Laman Web Keahlian – 7 Idea Content Terbaik & Berkesan

April 03, 2013 — Penulis:

Kategori: Pemasaran / Strategi Online & Offline

Dalam artikel-artikel yang lepas, anda sudah mengetahui serba sedikit maklumat berkenaan dengan laman web keahlian (membership site) yang mampu memberikan pulangan lumayan setiap bulan kepada anda.

Kini mungkin anda sudah dapat membayangkan mengenai laman web keahlian jenis apakah yang anda ingin bina dan apakah model keahlian yang anda gunakan serta berapakah caj yang anda ingin kenakan kepada ahli-ahli laman web keahlian anda dengan jelas.

laman web keahlian

Cuma persoalannya yang mungkin agak memeningkan kepala anda sekarang ini ialah anda tidak tahu apakah isi kandungan (content) yang ingin anda berikan kepada ahli-ahli yang bakal menyertai laman web keahlian anda. Apa sebenarnya yang anda ingin berikan kepada mereka?

Usah peningkan kepala anda kerana ia bukanlah satu perkara yang rumit untuk difikirkan lama. Ini adalah kerana content terbaik untuk sesebuah laman web keahlian anda sebenarnya bergantung kepada kreativiti anda sendiri. Jika anda kreatif, informasi percuma juga boleh dijual!

Masih tiada idea untuk hasilkan content untuk laman web keahlian anda? Berikut antara 7 idea terbaik untuk aplikasikan dalam web keahlian anda.

 

#1 Koleksi Grafik Terbaik

Sekiranya anda merupakan seorang pereka grafik khususnya laman web, anda boleh memulakan laman web keahlian yang memberikan grafik-grafik laman web terkini kepada ahli-ahli anda pada setiap bulan.

koleksi grafik terbaik

Pada hari ini, terdapat ramai usahawan internet yang mula melakukan pemasaran melalui internet. Sudah pasti mereka perlu menghasilkan laman web untuk mempromosi produk mereka melalui internet.

Jadi secara tidak langsungnya, mereka akan sentiasa memerlukan bahan-bahan grafik terkini yang kelihatan profesional serta menarik untuk laman web mereka. Jika anda merupakan seorang pereka grafik, laman web keahlian seperti ini memang sesuai untuk anda.

#2 Kompilasi Audio Berguna

Pada masa kini, sudah ramai usahawan internet yang menawarkan perkhidmatan penulisan, sama ada penulisan artikel, ebook atau blog untuk meningkatkan kredibiliti usahawan internet yang lain.

Namun demikian, amat kurang usahawan internet yang menawarkan perkhidmatan dalam format kompilasi audio yang boleh diguna semula oleh usahawan internet lain.

Sebagai contoh, sekiranya anda merupakan seorang yang pandai mengolah lagu atau muzik, anda boleh menghasilkan laman web keahlian yang menawarkan audio lagu atau muzik gubahan anda yang terkini pada setiap bulan.

Jika anda tidak pandai menghasilkan lagu atau muzik, anda boleh menawarkan rakaman bacaan artikel mengenai perniagaan internet pada setiap bulan untuk laman web keahlian anda.

 

#3 Koleksi Video Menarik

Sama seperti rakaman audio tadi, masih kurang jumlah usahawan internet yang menawarkan rakaman video sama ada video tutorial dan sebagainya kepada usahawan internet lain.

koleksi video menarik

Anda boleh menghasilkan laman web yang memberikan akses kepada pelbagai rakaman video mengenai bisnes internet setiap bulan kepada ahli-ahli anda. Anda juga boleh menawarkan hak penjualan semula video-video bulanan tersebut kepada ahli-ahli anda.

Dengan berbuat demikian, mereka bukan sahaja boleh menggunakan video-video tersebut untuk membantu bisnes internet mereka malah boleh menjualnya semula kepada orang lain untuk menjana pendapatan tambahan.

#4 Koleksi Kartun Menghiburkan

Adakah anda mempunyai bakat dalam melukis kartun seperti para kartunis? Jika ya, maka satu lagi idea content laman web keahlian yang boleh anda hasilkan adalah dengan memberikan koleksi kartun mengenai bisnes internet secara bulanan kepada ahli-ahli anda.

Kartun-kartun tersebut boleh mereka gunakan di laman web, blog mereka mahupun di Facebook mereka sendiri untuk menarik minat pelanggan-pelanggan mereka. Sudah pasti laman web keahlian anda ini akan dapat menarik minat ramai usahawan internet lain untuk melanggan.

#5 Koleksi Resipi Menyelerakan

Jika anda merupakan seorang yang minat memasak serta rajin mencuba resipi-resepi baru, anda juga boleh memulakan laman web keahlian yang memberikan resipi-resipi terkini yang anda cipta dan kaji pada setiap minggu atau pada setiap bulan.

koleksi resepi

Mencari resepi terbaru melalui internet sememangnya merupakan aktiviti rutin ramai pengguna internet dalam dan luar negara. Dengan cara ini, peminat-peminat masakan yang lain juga akan berminat untuk melanggan laman web keahlian dan mencuba resipi-resipi baru anda.

6. Senarai Pembekal Menguntungkan

Sekiranya anda merupakan seorang penjual barangan fizikal sama ada menjualnya di laman web anda sendiri, di portal Mudah, di portal Lelong atau di portal eBay dan anda sentiasa berusaha mencari maklumat pembekal untuk mendapatkan bekalan barangan, maka anda idea ini terbaik untuk anda.

Anda boleh memulakan laman web keahlian yang akan berkongsi maklumat pembekal-pembekal barangan terkini pada setiap bulan kepada ahli-ahli anda. Dengan berbuat sedemikian, anda boleh membantu usahawan internet lain untuk mendapatkan bekalan barangan dan seterusnya menjana wang melalui internet.

#7 Email Premium Efektif

Model bisnes laman web keahlian tidak semestinya anda hanya perlu menggunakan laman web untuk memberikan nilai kepada ahli-ahli, anda juga boleh menghasilkan laman web keahlian yang maklumatnya disampaikan melalui emel.

Maksudnya di sini, pendaftaran keahlian masih dilakukan seperti biasa melalui laman web khas. Cuma bezanya di sini, maklumat yang diinginkan oleh ahli-ahli disampaikan secara premium melalui emel tanpa perlu login ke akaun laman web keahlian mereka.

emel premium

Seperti contoh laman web keahlian berasaskan resipi tadi, si pemilik laman web keahlian boleh menyampaikan kandungan resipi terkini kepada ahli-ahlinya pada setiap bulan hanya melalui emel tanpa perlu ahli-ahlinya memasuki sebarang laman web khas untuk mengetahui resepi terkini.

Strategi penyampaian maklumat atau kandungan melalui emel ini boleh anda gunakan juga untuk sebarang strategi laman web keahlian yang anda inginkan, semuanya terserah kepada kreativiti anda sendiri.
Begitulah antara 7 idea terbaik bagi menghasilkan content untuk laman web keahlian yang anda bina. Kesimpulannya, penghasilan kandungan laman web sebenarnya tidak ada batasannya. Jika anda mampu berfikir secara kreatif, segala-galanya boleh anda tawarkan melalui laman web keahlian.

Kredit gambar ke Flickr (christijohnstone, Alki1viatorcibcymet)

Tags: , ,

Komen (1)

  1. ABDUL GHAFAR BIN ALIMAN
    April 6, 2013

    saya minat dalam perniagaan,namun saya tiada kewangan.saya seorang perlajar sepenuh masa,apakah yang patut saya lakukan untuk meneruskan minat ini?saya hendak mulakan dari sekarang,pendapat saya,sekarang saya masih muda baru berusia 19 tahun,ada sesiapa boleh membantu saya??saya mengharap sangat..boleh menghubungi saya jika ada jawapannya..0123441467

Leave a Reply to ABDUL GHAFAR BIN ALIMAN Batal (Cancel)