Jamuan Raya : Peluang Keemasan Untuk Para Usahawan

August 14, 2013 — Penulis:

Kategori: Pemasaran / Strategi Online & Offline

Sempena kedatangan bulan Syawal ini, jemputan menghadiri Rumah Terbuka sudah menjadi suatu kemestian. Masing-masing berlumba-lumba untuk menganjurkan program makan-makan besar sempena Aidilfitri.

Masing-masing begitu sibuk bukan sahaja menyediakan juadah untuk rumah terbuka, tetapi juga mempamerkan suasana hiasan sekeliling serta cara berpakaian yang masih menonjolkan kehadiran Aidilfitri.

Ada kala dalam satu hari terdapat dua atau tiga undangan menghadiri Jamuan Rumah Terbuka sehingga mampu menjimatkan wang saku anda disebabkan jemputan yang tidak putus-putus.

Begitulah antara suasana yang positif pada Jamuan Rumah Terbuka Aidilfitri. Bagi anda yang melakukan jualan, ini adalah kesempatan yang terbaik untuk anda warwarkan tentang segala produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan kepada mereka.

5 Kebaikan Untuk Para Usahawan

Jamuan rumah terbuka merupakan platfom terbaik untuk berjumpa dan berkenalan dengan orang lain dan mengukuhkan silaturrahim sesama hadirin. Tetapi jika anda menggunakan peluang ini dengan baik, anda pasti dapat menjual diri, syarikat dan produk anda.

hadiri-jamuan-raya

Berikut antara 5 kebaikan utama jamuan rumah terbuka kepada para usahawan khususnya usahawan muslim:

#1 – Mengukuhkan Keyakinan & Kepercayaan

Jamuan raya merupakan satu medan untuk menjalinkan persahabatan, persaudaraan dan ukhwah sesama kita. Ini adalah masa terbaik untuk anda kenal lagi ramai kenalan atas kenalan semasa bersua muka.

Agihkan kad perniagaan sebanyak mungkin dan jangan kedekut. Apabila adanya jalinan seperti ini, ia dapat memudahkan lagi segala urusan jualan. Ini kerana mereka hanya akan berurusan dengan orang yang mereka percaya dan yakini.

Apabila mereka sudah mula yakin dengan seseorang, ia akan menjadi mudah dan lancar. Paling penting ialah anda perlu kenalkan diri dan cuba mengenali setiap orang yang berada di sekeliling.

#2 – Menggandakan Amal Jariah & Kebajikan

Antara perkara yang dituntut dalam Islam ialah bersedekah dan melakukan amal jariah kepada orang lain. Satu kebaikan yang anda lakukan kepada orang lain, Allah akan mengurniakan sepuluh ganjaran buat anda semua.

Dengan nawaitu untuk melakukan amal jariah, anjurkan rumah terbuka dengan menjamu selera kepada orang ramai, kenalan dan pelanggan. Bukan setakat dapat pahala sahaja, hubungan juga semakin rapat dan menambahkan keyakinan dan kepercayaan mereka kepada anda.

Formula ini harus digunakan setiap waktu dan bukan terhad ketika kehadiran Aidilfitri sahaja asalkan peruntukan wang untuk majlis keraian sudah mencukupi.

#3 – Membina Serta Menambahkan Rangkaian Kenalan

Membina netwoking lebih mudah dilakukan ketika menghadiri jamuan raya. Ini kerana agen produk pasti akan melakukan hebahan mulut seperti yang anda perlukan. Anda perlu menggunakan kesempatan ini sepenuhnya kerana ia percuma dan berkesan.

Apa yang perlu anda pastikan ialah sentiasa menjaga sensitiviti setiap persahabatan yang telah terbina. Jaga hati, perasaan, perbuatan dan perkataan agar kepercayaan mereka tidak hilang. Inilah masa terbaik bagi mengukuhkan lagi hubungan yang ada.

#4 – Melakukan Promosi Dengan Lebih Mudah

Gunakan segala kemudahan yang ada sama ada menganjurkan rumah terbuka atau anda sendiri menghadiri jamuan rumah terbuka. Sentiasa membuka mulut untuk memaklumkan kelebihan produk yang dapat menambat hati si pendengar.

Elakkan duduk dan makan bersama rakan sekerja sendiri dan galakkan diri untuk bercampur dengan orang yang tidak dikenali ataupun pelanggan rapat. Lagi banyak anda lakukan promosi, lagi mudah tugasan untuk melakukan jualan. Masyarakat akan lebih mudah percaya kuasa hebahan mulut.

#5 – Menggunakan Kesempatan Sepenuhnya

Jangan lepaskan peluang keemasan ini. Lakukan jualan secara berhemah, tidak kira berkunjung atau dikunjungi. Sambil menjamu selera, tanyakan keperluan dan kehendak mereka bagi memudahkan anda menceritakan kesesuaian produk.

Tunjukkan jalan penyelesaian dan bantu mereka menyelesaikan masalah tanpa memaksa mereka. Ambil berat dan dengar dengan teliti setiap apa yang mereka perkatakan setelah anda mulakan dahulu salam perkenalan.

Yang paling penting, anda bukan meminta-minta atau mohon simpati tetapi anda sebenarnya ingin membantu menyelesaikan masalah mereka. Lebih mudah lagi, kelebihan produk diceritakan tanpa ada formaliti di pejabat atau premis pelanggan.

Jualan tidak semestinya ditetapkan pada satu lokasi sahaja tetapi ia boleh dijalankan di mana- mana sahaja tempat anda berada. Di mana ada manusia, di situlah jualan akan berlaku tidak kira kecil atau besar.

Tidak kira tempat atau masa, tidak kira kepada siapa atau berapa banyak tenaga yang dihabiskan, anda bebas untuk terus bercakap tentang produk dan jualan tanpa perlu ada permit dan kebenaran dari sesiapa pun. Yang penting anda perlu melakukannya bersungguh-sungguh bagi mencapai apa yang dihajati.

 

(Sumber gambar: Najib Razakmirh@lem)


Tags: , , , , , , , ,

Komen (4)

Leave a Reply to Azrul Batal (Cancel)