Kepentingan Harta Intelek dan Hak Cipta Dalam Bisnes

July 26, 2011 — Penulis:

Kategori: Konvensional

Sebagaimana artikel saya sebelum ini, kreativiti dan inovasi tercipta hasil dari pemikiran dan daya intelektual seseorang. Kreativiti dan inovasi bermula dengan cetusan idea. Kemudian diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan perlaksanaan.

kepentingan harta intelek

Kreativiti dan inovasi dalam perniagaan wujud dalam pelbagai bentuk. Antaranya mencipta sesuatu produk yang memberi kemudahan kepada orang ramai, mencipta jenama produk yang berkualiti dan menghasilkan rekaan-rekaan baru bagi produk yang telah sedia ada di pasaran bagi menarik perhatian pelanggan.

Hasil kreativiti dan inovasi yang memberi keuntungan kepada syarikat akan bertukar menjadi aset. Seterusnya menjadi harta yang cukup bernilai kepada sesuatu perniagaan.

Harta hasil daripada kreativiti dan inovasi ini adalah harta dalam bentuk yang tidak ketara. Tidak ketara bermaksud harta yang tidak boleh dilihat dan disentuh secara zahir. Harta ini berbeza dengan harta ketara seperti rumah, tanah dan wang yang boleh dilihat dan disentuh secara zahir.

Namun, fungsi harta tetap sama. Ia mempunyai nilai dan boleh diperdagangkan. Ia boleh dimiliki dan dijual di dalam pelbagai bentuk transaksi.

Harta Tidak Ketara – Harta Intelek

Harta tidak ketara ini juga dikenali sebagai harta intelek. Harta intelek merujuk kepada hasil kreativiti atau ciptaan yang datang daripada daya intelektual atau minda seseorang. Pemilik harta intelek diberi hak eksklusif serta perlindungan terhadap harta intelek hasil ciptaannya, oleh undang-undang harta intelek.

Hak eksklusif bermaksud hak untuk memiliki dan hak untuk mengeksploitasi sesuatu harta intelek tanpa sebarang ancaman daripada pihak lain. Ancaman termasuklah ancaman cetak rompak, barangan tiruan, penyalahgunaan, penggunaan tanpa kebenaran dan sebagainya.

Dalam undang-undang harta intelek, pemilik harta intelek diberi hak-hak eksklusif terhadap pelbagai jenis harta tidak ketara seperti muzik, penulisan, lukisan, penemuan dan ciptaan, perkataan, simbol dan reka bentuk.  Di antara jenis-jenis harta intelek yang biasa dikenali ialah paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian dan hak cipta.

Ramai di antara kita mungkin biasa dengan istilah-istilah seperti paten, cap dagangan dan hak cipta, namun tidak ramai yang mengetahui apakah maksud di sebalik istilah-istilah ini dan perbezaannya.

Paten – Ciptaan Baru atau Inovasi Produk

Secara umumnya, paten merujuk kepada ciptaan baru atau inovasi terhadap produk sedia ada. Jika kita telah merekacipta sesuatu ciptaan baru atau teknologi yang masih belum wujud di dunia ini, maka ciptaan ini boleh dilindungi di bawah paten dan setiap perlindungan paten sah untuk tempoh 20 tahun.

Perlindungan paten bermaksud pemilik paten tersebut boleh mengambil tindakan di bawah undang-undang paten, sekiranya paten miliknya ditiru atau disalahguna oleh pihak lain.

Adidas di antara syarikat terkenal yang mementingkan trademarknya

Cap dagangan atau ‘trade mark’ di dalam Bahasa Inggeris merujuk pada satu tanda yang dapat membezakan antara barangan atau perkhidmatan, yang ditawarkan oleh pemiliknya dengan barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh pemilik lain.

Cap dagangan merangkumi perkataan, huruf, nombor, nama, tandatangan, logo dan kombinasi antaranya. Contoh cap dagangan yang popular ialah seperti McDonald, Coca Cola, Proton dan sebagainya. Pendaftaran cap dagangan membolehkan pemiliknya mendapat perlindungan selama 10 tahun dan boleh diperbaharui setiap 10 tahun.

Reka bentuk perindustrian merujuk kepada penampilan bentuk, corak atau ukiran sesuatu produk. Reka bentuk perindustrian merangkumi bentuk 3 dimensi pada bentuk, atau permukaan sesuatu objek. Serta bentuk 2 dimensi seperti corak dan garisan atau warna.

Antara contoh reka bentuk perindustrian ialah reka bentuk kereta, corak pada permaidani dan ukiran pada produk berasaskan kayu. Pendaftaran reka bentuk perindustrian membolehkan pemiliknya mendapat perlindungan selama 15 tahun.

Hakcipta – Hak Eksklusif Bagi Pencipta Karya

Hakcipta adalah hak esklusif yang diberikan oleh undang-undang untuk tempoh masa tertentu kepada pencipta karya untuk mengawal penggunaan karya mereka. Di Malaysia, tiada sebarang pendaftaran diperlukan bagi mendapatkan perlindungan.

rakaman suara

Ini kerana perlindungan diperoleh secara automatik sebaik sahaja sesuatu karya diterjemahkan di dalam sebarang bentuk seperti penulisan, persembahan dan sebagainya. Contoh hasil kerja yang dilindungi oleh undang-undang hak cipta ialah:

  1. Karya sastera.
  2. Karya muzik.
  3. Karya seni.
  4. Filem.
  5. Rakaman bunyi.
  6. Siaran (broadcast).
  7. Karya terbitan.

Daripada segi perlindungan, bagi karya sastera, seni dan muzik tempoh perlindungan adalah semasa hayat pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya. Bagi karya rakaman bunyi, filem dan siaran, perlindungan adalah selama 50 tahun selepas tarikh ia diterbitkan.

Pendaftaran dan pentadbiran harta intelek di Malaysia dikendalikan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Bagi urusan pendaftaran paten, cap dagangan dan rekabentuk perindustrian, pihak MyIPO telah melantik ejen-ejen bertauliah bagi mengendalikan pendaftaran pihak pemilik harta intelek. Tugas ejen-ejen ini adalah memberi khidmat nasihat daripada segi teknikal, dan prosedur perundangan berkenaan pendaftaran dan perlindungan harta intelek.

Untuk artikel saya yang akan datang, saya akan memberikan perincian bagi setiap cabang harta intelek yang saya sebutkan di atas. Saya juga akan menerangkan kepentingan perlindungan harta intelek dalam perniagaan, dan cara untuk mengoptimumkan pulangan perniagaan menerusi pengkomersilan harta intelek.

Kredit gambar yang diambil dari Flickr (tchyrekanize)


Tags: , , , , , ,

Komen (9)

  1. terima kasih atas post tuan. minta pendapat: dalam blog saya ada kaedah GKA dan GKAS yang saya adakan. mohon tuan boleh baca dan beri pandangan adakah ia mesti di patenkan

  2. berapa lama prose diambil untuk sesuatu produk didaftarkan dibawah Harta Intelek dn berapa kos?tq

  3. Hj Mohamad b Ngah
    February 24, 2017

    As Salam..tuan…saya Hj.Mohamad ganu ada mencipta..dua perisian Interaktif(cd)…e Read (Prinsip Asas Membaca dan Menulis Rumi) dsn Fasohah Jawi..soalan …bagsimana caranya jika saya ingin membuat Hakcipta/ Paten kestas kedua dua produk Harta Intelek ini ? Bagsimans…Berspa Lama…dan Bersps Kos nys?

  4. Jika nama hampir sama berbeza diawalan huruf..adakah menjadi kesalahan.
    Sebagai contoh… mami jarum dengan bonda jarum
    Minta pandangan

Pendapat anda?