Jelas Garis Mula – Mencapai Bebas Kewangan

June 05, 2011 — Penulis:

Kategori: Pengurusan Kewangan

Setelah mengetahui asbab bocor kewangan pada bulan lalu, kali ini kita akan memposisikan minda kita untuk bebas kewangan. Berminda seperti orang biasa-biasa tidak akan membebaskan kewangan. Tahukah kita, hanya 15% populasi dunia adalah benar-benar bebas kewangan.

Mengapa mereka berjaya? Kerana mereka tahu apa yang kita tidak tahu. Ramai antara kita sedar dan tahu. Tetapi kebanyakannya tiada tindakan. Mengapa?

4 Sebab Kenapa Kita Tidak Bertindak

  1. Tidak tahu mahu bermula di mana.
  2. Tidak tahu ruang masa bertindak.
  3. Tidak tahu berapa yang mahu dikumpul.
  4. Tidak tahu apa yang pertama patut dilakukan.

Akhirnya, azam hanya tinggal azam, sedar tinggal sedar, tahu tinggal tahu.

Bersedia untuk fokuskan tenaga dan masa dalam tiga hingga lima tahun ini. Ini tempoh yang penting tentang masa depan kita. Masa adalah sangat, sangat, sangat singkat. Katakan pada diri sendiri:

”Saya perlu berubah. Berubah mengundang peluang. Berubah cepat, mengundang peluang yang cepat.”

Mari mulakan. Posisikan dirimu.

Langkah Pertama – Kenalpasti Lokasi Kewangan

Jika kita sesat di hutan yang sangat tebal, dan di tangan kita ada sekeping peta topografi lokasi itu, apa tindakan pertama yang akan kita lakukan? Fikirkannya.

garis-mula-mencapai-kebebasan-kewangan

Sudah tentu peta itu tidak berguna jika kita tidak tahu di mana lokasinya. Ya, cari lokasi di mana kamu sekarang. Barulah boleh dituju arah ke mana sahaja.

Samalah juga pengurusan kewangan peribadi, kenalpasti di mana ’lokasi’ kita sekarang.

#1 – Tahu Di Mana Mahu Bermula

Ambil sehelai kertas kosong. Senaraikan semua harta yang ada. Mula-mula, tulis di atas kertas, semua simpanan tunai yang ada. Kemudian tuliskan semua harta yang ada, berapa nilai rumah, berapa nilai ekar tanah, berapa nilai emas, berapa nilai saham, berapa nilai perniagaan yang diusahakan sekarang.

Semakin banyak, semakin bagus. Jika tidak ada, tidak mengapa. Jumlahkan, dan tuliskannya besar-besar.

Jika mahu, tuliskan semua hutang dan tanggungan pula! Ya jumlahnya tuliskan besar-besar.

Baik, letak jari telunjuk di dahi, sambil melihat angka yang besar tadi berkatalah pada diri sendiri,

”Di sini aku bermula!”

#2 –  Tahu Ruang Masa Tindakan

Sekali lagi, ambil sehelai kertas kosong. Tuliskan umur kita mahu bebas kewangan. Jangan tulis pada umur 58 tahun. Itu umur pencen, sekian. Tolakkan dengan umur kamu sekarang. Jawapannya tulis besar-besar.

Contoh; 45 (umur mahu bebas kewangan) – 35 (umur sekarang) = 10 tahun.

 

Sekali lagi letakkan jari telunjuk di dahi,  berkatalah sambil melihat angka yang besar itu,

”Inilah masa untuk bertindak!”

#3 – Berapa Jumlah yang Mahu Dikumpul

Ambil sehelai kertas lagi. Tuliskan perkara ini. Katakanlah, kita akan hidup sihat sehingga 70 tahun. Katakanlah juga, dengan gaya hidup sederhana mewah, kos hidup anda ialah RM90,000 setahun.

Umur  persaraan kita adalah 70 – 45 (umur bebas kewangan tadi) ialah 30 tahun.

Maka tuliskan kos hidup setahun tadi, darab dengan 30 tahun iaitu (RM90,000 X 30) = RM2,700,000. Tuliskan angka jawapan itu besar-besar. Ini adalah contoh, sesuaikan dengan jangkaan kos hidup masing-masing.

Buat kali terakhir letakkan jari telunjuk di dahi, berkatalah sambil menyebut angka jawapan tadi,

“Aku perlu kumpulkan RM2.7 juta untuk bebas kewangan!”

#4 – Tahu Tindakan Pertama yang Perlu Dilakukan

Maka sekarang sudah jelas tanpa perlu bersuluh:

  1. Saya ada bekal RM1200 sahaja simpanan tunai.
  2. Saya ada masa 10 tahun untuk bertindak.
  3. Saya perlu mengumpul RM 2.7 juta.

Maka, mengapa tunggu esok untuk bermula? Kita tidak ada banyak masa lagi. Berhenti buang masa. Berhenti mengeluh. Jika orang lain boleh lakukannya, mengapa tidak kita? Mari mula berniaga. Mari cari peluang.

Bebas kewangan seperti larian olahraga. Garis mula sudah sangat jelas. Baiklah, tembak mula akan berbunyi, mari lari laju. Lebih laju lebih bagus. Jumpa lagi nanti.

Cantik dipandang inai di jari,

Gagah panglima segak berdiri,

Bila tahu di mana diri,

Mulakan langkah terus berlari.

 

Kredit gambar yang diambil dari Flickr: 🙁richmeyer)


Tags: , , , , , , , ,

Komen (4)

  1. Bertindak sekarang! Bertindak sekarang! Bertindak sekarang! Jangan tunggu esok. Esok itu minggu depan. Esok itu bulan depan. Esok itu tahun depan. Esok masih belum ada!

  2. kalau dah ada sejuta pun dah ok. katakan letak pada pelaburan yg bg dividen 10%. setahun dah 100k. byk dah tu.

Leave a Reply to hadie Batal (Cancel)