Nikmat Diskaun Pembelian Rumah – Sekali Terlepas, Selamanya Melepas

December 24, 2012 — Penulis:

Kategori: Hartanah / Pelaburan

Siapa di antara kita yang suka bayar lebih? Siapa di antara kita yang tidak suka pada diskaun?

Pasti ramai yang menjawab, “Ya, saya suka diskaun.”

“Kalau ada diskaun, kenapa bayar lebih?”

Namun sedarkah kita bahawa ramai di antara kita yang sering terlupa satu bentuk diskaun yang kerajaan berikan? Akibatnya mereka melepaskan peluang diskaun seumur hidup ini.

Diskaun yang saya maksudkan di sini adalah pembayaran duti setem bagi pembelian rumah pertama.

Duti Setem – Akta Setem 1949

Duti setem merupakan bayaran cukai yang pihak kerajaan kenakan ke atas transaksi tertentu, yang telah disenaraikan di dalam Akta Setem 1949. Antaranya adalah transaksi pemindahan hartanah, sama ada melalui jualan atau hadiah.

Kadar bayaran duti setem bagi pemindahan hartanah bergantung kepada nilai pasaran hartanah tersebut. Ia dikira berdasarkan formula di bawah:

RM100,000 pertama = 1%
RM100,001 hingga RM500,000 yang seterusnya = 2%
RM500,001 dan seterusnya = 3%

Berdasarkan formula di atas, jelas semakin besar amaun rumah yang kita beli, semakin tinggi bayaran duti setemnya.

Sebagai contoh, bayaran duti setem bagi rumah bernilai RM90,000 hanya RM900 sahaja sedangkan bayaran duti setem bagi rumah berharga RM300,000 adalah sebanyak RM3,000.

Beban Dalam Tangan

Nikmat Diskaun Pembelian Rumah-1

Jika anda berbajet besar dan ingin membeli rumah bernilai RM1 Juta, jangan hanya berusaha dengan wang deposit sebanyak RM100,000 sahaja. Fikirkan juga bayaran duit setemnya yang mencecah RM24,000.

Tinggi bukan?

Amaun bayaran duti setem ini sedikit sebanyak membebankan pembeli rumah terutama mereka yang berpendapatan rendah, dan baru hendak membeli rumah yang pertama.

Disebabkan inilah, kerajaan telah memperuntukkan diskaun 50% ke atas setiap pembelian rumah pertama yang bernilai RM350,000 ke bawah.

Ini bermakna jika duti setem bagi rumah berharga RM90,000 tadi adalah RM900, mereka hanya perlu membayar RM450 sahaja.

Sekali Terlepas, Selamanya Terlepas

Mulai 1 Januari 2013, had maksima nilai rumah ini dinaikkan pula ke RM400,000. Bukankah ini menarik?

Diskaun duti setem ini tidak diperoleh secara automatik, sebaliknya pembeli mesti memaklumkan kepada peguam masing-masing, bahawa ini pembelian rumah pertama mereka.

Kemudian peguam akan membuat pengisytiharan yang perlu bagi melayakkan pembeli menikmati diskaun ini.

 

Apa yang terjadi jika pembeli tidak memaklumkan hal ini kepada peguam? Sudah tentu peluang diskaun ini akan dibazirkan begitu sahaja. Ini yang banyak berlaku di luar sana.

Harus diingat, peluang diskaun ini hanya untuk pembelian rumah pertama atas nama pembeli itu sahaja. Sekali terlepas, selamanya melepas.

Kredit: Obsessionintoaction,Moyan_Brenn_BACK_FROM_ICELAND


Komen (1)

Leave a Reply to Eddy Batal (Cancel)