Isu Bayaran Cukai: Puaka 30 April?

April 10, 2013 — Penulis:

Kategori: Kewangan / Pengurusan Kewangan

30 April..

Tarikh itu merupakan satu tarikh keramat yang amat digeruni oleh sebilangan rakyat Malaysia pada setiap tahun.

isu bayaran cukai

Ini kerana tarikh tersebut merupakan tarikh akhir untuk mengisi dan menghantar borang cukai pendapatan bagi para pekerja yang tidak mempunyai punca pendapatan. Maka,  pengisian borang dan pentaksiran seharusnya sudah pun bermula.

Bagi pelabur hartanah, selain daripada gaji bulanan dan lain-lain pendapatan, pendapatan pasif yang diperolehi dari pelaburan juga perlu diisytiharkan.  Ini termasuklah semua pendapatan dari wang sewa rumah yang dimiliki.

Pendapatan sewa perlu disytiharkan sekiranya hartanah berkenaan berada di dalam Malaysia, tanpa perlu mengira sama ada pemiliknya menetap di Malaysia atau tidak. Manakala pendapatan sewa daripada hartanah-hartanah di luar Malaysia pula tidak tertakluk kepada taksiran cukai biarpun ia diterima atau dibayar di dalam Malaysia.

bayaran cukai tanah

Taksiran pendapatan sewa pula adalah berdasarkan kepada tarikh bayaran sewa tersebut dibuat. Namun begitu, pengiraan dan pentaksirannya hanya perlu dilakukan apabila wang sewa itu benar-benar diterima.

Sebagai contoh, katakan penyewa tersebut gagal membayar sewa pada bulan Oktober 2012 hingga Disember 2012 tepat pada masanya. Pemilik hanya menerima bayaran sewa dari penyewa tersebut pada bulan Mei 2013.

Ini bermakna, untuk taksiran pada tahun 2012, pemilik hanya perlu mengisytiharkan pendapatan sewa yang diterima sehingga September 2012 sahaja. Kemudian, untuk tahun 2013, beliau perlu mengisytiharkan pendapatan sewa Oktober hingga  Disember 2012 yang lewat diterima itu di ruangan Pendapatan Sewa Tahun Sebelumnya yang disediakan.

Perbelanjaan yang boleh ditolak

Walaupun pendapatan sewa ini tertakluk kepada taksiran cukai, namun ia bukanlah dicukai 100% atas amaun yang diterima. Terdapat beberapa perbelanjaan dan pembayaran yang boleh ditolak dari pendapatan sewa.

# 1 Faedah yang dikenakan di dalam pinjaman

Sekiranya pemilik memperoleh hartanah tersebut melalui pinjaman, maka jumlah faedah yang dikenakan oleh bank ke atas pinjaman tersebut bagi tahun taksiran tersebut  boleh ditolak dari pendapatan sewa.

Sebagai contoh, katakan sebuah rumah berharga RM 150,000 telah disewa pada harga RM 900 sebulan bersamaan RM 10,800 setahun.  Pada tahun tersebut, bank mengenakan faedah sebanyak RM 5687. Maka, amaun RM 5687 ini boleh ditolak dari pendapatan sewa setahun tadi iaitu RM 10,800, menjadikan bakinya RM 5113 sahaja.

Perlu diambil perhatian, hanya faedah untuk pinjaman membiayai pembelian hartanah sahaja yang boleh ditolak. Sekiranya pemilik menggunakan pinjaman peribadi, maka faedah pinjaman peribadi ini tidak boleh ditolak dari pendapatan sewaan.

#2 Kos penyenggaraan dan pengurusan hartanah

Kos-kos yang diperlukan untuk menyenggara dan mengurus hartanah tersebut boleh ditolak dari pendapatan sewa.

Sebagai contoh, kos pengiklanan untuk mencari penyewa, caj agent hartanah, cukai pintu dan cukai tanah, insurans, kos untuk mengutip sewa, yuran penyenggaraan, kos kawalan serangga dan kos pembaikan kerosakan hartanah.

Sekiranya hartanah tersebut tidak disewakan sementara iaitu dalam tempoh pertukaran penyewa seterusnya, kos penyenggaraan hartanah di dalam tempoh tidak disewa itu boleh ditolak dari pendapatan sewaan.

Perbelanjaan yang tidak layak ditolak

Hanya kos pembaikan serta penyenggaraan sahaja yang boleh ditolak. Sebaliknya, kos menaiktaraf hartanah dan pembinaan semula bangunan adalah tidak layak ditolak dari pendapatan sewaan.

bayaran cukai tanah online

Terdapat perbezaan antara kos pembaikan dan kos naiktaraf. Sebagai contoh, katakan pili air dan sinki di dapur rosak. Lantas pemilik membaiki pili air dan menggantikan sinki yang pecah dan kos ini boleh ditolak.  Namun jika pemilik membuat kabinet dapur yang baru, ini adalah kos naiktaraf dan tidak boleh ditolak dari pendapatan sewa.

Begitu juga dengan  kos pengiklanan dan pembelian perabot untuk penyewaan kali pertama, ia juga tidak boleh ditolak dari pendapatan sewaan. Ini kerana, ia telah dikira sebagai perbelanjaan modal hartanah dan bukannya kos penyenggaraan.

Apa yang paling penting di dalam penyewaan hartanah dan pengisytiharan cukai ini adalah dokumentasi. Semua dokumen sokongan seperti perjanjian sewaan, resit, penyata bank dan invois yang berkaitan mestilah disimpan dan sedia untuk dikemukakan apabila diminta.

Kesimpulan

Kesimpulannya, Borang Cukai Pendapatan perlulah dihantar dan pembayaran cukai perlu dilakukan sebelum tarikh tutup yang ditetapkan. Kelewatan membayar cukai akan menyebabkan individu itu boleh didenda mengikut kadar yang telah ditentukan oleh Akta Cukai Pendapatan 1967.

Selain itu, dengan mengisytiharkan pendapatan sewaan, ini akan menjadi bukti bahawa seseorang pelabur telah memperoleh pendapatan yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya sekiranya beliau bergantung pada gaji bulanan sahaja. Kesannya, beliau akan layak membuat lebih pinjaman lagi untuk hartanah pelaburan seterusnya.

Kredit gambar ke (Kualalumpurproperty.comdonglejitterAlx VIllasr)


Tags: , , , , ,

Komen (7)

Leave a Reply to layon Batal (Cancel)