Ramadan – Penjenamaan yang Unik

August 19, 2011 — Penulis:

Kategori: Penjenamaan

Salam Ramadan buat semua pembaca Majalah Niaga yang beragama Islam. Kita bertemu kembali setelah  artikel penjenamaan terakhir saya tentang Donald J Trump disiarkan pada bulan Jun.

Ramadhan - penjenamaan yang baik

Atas sebab-sebab tertentu, saya tidak dapat menghantar artikel ke 8, yang sepatutnya menjadi artikel penutup, satu rumusan penting untuk kajian penjenamaan Trump yang disiarkan secara bersiri dengan 7 artikel semuanya sebelum ditamatkan.

Walaubagaimanapun, artikel ke 8 dan penutup kepada kajian penjenamaan Donald J Trump ini akan disiarkan selepas tamatnya Ramadan penghujung Ogos 2011 nanti.

Ramadan Sebagai Satu Jenama Bisnes

Memandangkan, kita masih berada dalam bulan Ramadan yang mulia. Disamping diselubungi aura kajian penjenamaan Trump sebelum ini. Maka, artikel saya kali ini akan membawakan kita melihat bagaimana bulan Ramadan dijadikan sebagai satu ‘jenama’ oleh para usahawan bagi meningkatkan perniagaan mereka.

Tiada siapa yang terlintas di fikiran mereka Ramadan ini juga adalah satu jenama dalam perniagaan. Mengapa ia dikatakan begitu?

Arus globalisasi yang berorientasikan komersil telah menjadikan bulan Ramadan sebagai sebuah jenama, yang berkeupayaan memberikan keuntungan kepada sesiapa sahaja yang bijak dan tahu memanfaatkannya. Baik dari segi perniagaan seperti penawaran produk dan servis, sehingga bidang kebajikan seperti derma dan ibadah.

Semuanya disimpulkan oleh Ramadhan sebagain satu jenama tanpa kita menyedarinya.

Sehubungan dengan itu, kali ini kita akan sama-sama melihat beberapa keunikan Ramadhan sebagai satu jenama dan bagaimana ia boleh memberikan kita kesan yang besar untuk kejayaan sebagai peribadi Muslim mahu pun sebagai seorang usahawan. Keunikan Ramadhan sebagai jenama dapat kita susuri seperti dibawah.

#1 – Ramadan Adalah Jenama Bawah Sedar

Setiap tahun, akan wujud musim membeli belah dengan kehadiran Ramadan. Musim membeli belah ini sebahagiannya terbentuk kerana para usahawan bertindak mengambil kesempatan, daripada dua faktor utama dalam diri manusia iaitu keperluan dan keinginan.

Keperluan seseorang itu untuk berbuka puasa iaitu dengan makanan dan minuman, membuka ruang yang luas untuk golongan usahawan menjalankan perniagaan mereka. Keinginan manusia pula iaitu untuk berbuka puasa dengan pelbagai jenis lauk pauk dan juadah semakin menyemarakkan para usahawan untuk kreatif, dan berinovatif dalam produk dan servis yang ditawarkan oleh mereka.

Ramadhan adalan penjenamaan bawah sedar

Mereka bersemangat untuk memberikan produk dan servis yang istimewa ketika Ramadan, kerana bulan ini adalah peluang terbaik untuk mereka memaksimakan keuntungan.

Mereka yakin, Ramadan akan sentiasa berjaya menarik orang ramai untuk membeli belah, dan mengeluarkan wang yang banyak untuk berbelanja bagi memenuhi dua faktor utama yang disebutkan tadi.

Bagi pelanggan pula, Ramadan adalah peluang keemasan untuk mereka berbelanja. Bukan sahaja berbelanja untuk menikmati pelbagai jenis makanan yang sukar dinikmati pada waktu-waktu yang lain.

Tetapi Ramadan juga adalah kesempatan terbaik untuk mereka menukarkan sesuatu yang lama kepada yang baru seperti perabot, hiasan dalaman rumah dan penting adalah pakaian baru yang cantik.

Kesemua perkara di atas berlaku hanya disebabkan kehadiran satu jenama sahaja iaitu Ramadan.

Kuasa jenama Ramadan begitu besar sehingga kita benar-benar berbelanja dalam jumlah yang besar, demi memenuhi keperluan dan keinginan. Sementara para usahawan pula bijak memanipulasikan jenama Ramadan iaitu menerusi label ‘Ramadan’ seperti bazar Ramadan, “Promosi Istimewa Ramadan”, “Buffet Ramadan” dan sebagainya.

#2 – Ramadan Menjadi Jenama Induk

Paling menyeronokkan untuk usahawan atau peniaga kecil yang tidak mempunyai jenama yang kukuh, Ramadhan akan menjadi jenama induk yang menaungi produk dan servis mereka.

Tidak kira apa yang mereka jual dan tawarkan. Ia pasti mendapat sambutan yang hangat dan laris daripada pengguna kerana Ramadan yang bertindak sebagai jenama tanpa sedar, telah menimbulkan daya ingin membeli  yang kuat untuk setiap orang.

Akibatnya, ramai yang bernafsu ingin berbelanja tanpa ada kawalan yang ketat. Kita dapat melihat ketika Ramadan, bazar Ramadan akan melariskan jualan para peniaga tanpa mengira jenama.

Bazar ramadhan

Jika hari biasa, kita pasti memilih KFC (Kentucky Fried Chicken) untuk menikmati ayam goreng yang ranggup serta McDonald untuk burger yang lazat.

Namun, ketika Ramadan, semua itu bukan lagi pilihan utama. Kekuatan jenama KFC dan McDonald luntur seketika. Di bazar Ramadan, kita akan memilih untuk membeli ayam goreng rangup yang dijual oleh peniaga bazar Ramadan, dan sebaik sahaja menikmati ayam tersebut ketika berbuka, akan terpacul di mulut kita  Rasanya sama sahaja dengan ayam KFC!”

Peniaga bazar Ramadan yang menjual ayam goreng rangup tadi, tidak memiliki jenama ayam goreng yang dikenali ramai tetapi kerana ia dijual dalam 3 fasa penjenamaan iaitu:

  • Bulan Ramadan,
  • Bazar Ramadan dan,
  • Dalam suasana Ramadan (puasa).

Maka dengan mudah, ayam gorengnya laris dan disetarafkan pula dengan ayam goreng rangup KFC.
Perkara ini tidak akan berlaku pada hari-hari biasa selain bulan Ramadan. Sambutan terhadap ayam  gorengnya pasti tidak selaris pada bulan Ramadan dan kita sendiri juga, akan memilih restoran KFC untuk menikmati ayam goreng rangup.

Ini semua menunjukkan kepada kita bagaimana Ramadan menjadi satu jenama induk menaungi semua jenama, dan ia mampu memberikan pulangan yang lumayan untuk jenama yang tidak dikenali.

Apabila anda gusar kerana jenama anda tidak memberikan pulangan yang menguntungkan. Maka, Ramadhan boleh menjadi jenama induk yang akan membawa produk dan servis anda memasuki pasaran dalam jangka masa panjang.

#3 – Ramadan Jenama yang Lestari

Keunikan jenama Ramadan seterusnya adalah ia bersifat lestari. Iaitu berkekalan dalam jangka masa panjang.

Ini akan memberikan kelebihan kepada para usahawan yang sentiasa bersifat mencari peluang terbaik untuk perniagaan mereka. Saban tahun, mereka boleh terus menawarkan pelbagai produk dan servis istimewa sempena Ramadan.

Ini kerana, Ramadan adalah satu bulan yang terdapat di dalam kalendar umat Islam, dan berpuasa adalah tuntutan wajib ke atas umat Islam. Kelestarian Ramadan akan menumbuhkan kekayaan umat Islam melalui keusahawanan. Di mana penjenamaan adalah sebahagian dari bidang keusahawanan.

Ramadhan Jenama Yang Unik

Oliver Auroy, Managing Director, gsFITCH Dubai menerangkan:

“Semenjak bermulanya tahun 1970an, kalendar keagamaan telah mensasarkan agenda promosi ke seluruh dunia. Seperti Krismas untuk penganut Kristian dan Ramadan, bulan istimewa untuk penganut Islam.

Ia adalah masa beribadah dan perayaan. Nilai-nilai simbolik Ramadan seperti persaudaraan, kemurahan hati, hormat-menghormati dan mengambil berat dapat dizahirkan dengan memaparkan melalui penjenamaan”

Jika para usahawan dapat mengaplikasikan nilai-nilai Ramadan seperti yang dikatakan oleh Oliver Auroy seorang pakar penjenamaan antarabangsa. Maka, peluang untuk usahawan terus membina jenama sendiri, selain bernaung di bawah jenama Ramadan akan terbuka luas dan menghampiri tangga kejayaan penjenamaan.

Sebenarnya, terdapat banyak lagi keunikan Ramadan sebagai jenama yang dapat dikaji dan dikembangkan untuk dibangunkan oleh para usahawan. Namun, kekangan ruangan dan konsep bicara, maka kita akhiri artikel ini dengan definisi konsep Ramadan, dan penjenamaan oleh firma penjenamaan Islam dunia Ogilivy Noor.

Mereka menyatakan,

“Ia adalah sesuatu yang bijak dan jelas untuk memahami dengan lebih lanjut berkenaan kepenggunaan orang Islam pada hari ini. Ia bukan lagi sekadar mengucapkan ‘Salam Ramadan’.

Ia berkenaan mengenal pasti nilai dan faedahnya sepanjang sebulan ini. Ini adalah tentang penjenamaan dan kecemerlangannya dalam masa 30 hari sahaja”

Renungkan….

Kredit gambar yang diambil dari Flickr (mixan8spyderdosprepaidbossshutter-rebels)


Tags: , , , , ,

Komen (1)

Pendapat anda?