa yang diingini. Inilah penyakit yang menimpa masayarakat kini tanpa kita sedari.

Firman Allah taala dalam surah at-Takasur ayat 1 hingga 3 yang bermaksud,

“Bermegah-megah telah melalaikan kamu, (1) Sampai kamu masuk ke dalam kubur, (2) Janganlah begitu! Kelak kamu akan mengetahui akibat daripada perbuatan kamu (3).”

Berapa ramai dikalangan kita terlepas pandang akan hal ini tetapi al-Quran telah mengingatkan kita sejak 1400 tahun yang lalu.

Inilah dunia yang dihamparkan oleh pencipta kita untuk hamba-hamba-Nya. Istidraj bukan sahaja boleh berlaku kepada hamba-Nya yang tidak beriman dengan Allah, malah ia juga boleh berlaku ke atas hamba-hambaNya yang dekat dengan-Nya.

Firman Allah Taala yang bermaksud,

“Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan) dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” – Surah al-Qalam ayat 44.

Adalah menjadi kewajiban kita supaya mensyukuri nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita, baik sekecil-kecil perkara mahupun kepada yang besar. Janganlah kita persia setiap nikmat yang diterima dengan perlakuan yang mengundang kemurkaan Allah.

Ambillah pelajaran dari kisah Nabi Sulaiman alaihi salam yang mana segala nikmat, kekuasaan pemerintahan terletak di tangan baginda hatta golongan jin boleh tunduk pada baginda, namun baginda tetap bersyukur dan menganggap segala kurniaan sebagai ujian kepada baginda.

Dalam kehidupan ini juga, Islam telah menggariskan mana yang halal dan mana yang haram. Bagi yang sedang di uji oleh Allah dengan kesempitan mahupun kesusahan dalam membangunkan sebuah perniagaan, yakinlah bahawa nikmat Allah itu datang dalam pelbagai bentuk. Sesungguhnya Dia amat mengetahui mana yang terbaik untuk hambaNya.

Firman Allah taala dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud,

“Dan kami akan mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikan khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Inilah lumrah kehidupan dunia, adakalanya kita berada dalam keadaan selesa dan begitulah sebaliknya. Ini semua telah diatur siap oleh Allah taala supaya kita berfikir tentang sesuatu hikmah dan hubung kait dengan kepercayaan kita (rukun iman).

Syukur

Inilah perbezaan antara istidraj dan nikmat yang mana kita sering kali tertipu, adakalanya kita anggap benda tu nikmat sedangkan ia merupakan istidraj kepada diri kita. Begitu juga kita menganggap benda itu istidraj akan tetapi kerana kita kurang ilmu maka kita terlepas peluang atau nikmat yang dikurniakan.

Apa pun, kita bermuhasabah dalam diri kita sejauh mana penguasaan imu fardhu ain mahupun fardhu kifayah. Hal ini kerana dengan ilmu kita akan mengenal pencipta kita dan mengkaji siapa musuh kita (syaitan).

Apa pun yang kita lakukan didalam dunia ini baik benda yang baik mahupun yang tidak baik ingatlah bahawa semuanya akan dibalas. Ujian dan dugaan itu sudah menjadi sunatullah kepada kita semua. Nikmat dan habuan pula sebagai kayu ukur kita dalam  menjalani kehidupan seharian adakah kita bersyukur atau sebaliknya.

Penulis harap dengan pencerahan ilmu ini dapatlah kita memperbaiki diri kita, hanya dengan ilmu kita akan menilai antara kaca dan permata. Semuanya berbalik atas diri kita sendiri.

“Dan ingatlah ketika tuhanmu memperingatkan “Sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan menambahkan nikmat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu) pasti azab Ku amatlah pedih.”

Kredit foto: c7fchuuiaQY25363911641332gratitude


Tags: , , , , ,

Komen (2)

  1. norazah mohamad aman
    March 17, 2014

    terima kasih kepada majalah niaga….
    setiap pagi saya sebelum buat kerja, saya selalu membaca apa saja dari majalah niaga…
    majalah niaga membuat saya selalu berfikir akan diri kita yang lalai dalam menjalani kehidupan harian … apa2 saja… kt terlupa niklmat allah bagi pd kt hari2 (cth: bernafas, berkata2, bergerak dll)
    SYABAS !!! Majalah Niaga…
    skrg saya selalu berfikir positif & bersangka baik kpd allah (amalkan istighfar )

Pendapat anda?