Minda Usahawan – Golongan Manusia Apabila Berhadapan Kegagalan

September 02, 2013 — Penulis:

Kategori: Motivasi / Pembangunan Diri

Pengasas syarikat Honda Motor yang terkenal, Soichiro Honda pernah berkata bahawa orang biasanya nampak kejayan-kejayaan beliau sahaja. Apa yang orang biasanya tidak tahu adalah tentang zaman kegagalan dan kesusahan beliau.

Ramai orang cemburu melihat kejayaan orang lain kerana mereka berasa rendah diri kerana tidak sebagus orang-orang berjaya tersebut. Seolah-olah segala kualiti, peluang dan nasib baik hanya berada pada golongan yang berjaya tersebut.

Apa yang kebanyakan orang tidak tahu adalah orang yang berjaya dalam kehidupan mereka tidak berada pada tahap hari ini tanpa ujian dan kepayahan. Dalam hidup ini, bukan sahaja barang-barang fizikal mempunyai harga tetapi kejayaan juga mempunyai harga tersendiri.

3-golongan-manusia-hadapi-kegagalan

Semakin besar kejayaan yang kita impikan, semakin tinggi harga yang perlu kita bayar. Semasa menjadi eksekutif saham amanah di sebuah bank dulu, saya diajar bahawa pulangan berkadaran dengan risiko. Semakin tinggi pulangan sesuatu pelaburan semakin tinggi risiko yang perlu ditanggung oleh pelabur.

Secara keseluruhannya, terdapat 3 golongan manusia yang dapat kita lihat apabila berhadapan dengan kegagalan.

#1 – Golongan Yang Tewas

Golongan pertama adalah golongan paling malang kerana apabila mereka gagal dalam apa yang diusahakan, mereka akan berputus asa. Apabila ditanya kepada mereka sebab berputus asa, mereka akan beri seribu satu alasan mengapa perkara tersebut tidak boleh dilakukan.

Apabila usahawan gagal dalam bisnes mereka akan menyalahkan keadaan ekonomi yang tidak stabil. Apabila pelajar gagal dalam pelajaran mereka akan menyalahkan guru sebagai tidak pandai mengajar. Apabila seseorang tidak bahagia dalam perkahwinan, beliau akan menyalahkan pasangannya. Golongan sebegini tidak mempunyai daya tahan ujian yang tinggi dan akan sentiasa gagal dalam kehidupan mereka.

#2 – Golongan Yang Berusaha

Golongan kedua pula terdiri daripada orang yang apabila gagal mencapai matlamat, mereka akan terus berusaha. Secara kasarnya kelihatan golongan ini lebih baik daripada golongan pertama tadi. Walaupun mereka tetap meneruskan usaha, malangnya mereka gunakan cara yang sama berulang-ulang kali dan akhirnya mendapat hasil yang sama.

Sememangnya mereka lebih gigih dan tabah, tetapi mereka kurang bijak kerana tidak menyedari bahawa “cara yang sama akan membuahkan hasil yang sama”.

Ramai usahawan Melayu mempunyai mentaliti sebegini apabila dilihat dari segi teknik mereka berniaga. Mereka kurang teknik dan strategi spesifik sebaliknya berniaga hanya berbekalkan mantra “bersemangat…bersemangat…”. Apabila mereka jatuh, mereka akan bermula kembali dengan kaedah dan strategi yang sama.

#3 – Golongan Yang Positif

Golongan ketiga apabila berhadapan dengan kegagalan dengan menerimanya sebagai suatu maklum balas. Mereka menggunakan maklum balas bagi mengubah strategi dan bertindak kembali. Mungkin mereka tidak berjaya mencapai matlamat mereka pada percubaan-percubaan awal. Dengan mengkaji sebab kegagalan, mengubah strategi dan kembali bertindak menggunakan cara yang lain akhirnya mereka akan berjaya.

Seorang usahawan dari Singapura bernama Sim Wong Hoo yang datang dari sebuah keluarga miskin. Sim menetapkan suatu matlamat ingin membina sebuah komputer yang boleh bercakap, menyanyi dan memainkan muzik.

Pada awal penglibatan beliau dalam dunia IT, beliau melancarkan Cubic CT iaitu computer peribadi multimedia yang pertama di dunia. Malangnya computer tersebut gagal memperolehi jualan yang baik kerana mahal dan sukar digunakan. Selepas kegagalan pertama Sim mencipta computer kedua tetapi sekali lagi beliau gagal.

Selepas dua kegagalan, Sim mendapat idea baru dan mengubah strategi iaitu mencipta kad bunyi (sound card) yang dinamakan Sound Blaster bagi digunakan dalam computer peribadi multimedia. Hari ini, 60 peratus daripada computer peribadi multimedia di dunia menggunakan kad Sound Blaster. Hari ini, syarikat Creative Technologies mencatat jualan tahunan sebanyak 1.3 bilion.

Jadi, apabila berhadapan dengan kegagalan, terimanya sebagai suatu maklum balas. Seterusnya, gunakan maklum balas bagi mengubah strategi dan bertindak kembali. Insyaallah kejayaan akan menjadi milik anda kerana ini adalah cara yang telah teruji dan terbukti berkesan.

 

(Sumber gambar: willg willg.photographyYael Talleyrand)


Tags: , , , , , ,

Komen (9)

  1. Membaca artikel ini membuatkan saya semangat. Saya tertarik dengan ayat ini,

    “Dalam hidup ini, bukan sahaja barang-barang fizikal mempunyai harga tetapi kejayaan juga mempunyai harga tersendiri.”

    Ia membuatkan saya teringat satu perumpamaan yang menyatakan bahawa mendapatkan kejayaan itu seumpama membeli barang di kedai. Ia tidak akan jadi milik kita, sehinggalah kita membayar harganya. Harga sebuah kejayaan itu adalah usaha dan tindakan berdasarkan ilmu, yang tidak mengenal erti putus asa. 🙂

  2. Teringat saya pada kata-kata salah seorang mentor saya:
    “…kegagalan itu adalah signal kejayaan”.

    Saya setuju dengan tuan. Semakin besar pulangan sesuatu pelaburan, semakin besar jugalah risikonya.

  3. Terima kasih atas infonya

    Seseorang untuk berjaya perlu ada kegagalan.Kegagalan itu membuatkan kita berusaha keras dan lebih bg mencapai apa yg diingini….

  4. suhana bt mohamed noor
    October 8, 2013

    Bila bca artikel ni sememangnya Kita perlu ada ilmu untuk berjaya dalm bidg yg ingin diceburi…jgn berputus asa jika ingin berjaya…..

  5. Terima kasih di atas artikel yang amat bermanfaat dan bersemangat. Harap saya dan usahawan2 dapat terus maintain menjadi golongan usahawan yang ketiga iaitu positif.

Leave a Reply to suhana bt mohamed noor Batal (Cancel)